Friday, September 17, 2010

Ciri-Ciri Ekonomi Dan Harta Masyarakat Islam -

Ciri-Ciri Ekonomi Dan Harta Masyarakat Islam

Setiap masyarakat mempunyai sistem ekonomi yang khusus yang turut menjadi falsafah, akidah, teladan dan pandangan terhadap individu, masyarakat, harta, tugasnya serta ideanya terhadap agama, dunia, kekayaan dan kemiskinan.

Ini mempengaruhi manusia dalam hubungannya terhadap penghasilan kekayaan, cara memperolehi, serta cara mengagih dan menggunakannya.

Di dalam masyarakat islam, beberapa pemikiran utama yang menjadi tunggak kepada pembinaan ekonomi Islam. Antara kaedah-kaedahnya ialah:


1.Harta dinilai sebagai kebaikan di tangan orang-orang yang baik.
2.Harta dianggap sebagai harta Allah, sementara manusia hanyalah bertindak sebagai peminjamnya.
3.Menganggap seruan ke arah bekerja dan mencari pendapatan yang baik sebagai satu ibadat dan jihad.
4.Mengharamkan semua mata pencarian yang tidak baik.
5.Mengakui milikan individu serta memeliharanya.
6.Melarang individu-individu dari memiliki perkara-perkara yang amat diperlukan masyarakat.
7.Melarang pemilik harta dari memudaratkan orang lain.
8.Membenarkan pengembangan harta selagimana tidak memudaratkan akhlak dan kepentingan umum.
9.Membina jati diri umat.
10.Berjimat dalam membelanjakan harta.
11.Kewajipan mewujudkan takaful (saling bertanggungjawab) di kalangan anggota masyarakat.
12.Mendekatkan jurang pemisah antara status kehidupan.

HARTA DINILAI SEBAGAI KEBAIKAN DI TANGAN ORANG-ORANG YANG BAIK

Islam tidak melihat harta dan perkara-perkara yang baik sepertimana pandangan yang beranggapan buruk dan juga tidak sepertimana pandangan kebendaan yang keterlaluan. Sebaliknya Islam memandang harta sebagaimana berikut:
• Menganggap harta sebagai asas pembangunan kehidupan.
• Menamakan harta sebagai “khair” (kebaikan).
• Menganggap kekayaan sebagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada RasulNya dan orang-orang beriman yang bertaqwa dari kalangan hamba-hambanya.
• Menganggap kemiskinan sebagai ujian dan musibah yang dilalui oleh mereka yang menyeleweng dari ajaran-ajaran Allah serta tidak mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah.

HARTA ADALAH MILIK ALLAH, SEMENTARA MANUSIA HANYA SEKADAR PEMINJAM.
• Harta yang dikurniakan oleh Allah tidak dimiliki secara mutlak oleh manusia, manusia hanyalah sebagai pemegang amanah atau wakil
• Maka tidak harus bagi seseorang untuk menisbahkan harta serta kelebihannya semata-mata kepada usahanya, serta berkata-kata dengan kata-kata insan yang kufur.
• Seseorang itu juga tidak boleh mengawal harta untuk dirinya semata-mata tanpa mempedulikan tempat gantungan dan pemiliknya yang hakiki(keseluruhan makhluk bergantung hidup kepada Allah) dan terlupa akan kedudukannya sebagai pemegang amanah terhadap harta tersebut.

MENYERU AGAR BERKERJA DAN MENCARI MATA PENCARIAN YANG BAIK
• Harta menurut pandangan islam adalah alat untuk kehidupan yang baik dan juga alat kebaikan , infaq pada jalan Allah dan kebaikan untuk masyarakat. Oleh itu, kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya bersesuaian dengan sunnah Allah yang mengaitkan antara sebab dan musababnya.
• Islam tidak hanya menyeru kepada pekerjaan duniawi sahaja, bahkan islam telah mengkategorikan semua aktiviti tersebut sebagai ibadat dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah jika niatnya tulus serta menjaga batasan-batasan Allah.
• Fardhu kifayah ke atas umat islam untuk menyediakan bilangan yang mencukupi dari kalangan orang-orang yang terlatih di dalam setiap bidang kerjaya yang diperlukan oleh masyarakat islam sehinggalah umat islam boleh berdikari.
• Pemerintah perlu menyediakan pekerjaan yang sesuai bagi mereka yang mampu bekerja bagi mereka menyara diri dan keluarga. Pemerintah juga perlu memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari serta mengikuti latihan bagi membolehkan mereka melakukan pekerjaan tersebut.
• Setiap muslim dituntut membentuk keseimbangan antara pekerjaan, kehidupan dan akhirat, antara urusan dunia dan agama, serta antara keperluan jasad dan rohani.
• Dunianya tidak akan melalaikannya dari akhiratnya dan materialnya tidak akan melalaikan keperluan rohaninya.

MENGHARAMKAN SUMBER-SUMBER PENCARIAN YANG TIDAK BAIK
• Pencarian yang dianjurkan islam serta diakui kesannya ialah pencarian yang baik dan sesuai dengan syariat.
• Islam mengharamkan pencarian yang kotor kerana prinsip Islam ialah menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang kotor.
• Pencarian yang kotor ialah pencarian yang diperolehi melalui jalan kezaliman dan mengambil harta orang lain secara tidak benar seperti merompak, memperolehi sesuatu tidak sepadan dengan usaha dan pengorbanan seperti riba dan judi, pencarian melalui asset yang haram seperti arak dan babi serta pencarian yang dihasilkan melalui manfaat yang tidak diakui syarak seperti upah para dukun dan tukang ramal.

MENGIKTIRAF MILIKAN INDIVIDU SERTA MELINDUNGINYA.
• Pemilikan ialah ciri kebebasan. Pemilikan itu adalah ciri kemanusiaan, kerana haiwan tidak memiliki, sebaliknya manusialah yang memiliki.
• Keadilan ialah dengan memberi peluang kepada semua orang untuk bekerja dan memiliki. Apabila seseorang itu mempunyai keistimewaan lantaran kepintaran, kesungguhan, ketekunan dan kesabarannya, ia berhak mendapat balasan yang setimpal dengan usahanya.
• Oleh itu Islam membenarkan pemilikan individu. Ia membolehkan seseorang itu menjadi sangat kaya dan harta yang melimpah ruah, selagimana ia mendapatkannya dengan usaha yang halal, menafkahkan kepada yang berhak, tidak melibatkan perkara haram, tidak membazir, tidak bakhil dengan yang hak, tidak menzalimi seseorang dan tidak memakan hak orang lain seperti yang dikehendaki oleh prinsip istikhlaf (pengamanahan) Islam.
• Islam juga mendorong individu untuk memiliki harta dengan melindungi milikannya serta mewariskannya kepada zuriat yang akan datang.
• Ini adalah untuk memberi semangat yang kuat agar setiap individu berusaha serta tekun dan dapat merasakan penguasaan dan kemampuannya setiap kali mengecapi nikmat pemilikan.
• Pengiktirafan islam terhadap pemilikan individu mendatangkan kebaikan kepada umat manusia dan ekonomi.
• Syarat dalam memberi perlindungan kepada hak milik individu:

1. Ia diperolehi melalui cara yang diakui Syarak dan jalan-jalan yang diharuskan.
2. Tidak bertentangan dengan kepentingan umum. Ini kerana kepentingan ramai perlu didahulukan dari kepentingan individu.

MELARANG INDIVIDU DARI MEMILIKI PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MEMBAHAYAKAN ORANG RAMAI.

• Islam membenarkan hak milik individu terhadap harta tak alih (tanah) dan harta alih (kereta), malah punca-punca pengeluaran dan sebagainya.
• Tetapi Islam mengeluarkan semua perkara yang menjadi keperluan awam dari hak milik individu. Ini supaya ia tidak dimonopoli oleh individu atau beberapa individu sahaja. Lantas mereka akan menguasainya dan menggunakannya untuk kepentingan mereka sahaja dan menghalang orang ramai dari menggunakannya melainkan dengan harga yang tinggi.
• Keadaan ini akan memudaratkan masyarakat.


LARANGAN TERHADAP PEMILIK HARTA DARI MEMBAHAYAKAN ORANG LAIN.

• Hak pemilikan tidak memberikan kepada seseorang pemilik kebebasan untuk menggunakan hartanya sesuka hati sekalipun ia memudaratkan orang lain.
• Sebaliknya, ia terikat dengan pemilikannya itu dengan tidak menyalahgunakan haknya sehingga boleh menyebabkan bahaya kepada individu lain atau pun kepada masyarakat
• Antara yang termasuk dalam perkara yang membahayakan ialah menghalang orang lain mendapatkan manfaat di mana ia tidak mendatangkan bahaya kepadanya.

MENGEMBANGKAN HARTA DENGAN USAHA YANG TIDAK MEMUDARATKAN AKHLAK DAN KEPENTINGAN UMUM.
• Islam mendorong pemilik-pemilik harta agar memajukan harta mereka serta melaburkan harta mereka. Islam melarang mereka membekukan harta mereka.
• Namun begitu, Islam membataskan para pemilik harta dalam pengembangan dan pelaburannya hanya melalui cara-cara yang dibenarkan oleh syarak yang tidak bertentangan dengan akhlak dan nilai moral yang tinggi serta kepentingan umum.
• Contohnya, tidak harus bagi pemilik tanah membiarkan tanahnya tanpa bertani jika masyarakat memerlukan kepada tanaman-tanaman dan buah-buahan yang boleh tumbuh di situ.
• Antara cara-cara yang diharamkan dalam mengembangkan harta ialah:

1.RIBA
-Melalui sistem riba, pelaku riba akan mengeksploitasi keperluan peminjam. Mereka akan mengenakan ke atas peminjam lebihan yang diambil sebagai tanpa ada imbalan darinya dalam bentuk kerja atau sumbangan pemikiran.
-Al-Quran amat keras dalam mengharamkan riba dan menjadikannya sebagai salah satu dosa besar yang membinasakannya.

2.PENIPUAN
-Penipuan dalam apa bentuk sekalipun adalah haram.
-Antara bentuk penipuan ialah mengurangkan sukatan dan timbangan.

3.BERNIAGA BARANG-BARANG HARAM
-Antara barang-barang yang haram ialah arak, dadah, babi dan perkakas-perkakas yang haram seperti bijana yang diperbuat daripada emas dan perak, berhala-berhala dan patung-patung serta makanan yang telah rosak.
-Apabila Allah mengharamkan sesuatu barang maka harga dan nilainya turut haram.

4.IHTIKAR ( MONOPOLI HARTA YANG DIPERLUKAN OLEH UMUM)

5.SETIAP PERKARA YANG BERTENTANGAN DENGAN AKHLAK
-termasuk di dalam kemungkaran yang diperangi oleh Islam serta ditolak oleh sistem ekonomi Islam.

MEMBINA JATI DIRI UMAT.
• Bekerja untuk mewujudkan jati diri adalah salah satu kaedah terpenting di dalam ekonomi islam.
• Umat islam hendaklah memiliki pengalaman, kecukupan, wasilah dan alat untuk menjadikannya mampu mengeluarkan barangan yang mencukupi keperluannya dari segi material dan moral serta menampung kekurangan ketenteraan dan awam melalui jalan yang disebutkan oleh ahli fiqh sebagai “fardu kifayah”.
• Merangkumi semua ilmu, pekerjaan, pembuatan atau kepakaran yang menjadi keperluan manusia sama ada dalam urusan agama dan dunia.
• Antara cara-cara untuk mewujudkan jati diri:

1.MERENCANA
-Berdasarkan pada data statistik yang terperinci, angka-angka yang tepat, maklumat-maklumat yang diperlukan dan tahap-tahap kepentingannya.

2.MENYEDIAKAN SUMBER TENAGA MANUSIA SERTA MENGAGIHKANNYA DENGAN BIJAK
-Memajukan sistem pengajaran dan latihan serta pentadbiran dan kewangan untuk menyediakan tenaga dan kemampuan manusia yang pelbagai yang mampu diserapkan ke dalam pelbagai bidang keperluan.

3.MENGGUNAKAN SUMBER SEMULAJADI DENGAN BIJAK
-Menggunakan sumber-sumber ekonomi dan keupayaan material dengan bijak dapat dilakukan dengan tidak membiarkan sesuatu pun tanpa digunakan serta memeliharanya sebagai amanah yang wajib dilaksanakan dan sebagai nikmat yang wajib disyukuri.

4.MEMBUAT PENYELARASAN ANTARA SEKTOR-SEKTOR PENGELUARAN
-Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya pertindihan antara sector dengan mengabaikan satu sektor semata-mata kerana memberikan perhatian kepada sektor yang lain.

5.MENGEMBANGKAN KEKAYAAN KEWANGAN
-Menjadi kewajipan masyarakat islam mengeluarkan wang dari simpanan atau perbendaharaan untuk digunakan bagi aktiviti-aktiviti perekonomian dan pekerjaan.
-Antaranya sebagai harga untuk jual beli, upah kepada pekerja, barangan yang dimanfaatkan, modal perkongsian atau pelaburan.

BERSEDERHANA DALAM BERBELANJA.

• BERBELANJA UNTUK DIRI SENDIRI DAN KELUARGA
-Tidak harus ke atas pemilik enggan mengeluarkan nafkah wajib ke atas dirinya atau keluarga kerana kebakhilan, bimbang menjadi melarat atau berpura-pura zuhud. Islam melarang sifat bakhil.

• KEWAJIPAN BERBELANJA TERHADAP HAK-HAK WAJIB
-Hak-hak tersebut sama ada secara tetap seperti zakat dan memberi nafkah kepada kedua ibu bapa, serta hak mendatang seperti menjamu tetamu dan memberikan pinjaman kepada yang memerlukan.

• MEMBUAT KESEIMBANGAN ANTARA KEMASUKAN DAN PERBELANJAAN
-Kita tidak boleh berbelanja seanyak sepuluh jika kemasukannya hanya lapan. Ini akan mengakibatkan berhutang dan menanggung beban dari orang yang dihutangi.

• MEMERANGI KEMEWAHAN DAN ORANG-ORANG YANG TENGGELAM DI DALAM KEMEWAHAN
-Al-taraf iaitu terlampau berlebihan dalam pelbagai bentuk kenikmatan dan ia boleh merosakkan kehidupan individu dan masyarakat.
-Al-Quran menganggap kemewahan sebagai penghalang utama kepada manusia untuk mengikuti kebenaran kerana kemewahan tidak akan member peluang kepada seseorang untuk bebas dari belenggu nafsu syahwat.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL.

KEWAJIPAN MEMBERI NAFKAH KEPADA KAUM KERABAT
• Islam mewajibkan ke atas seseorang yang senang memberi nafkah kepada keluarganya yang susah sebagai mengeratkan lagi silaturrahim serta dapat menunaikan kewajipannya.
• Jika tidak menunaikan kewajipan ini, ia boleh dipaksa melalui ketentuan mahkamah Islam.

SUMBER-SUMBER PENDAPATAN NEGARA YANG LAIN.
• Zakat tidak dapat memenuhi semua keperluan orang-orang miskin. Oleh yang demikian, sumber-sumber pendapatan Negara yang lain dapat mencukupkan serta menjamin keperluan mereka.
• Antaranya ialah seperti harta rampasan perang, harta fai, kharaj dan sebagainya. Termasuk minyak, galian, tanah-tanah pertanian, estet-estet yang dipunyai oleh Negara dan sebagainya yang merupakan sumber kewangan yang besar.


KEWAJIPAN-KEWAJIPAN LAIN DI DALAM HARTA.
• Jika zakat dan keseluruhan sumber pendapatan Negara tidak dapat menjamin kehidupan orang-orang miskin, maka anggota masyarakat yang kaya hendaklah berusaha mencukupkannya.
• Jika orang-orang kaya tidakmelakukannya atas kerelaan diri mereka sendiri untuk membantu orang-orang miskin, maka pemerintah berkewajipan memaksa mereka untuk mencukupkan keperluan tersebut.
• Ia merupakan kewajipan yang mendatang yang difardhukan berdasarkan keperluan dan maslahat. Ia juga tidak mempunyai kadar yang tertentu seperti zakat.

KEWAJIPAN BERZAKAT
• Zakat merupakan tanggungjawab sosial dalam bentuk kewangan. Ia adalah rukun ketiga Islam. Sesiapa yang enggan melaksanakannya kerana kikir dan lokek hendaklah diambil dari mereka secara paksa. Jika mereka mempunyai kekuatan, mereka hendaklah diperangi sehingga mereka menunaikannya. Sesiapa yang mengingkari kefardhuannya bukan kerana baru memeluk Islam, ia dihukum sebagai kafir dan terkeluar dari agama Islam.
• Zakat bukanlah pemberian yang diberikan oleh orang kaya untuk orang miskin. Sebaiknya zakat ialah hak yang tertentu yang diurus pungutan serta pengagihannya oleh Negara melalui amil-amil zakat.
• Zakat amat berbeza dengan cukai yang diambil dari para pekerja dan usahawan, dari peniaga kecil-kecilan serta para pegawai untuk dibelanjakan bagi kepentingan pemerintah serta para kroni mereka.
• Zakat wajib ke atas setiap harta yang berkembang atau bersedia untuk berkembang, yang mencapai kadar-kadar tertentu, matang setahun dan bebas dari sebarang hutang. Ini berlaku pada binatang ternakan, emas dan perak(wang), serta harta perniagaan. Tanam-tanaman dan buah-buahan pula, wajib dikeluarkan zakatnya ketika dituai atau dipetik, sementara galian dan barang penemuan purbakala ketika menjumpainya.

SEDEKAH-SEDEKAH SUNAT.
• Islam menggalakkan umatnya agar member nafkah sama ada ketika senang atau susah, siang atau malam, secara rahsia atau terang-terangan.
• Antaranya dengan cara wakaf dan sedekah jariah serta takaful antara generasi.
• Sedekah jariah (yang mana pahalanya dinikmati oleh pelakunya yang telah mati) adalah antara perkara penting yang dianjurkan oleh Islam.
• Secara istilah disebut “wakaf khairi” yang ditakrif sebagai harta yang dikeluarkan dari hak milik perseorangan, untuk ditahankan hasil dan manfaatnya kepada saluran-saluran kebaikan semata-mata mendapatkan pahala dari Allah.
• Takaful antara generasi pula ialah satu generasi yang tidak boleh bersikap rakus dengan kekayaan bumi yang tersimpan atau tersebar di atasnya, serta memerah pati-patinya sehingga tidak tinggal lagi walau setitik pun untuk generasi akan datang.
• Setiap generasi perlu ada jaminan dan perhubungan. Generasi yang akan datang mendoakan generasi yang lalu.

MENYEMPITKAN JURANG PERBEZAAN ANTARA MANUSIA .

Islam amat prihatin agar harta tidak berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Oleh yang demikian, islam mempunyai beberapa saranan:
1.Memastikan orang kaya tidak mengembangkan hartanya melalui cara-cara yang diharamkan seperti riba, monopoli, penipuan, memperniagakan perkara-perkara haram dan seumpamanya.
2.Mewajibkan zakat keatas harta orang-orang kaya untuk diserahkannya kepada orang-orang miskin.
3.Mewajibkan orang-orang kaya menunaikan kewajipan-kewajipan lain selain zakat. Seperti memberi nafkah kepada kaum kerabat yang memerlukan, membayar nazar dan kifarat, korban, hak-hak kejiranan dan kekeluargaan, menjamu tetamu, memberi makan kepada orang yang kelaparan, membantu orang yang ditimpa kecelakaan, membebaskan tahanan, mengubati orang sakit serta memberi sumbangan terhadap musibah yang terkena ke atas umat, seperti peperangan, kebuluran dan sebagainya.
4.Sistem pewarisan yang telah disyariatkan oleh Islam. Islam menjadikan anak-anak, ibu bapa, suami isteri, ‘asabah (orang yang mengambil semua baki harta pewarisan), orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan berhak menerima harta pewarisan berdasarkan syarat-syarat tertentu.
5.Pemerintah yang sah dari segi syarak berhak mengembalikan keseimbangan masyarakat apabila ia rosak. Ini dilakukan dengan menggunakan berbendaharaan awam seperti fai dan sebagainya bukan dengan cara membekukan harta milik individu yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.

ISLAM DAN SISTEM-SISTEM EKONOMI MODEN

KAPITALIS
• Prinsip kapitalis ialah mengagungkan kebebasan individu. Individu dibiarkan melakukan apa saja, mengembangkan dan membelanjakan hartanya dengan apa cara sekalipun tanpa sebarang syarat yang disebutkan ke atas cara pemilikan, pengembangan dan perbelanjaannya.
• Hak yang diberikan kepada masyarakat terhadap hartanya , hak pengawasan serta pengiraan pemilikan, pengembangan dan perbelanjaannya adalah terlalu lemah dan hampir tiada.
• Hati nurani mereka juga tidak mempunyai sebarang pengawasan yang menyebabkan mereka menghormati dan menjaga hak ini. Malahan mereka berusaha untuk melepaskan diri dari pengawasan perundangan.

SOSIALIS
Sistem ini juga mempunyai pandangan mereka sendiri. Antaranya ialah:
• Memandang rendah kepada individu serta kebebasannya. Menganggap individu sebagai “perisai” Negara dan tidak berhak memiliki tanah,kilang, harta tak alih dan lain-lain lagi yang merupakan sumber-sumber pengeluaran.
• Turut disebut sebagai fahaman komunis atau marxis yang berdasarkan kepada penghapusan status social dan mengobarkan api permusuhan antara golongan manusia. Menggunakan cara kekerasan dan melibatkan pertumpahan darah.
• Sistem ini juga diliputi oleh tekanan politik, pemikiran ekstrim, menyekat kebebasan, menyekat pergerakan para penentang mereka serta menuduh mereka yang menentang kerajaan sebagai primitive, agen luar, pengkhianat Negara dan lain-lain lagi semenjak dari zaman ‘Lenin’ sehingga hari ini.

ISLAM
Islam amat bertentangan dengan kedu-dua sistem diatas, sama ada secara menyeluruh atau secara berasingan, lebih-lebih lagi kewujudan Islam mendahului keduanya lebih dari dua belas abad. Perbezaan bukan sekadar dari segi kebebasan individu dan kemanfaatan masyarakat, malah juga dari segi kerohanian, asas-asasnya, matlamat dan hala tuju dan fungsi.

MATLAMAT DAN FUNGSI EKONOMI ISLAM
• Islam menjadikan ekonomi sebagai cara untuk sampai kepada matlamat yang lebih besar agar manusia tidak disibukkan oleh kesukaran hidup dan perebutan makanan dari mengenal Allah, menjalinkan hubungan baik dengan Allah serta mencari kehidupan Akhirat yang lebih baik dan abadi.
• Apabila manusia mencukupi dari segi keperluan dan keamanan jiwa mereka akan menjadi tenang, lantas mereka berupaya memberikan tumpuan kepada ibadat yang khusyuk kepada Allah.
• Ekonomi di dalam islam adalah sebagai pendukung nilai, akidah dan akhlak islam.
• Islamlah sistem yang adil dan saksama, yang menyeimbangkan antara hak dan kewajipan, antara individu dan masyarakat, antara rohani dan jasmani serta antara dunia dan akhirat tanpa berlebihan dan berkurangan.




Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

Disediakan oleh: Maizatul Akma Binti Mohd Zainal

No comments:

Post a Comment