Wednesday, September 15, 2010

Tip Hubungan Suami Isteri -

:: BERSUKA RIA ::

Bergurau senda dan bersuka ria demi mengukuhkan tali kasih sayang antara suami isteri merupakan sesuatu yang dipandang penting bagi Islam. Petunjuk Rasulullah dalam menggauli isteri-isterinya dengan mencipta suasana santai dan penuh gurau senda serta bermain-main merupakan realiti dari kasih sayang yang diharapkan dapat menghidupkan kebahagiaan. 

1. Bergurau senda ketika dalam perjalanan. Dalam perkara ini Aisyah memberi keterangan :”Suatu ketika aku keluar bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan. Pada masa itu badanku masih kecil sehingga belum mempunyai beban yang berat. Rasulullah berkata kepada sahabat:”Dahulukanlah kamu. ”Mereka pun kemudian berjalan terlebih dahulu, lalu Rasulullah berkata kepadaku:”Ya Aisyah, ke marilah. Mari kita berlumba lari, tentu aku akan mengalahkanmu. ”Aku pun kemudian berlari dengan Rasulullah dan aku yang menang. Ketika badanku sudah gemuk, dalam sebuah perjalanan yang lain Rasulullah kembali mengajakku berlumba lari lagi dengan berkata:”Ya Aisyah, kemarilah. Mari kita berlumba lari lagi dan tentu aku akan mengalahkanmu. ”Pada waktu itu aku sudah tidak lagi ingat bahawa aku pernah mengalahkan Rasulullah dalam lumba lari. Oleh itu aku berkata:”Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat mengalahkanmu sementara badanku segemuk ini?”Kata Rasulullah:”Ayuhlah, yang penting kita berlumba lari. ”Dalam lumba lari kali ini dimenangi oleh Rasulullah hingga kemudian beliau ketawa seraya berkata:”Ya Aisyah, ini adalah balasan dari kekalahanku tempoh hari. ”Ini adalah ilustrasi dari kesantaian Rasulullah terhadap isterinya dalam perjalanan. Beliau melakukan olahraga yang mengandungi hiburan, gurauan dan mencipta suasana yang seronok bagi isterinya serta mengukuhkan keharmonian antara suami isteri. 

2. Bergurau senda ketika di rumah. Melebarkan rasa kehagiaan kepada isteri dengan sikap lemah-lembut dan bergurau senda adalah sebahagiaan daripada kehidupan Rasulullah. Dalam perkara ini Aisyah memberi keterangan:”Ketika itu Rasulullah baru saja pulang dari perang Tabuk atau perang Hunain. Pada rumah kecilku ada penutup. Penutup itu ditiup angin sehingga terbuka. Pada masa itu Rasulullah melihat anak-anak mainanku. Lalu Rasulullah bertanya:”Ya Aisyah, apakah itu?”Jawabku:”Anak-anak mainan. ”Rasulullah melihat di antara anak-anak mainan itu seekor kuda yang memiliki dua sayap dari kain. Lalu Rasulullah bertanya:”Ya Aisyah, aku melihat sesuatu di antara mainan yang banyak itu bukan sebuah anak-anakan. Apakah itu?”Jawabku:”Kuda-kudaanku. ”Rasulullah bertanya lagi:”Apakah yang berada di atasnya?”Jawabku:”Dua sayap. ”Rasulullah bertanya lagi:”Adakah kuda memiliki sayap?”Jawabku:”“Bukankah engkau telah mendengar bahawa Nabi Sulaiman memiliki sekumpulan kuda yang bersayap? Seketika itu pula Rasulullah ketawa hingga menampakkan giginya. Pernah pula Rasulullah mengajak Aisyah menyaksikan sebuah pertunjukan dengan maksud agar Aisyah merasa senang dan gembira. Bahkan Rasulullah cukup lama menyaksikan persembahan tersebut hingga Aisyah bersandar di bahunya sehingga merasa puas. Dalam perkara ini Aisyah memberikan keterangan:”Rasulullah pernah menutupiku dengan serban, sedangkan aku menyaksikan orang-orang Habsyah berpertunjukan di dalam masjid”Aku menyaksikan pertunjukan itu hingga merasa puas dan bosan. 

3. Bersikap mesra ketika di meja makan. Menunjukkan sikap mesra kepada isteri ketika menjamu hidangan sangat dianjurkan oleh Rasulullah. Tidak selayaknya seorang suami mahupun isteri makan sendirian, kerana keadaan ini merupakan tradisi individualis dan tradisi para majikan terhadap pelayannya pada zaman Jahiliyah. Suasana di meja makan dapat dimanfaatkan sebagai media dialog dan menunjukkan rasa kasih sayang antara suami isteri. Bahkan Rasulullah sering menyuapkan isterinya. Ini adalah sebuah kemesraan yang tentu sahaja akan menambahkan keharmoniaan hubungan di antara mereka. Rasulullah selalu minum air minuman isteinya dan begitu juga isterinya. 

4. Membiarkan isteri bergurau dengan temannya. Rasulullah selalu membiarkan isterinya dengan isteri yang lain. Bahkan beliau sering terlibat dalam gurauan mereka. Dalam hal ini Aisyah memberikan keterangan:”Aku pernah melumurkan adunan tepung ke wajah Saudah dan dia pun membalas kembali melumurkan tepung ke wajahku sehingga membuat Rasulullah ketawa. ”Seringkali kita mendapati lelaki yang kehilangan sikap lemah-lembut dan kehalusan perasaanya lantaran keseriusan dan kekerasan hatinya, sehingga membuat perasaan isteri selalu tertekan. Namun, ada juga di antara mereka yang menghindari gurau senda dan tawa lantaran bimbang akan memalingkan diri dari berzikir kepada Allah. Sedangkan tanpa disedari mereka telah menyakiti dan menyusahkan hati isteri. Rasulullah menyampaikan berita gembira kepada mereka dengan bersabda:”Segala sesuatu selain zikir kepada Allah adalah permainan dan sia-sia kecuali empat perkara:+Seoarang suami bergurau dengan isterinya +Seseorang yang melatih kudanya +Seseoarang yang berjalan menuju dua sasaran (dalam permainan panah dan berlumba) +Seseorang yang berlatih renang”Jadi bergurau dengan isteri pahalanya tidak kalah dengan berzikir kepada Allah kerana bergurau adalah sebahagiaan daripada kewajipan seorang suami dalam membahagiakan isteri. 

5. Etika dalam bergurau. Di dalam bergurau, ada beberapa etika yang dianjurkan dalam Islam. Di antara etika yang dimaksudkan ialah:

 Dalam bergurau hendaklah berpegang teguh pada kebenaran dan elakkan kebenaran yang mengandungi unsur-unsur kebohongan. 
Jangan bergurau terlalu berlebihan kerana ia akan mematikan kreativiti dan ketajaman hati serta melalaikan zikir kepada Allah. 

Ketika bergurau jangan sampai membuat orang lain sakit hati, sedih mahupun terkejut. Tidak dibenarkan pula bergurau yang mengandungi unsur penghinaan, kesombongan, mencaci-maki, mengumpat atau menyakiti perasaan dan hati orang lain. 

:: MENGATASI PERTENGKARAN SUAMI ISTERI ::

Pertengkaran selama mana masih dalam batas-batas normal dengan perkara-perkara yang masuk akal dibenarkan tetapi tidak menganggap pertengkaran normal, keperluan jiwa atau hobi mereka. Apabila ada pasangan suami isteri bertengkar disebabkan oleh tingkah laku mereka sendiri atau sikap sebelah pihak yang tidak mampu mengatasinya sendiri, maka sebaiknya hendaklah mencari orang tengah iaitu satu dari pihak suami dan satu dari pihak isteri. Kedua-dua orang tengah ini hendaklah berusaha menyelesaikan masalah tersebut dengan bijaksana dan mengharapkan pertolongan serta taufik daripada Allah SWT. Pernah Umar bin Al-Khatab mengutus seorang menjadi orang tengah untuk memperbaiki pertengkaran yang terjadi antara suami isteri namun beberapa ketika kemudian pengutus tersebut kembali tanpa hasil. Lantaran itu, Umar bin Al-Khatab marah lalu pergi untuk mendapatkan mereka yang bertengkar itu lalu mengingatkan mereka tentang janji Allah:”Apabila kedua-dua penengah itu benar-benar menghendaki kebaikan, nescaya Allah memberikan taufik kepada mereka. ”Akhirnya mereka kembali lagi dengan niat yang baik dalam membina rumahtangga dan berusaha tidak bertengkar lagi. 

 Apabila isteri yang bersalah. Seandainya isteri mengabaikan tugasnya sehingga mengundng kemarahan suami maka ada tiga cara diberikan dalam Islam. Allah SWT yang bermaksud:”Dan wanita-wanita yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatlah mereka dan leraikan dirinya dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. ”
1. Suami harus memberikan nasihat. Suami harus menyedari isterinya dengan memberikan nasihat untuk mengubah sikap yang salah. Mungkin dengan nasihat dan bertukar fikiran boleh membuahkan hasil yang baik berbanding dengan kekerasan yang ertinya akan menemui kegagalan. 
2. Meninggalkan tempat tidur. Jika langkah petama tidak berhasil, maka suami hendaklah memisahkan tempat tidur dengan isteri. Mudah-mudahan dengan cara ini isteri sedar akan kesilapannya. 
3. Memukul dengan niat mengajar. Apabila cara kedua tidak juga berhasil, maka ini bererti keangkuhannya telah mencapai tahap yang kritikal. Maka dalam hal ini, si suami boleh memukulnya dengan niat untuk mengajar isteri agar tidak mencapai tahap nusyuz. Namun, memukul juga tidak boleh dengan cara yang kasar iaitu ringan tetapi harus disertai dengan kata-kata yang baik baru isteri mengerti setelah dipukul. Mengenai soal memukul ini, Rasulullah tidak pernah memukul isteri bahkan memukul budak perempuan pun tidak.. Rasulullah adalah seorang yang setia dan paling sempurna dalam melaksanakan perintah Allah. Beliau tidak menyukai dan mencela perbuatan tersebut. Beliau bersabda:”Apakah di antara kamu yang tidak malu memukul isteri seperti memukul budak? Di siang hari dia memukul isteri kemudian malam hari ia menggaulinya. ”

:: PANGGILAN MESRA ::

Berbicara dengan menarik perlu teknik khusus. Bahkan perlu kepekaan perasaan apabila ingin menyeronokkan perbicaran yang sedap lagi berkesan kerana perbicaraan adalah sebahagiaan daripada seni. Apabila tidak memperhatikan perbicaraan tentu pendengar akan lari atau kurabg tertarik untuk mendangar. Akibatnya pesanan yang diberikan tidak sampai. Sekiranya perkara ini terjadi pada pasangan suami isteri maka keharmonian dan kemesraan dalam rumah tangga secara perlahan-lahan akan hilang. Oleh sebab itu, untuk menjadikan perbicaraan lebih berkesan, Islam telah memberikan beberapa tuntutan kepada umatnya khusus kepada suami agar mereka dapat meraih kebahagiaan yang lebih sempurna. 

1. Memilih kata-kata yang baik. Suami soleh apabila berbicara dengan isteri pasti pandai memilih kata-kata yang indah lagi baik serta mengungkapkan dengan ungkapan yang menarik kerana Rasulullah telah menegaskan:”Kata-kata yang indah lagi baik adalah sebahagiaan dari sedekah. ”Bahkan lebih jauh lagi kata-kata indah ini dapat menjadi perisai dari seksaan api neraka. Dalam hal ini Rasulullah menegaskan:”Jauhilah seksaan api neraka sekalipun hanya dengan bersedekah separuh biji kurma. Barangsiapa tidak mendapatkannya maka cukup dengan kata-kata yang baik. ”Perkataan yang baik di dunia ini akan terasa sebagai cinta kasih dan pelekat jalinan persaudaraan. Manakala di akhirat kelak akan dihantar menjadi seorang penghuni syurga dan terselamat dari azab api neraka. Namun orang-orang kafir sajalah yans suka berbicara kotor dan jahat kerana Rasulullah bersabda:”Bukanlah seorang mukmin yang apabila berbicara suka mencela, suka melaknat, suka membuat keji dan berbuat jahat. ”

2. Memanggil dengan nama yang manis. Apabila seorang suami memanggil isterinya maka hendaklah menggunakan panggilan yang manis dan yang paling disukainya. Perkara ini merupakan ungkapan kasih sayang, kemesraan serta penguat jalinan cinta. Sahabat Umar bin Al-Khatab menegaskan:”Memberi salam setiap kali bertemu, melapang tempat duduk dalam majlis dan memangil dengan panggilan manis yang menjadi kesukaanya. ”Allah melarang seorang mukmin memanggil temannya dengan panggilan yang buruk dan jolokan yang mengguris perasaan. Cara yang demikian sangat dicela ole Allah SWT. Di dalam Al-Quran telah menegaskan:”Dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan yang buruk sesudah iman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka adalah orang-orang yang zalim. ”Memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak senonoh bukan mencerminkan akhlak seorang Muslim dan sangat dibenci oleh Rasulullah. Aisyah memberikan keterangan bahawaRasulullah merasa benci dengan orang yang memanggil temannya dengan panggilan yang buruk. Seandainya nama teman itu buruk, maka seharusnya diganti dengan nama yang lebih baik. Rasulullah pernah mengubah nama yang tidak baik dengan nama yang baik. Sahabat Ibnu Umar menerangkan bahawa Umar bin Al-Khatab mempunyai anak perempuan yang diberi nama ‘Ashiyah’ (ahli maksiat) . Maka Rasulullah kemudian menukar nama itu dengan ‘Jamilah’ (yang cantik) . 

:: BERMUSYAWARAH ::

Bermusyawarah adalah kunci dari segala kejayaan dan kebahagiaan dalam mengharungi hidup berumahtangga. Di dalam Al-Quran Allah telah menegaskan:”Oleh kerana disebabkan rahmat dari Allah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadanya. ”

Jadi musyawarah untuk muafakat sangat dianjurkan oleh Islam, baik dalam urusan rumahtangga mahupun yang lain. Bermusyawarah dapat mencipta ketenteraman dan ketenangan di dalam hati isteri serta menghidupkan rasa ingin selalu menghargai suami. Di samping itu musyawarah dapat mengabdikan hubungan cinta antara pasangan, menjadikan isteri lebih bertanggungjawab sehingga dapat menghidupkan kemampuan berfikir serta mengatur urusan dengan lebih berkesan. 

Dalam hal musyawarah, banyak kita temui riwayat hadis contohnya, sahabat Abi Hurairah berkata:”Aku tidak menemukan seorang pun yang lebih banyak bermusyarah dengan para sahabat kecuali Rasulullah. ”Sahabat Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:”Tidak pernah rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bernusyawarah. ”

Pada waktu bermusywarah seorang suami harus memerhatikan serta menjaga beberapa hal agar musyawarah tersebut benar-benar mendatangkan manfaat. Antaranya:
1. Dengan penuh perhatian mengemukakan masalah kepada isteri serta meminta kepadanya untuk memberi tanggapan mahupun pendapat. 
2. Jangan segera memberikan kesimpulan terhadap pendapat sebelum dipelajari dengan baik. Dalam menyelesaikan masalah hendaklah dalam keadaan yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Kerana ketenagan adalah sebahagiaan daripada rahmat Allah, sementara tergesa-gesa pula adalah perbuatan syaitan. 
3. Jangan terlalu fanatik dengan pendapat sendiri, tetapi mengalah apabila ternyata pendapat yang disampaikan tidak benar sekiranya kebenaran berada di pihak isteri. Hendaklah memberi pelajaran kepada isteri bahawa yang dituntut dalam musyawarah adalah mengutarakan pendapat, bukan mengkritik mahupun memaksa pandapat. 
4. Jangan terburu emosi apabila isteri tidak menerima pendapat atau tidak memahami kehendak si suami. 
5. Jangan mencela mahupun merendahkan pendapat isteri yang keliru, tetapi berdiskusilah dengan oenuh kelembutan dan tempatkan isteri pada tempat yang seharusnya sehingga mereka merasa puas. Jangan sesekali mematahkan pendapat dengan penuh kekerasan baik dari segi sikap mahupun perbuatan. 
6. Hendaklah bijak membuat kesimpulan musyawarah sehingga dapat memberikan ketenangan kepada isteri. Sampaikanlah penghargaan dan ucapan terima kasih atas pendapat yang telah dikemukakan dan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment