Friday, September 17, 2010

Kebenaran Maklumat Sains Cungkil Rahsia Al-Quran -

Asas Ilmu, Penemuan Dilakukan Ilmuwan Islam Jadi Pencetus Kepada Kajian Sarjana Barat.

Ada Rasul dan Nabi dikurniakan mukjizat iaitu pemberian Allah untuk melakukan perkara luar biasa yang tidak mengikut sebab musabab. Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu mukjizat hissi dan aqli.

Mukjizat hissi dalam bentuk yang boleh di kesan pancaindera(dilihat, didengar, atau disentuh) dan bertindak secara fizikal seperti contoh tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular atau Nabi Musa menyembuhkan orang buta sejak lahir.

Mukjizat aqli pula hanya mampu difahami manusia dengan akal sihat, bebas daripada emosi dan prasangka serta dengan mata hati yang masih boleh menerima hidayah. Satu-satunya mikjizat aqli ialah Al-Quran. Seterusnya kita akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang mukjizat aqli ini.

Sesungguhnya keagungan dan kebenaran kandungan Al-Quran tidak dapat di sangkal sesiapa lagi. Kandungan Al-Quran tidak mampu dicipta sesiapa selain Allah Maha Pencipta. Hal ini membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah bermaksud:Maka apakah mereka tidak memerhatikan Al-Quran?Kalau sekiranya Al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat percanggahan yang banyak di dalamnya. ’’(surah An-Nisa, ayat 82).

BUKTI-BUKTI KEBENARAN MAKLUMAT SAINS DALAM AL-QURAN

1.Doktor perubatan Perancis Maurice Bucaille(1978) menulis di dalam bukunya yang bertajuk THE BIBLE THE QURAN AND SCIENCE ‘Sementara ada kesalahan amat ketara dalam Bible, saya tidak mendapati satu pun kesalahan dalam Al-Quran.
2.Buku Encyclopedia Britannica edisi ke 9 mencatakan Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu sains dengan ketuhanan.
3.Christopher Columbus(1451-1506 Masihi) mengakui naluri atas dorongan kuat untuk belayar ke arah Barat dari Eropah sehingga menemui benua Amerika berdasarkan rujukan tulisan ilmiah kitab Geografi Ibn Rushd.
4.Kumpulan astronomi diketuai Muasa Ibn Shaki di arahkan Khalifah al-Mamum mengukur lilitan Bumi di Khatulistiwa sepanjang 40, 253. 4km. Anggaran yang di buat pada hari ini ialah 40, 068km. Maklumat mengenai Bumi itu bulat banyak diterangkan dalam Al-Quran walaupun tidak secara khusus.
5.Cendekiawan Islam seperti Al-Biruni, Nazir, Al-Dinb, Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Musa al- Khuwarizmi dan Ibnu Yunus mengemukakan teori sains bedasarkan pengetahuan yang diperoleh daripada Al-Quran.
6.Ayat berkaitan kosmologi(mengkaji asal usul, proses, dan struktur alam semesta) menyebut mengenai langit serta bintang sebanyak 29 ayat, planet, bintang dan orbit sebanyak 15 ayat, musim(25 ayat), penerbangan angkasa lepas(5 ayat), tahi bintang(4 ayat), kehidupan di angkasa lepas(5 ayat) dan angkasa lepas(8 ayat).
7.Pakar Sains bukan Islam mengakui kebenaran fakta dalam Al-Quran sehingga ada antara mereka yang memeluk Islam.
8.Terdapat kira-kira 750 rujukan berkaitan alam semesta dalam agama Islam.

Biarpun Al-Quran sudah diturunkan kira-kira 1400 tahun dahulu manusia masih belum mampu membongkar semua kandungannya. Semakin banyak yang dikaji. semakin banyak manusia berasakan tidak mengetahuinya.

Banyak maklumat sains dalam Al-Quran dibongkar dan diakui kebenarannya oleh pakar termasuk bukan Islam. Mereka mengakui kandungan dalam Al-Quran bukan direka Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin maklumat setepat Al-Quran dicipta atau dikarang manusia.

Perkara yang diterangkan dalam Islam mengenai sains wajar dijadikan pemangkin supaya umat Islam dapat mencari lebih banyak pengetahuan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan termasuk berkaitan sains. Islam mengajar kita mendalami ilmu untuk kebaikan umatnya. Manusia akan lebih mengenali Maha Pencipta apabila mengetahui lebih banyak mengenai ciptaan-Nya.

Islam juga menuntut umatnya memanfaatkan seluruh kejadian alam dan ini hanya dapat dilakukan dengan adanya ilmu. Cuba anda bayangkan jika Islam menolak sains pastinya hal berkaitan sains tidak dimasukkan dalam Al-Quran dan tamadun Islam tidak akan berkembang.

Kandungan ilmu dalam Al-Quran juga mengajak kita untuk memperteguhkan tauhid mengesakan Allah. Banyak ayat Al-Quran mengajak kita berfikir serta mengkaji dan memahami tabii alam.

Firman Allah bermaksud:`Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?(surah al-Anam, ayat 32).

Mengagumi kandungan Al-Quran menjadi inspirasi kepada sarjana Islam dulu yang berjaya menemukan banyak ilmu sains yang menjadi asas kepada ilmu sains dan teknologi sekarang. Mereka bersungguh-sungguh memartabatkan agama Islam yang syumul. Nama seperti al-Biruni, Nazir, al-Dinb, Ibnu Sina, al-Khuwarizmi dan ramai lagi berjaya mencungkil dan mengemukakan teori sains mereka berdasarkan pengetahuan yang diperoleh dari Al-Quran.

Penguasa atau pemerintah umat Islam pada era kebangkitan Islam dulu memberi kedudukan yang tinggi kepada ahli sains. Mereka menyumbang kepada perkembangan ilmu sains dan matematik serta teknologi. Antara bidang yang di sumbang oleh mereka seperti perubatan, zoologi, algebra, angkasa lepas, trigonometri dan banyak lagi.

Apa yang pasti mereka telah berjaya mengubah cara hidup manusia ke arah yang lebih baik. Para sarjana Islam mengkaji serta mencari penemuan-penemuan yang baru berdasarkan kandungan Al-Quran.

Mereka mengumpul semua maklumat termasuk yang ditemui atau diperkatakan ahli sebelumnya dan dipadankan pula dengan apa yang dijelaskan dalam Al-Quran. Hasilnya mereka berjaya mendapat satu keputusan yang lebih tepat dan menjadi rujukan ahli dalam bidang berkenaan sehingga ke hari ini.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa asas ilmu atau penemuan dilakukan ilmuwan Islam menjadi pencetus kepada kajian seterusnya oleh ilmuwan Barat. Semua kajian itu bemula daripada apa yang telah dijelaskan dalam Al-Quran.

Sebenarnya tanpa buku-buku Islam sememangnya sukar untuk orang-orang Barat untuk memahami ilmu-ilmu dan penemuan yang dilakukan para sejarawan kita.

Pernah Regiomontanus diperintah agar membuat perkakas gerhana berdasarkan ilmu Ptolemy(sejarawa Barat) tetapi kerana tidak cukup maklumat beliau telah merujuk kepada buku-buku astronomi Islam. Selasai sahaja kerjanya beliau telah memberi nama “Alidade”, sebagai memperingati jasa Alidad yang menciptanya.

Sekarang kandungan Al-Quran semakin banyak dikaji pakar sains bukan Islam. Mereka mendapati apa yang terkandung dalam Al-Quran adalah benar belaka. Ada antara mereka yang menganut Islam selepas mengkaji kandungan Al-Quran. Sebahagian yang lain pula walaupun menjadikan Al-Quran sebagai bahan kajian tetapi juga tidak mampu untuk menolak kebenarannya.

Seharusnya umat Islam itu sendiri perlu mengkaji isi kandungan Al-Quran supaya kita dapat mempelajari segala perkara dan hal-hal yang tersingkap dalam kandungan Al-Quran seperti ilmu sains, matematik, peradaban manusia, teknologi, sejarah-sejarah agama Islam dan sebagainya supaya umat manusia yang lain lebih mempercayai dan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap kita.

Dengan itu kita juga mampu untuk mengunakan segala ilmu yang kita peroleh untuk memajukan bangsa Islam terlebih dahulu supaya kita dapat menjadi model kepada pembangunan ilmu di negara lain. Mereka juga akan mula mengagumi agama Islam dan bertekad untuk menganutnya.

Secara tidak langsung umat Islam telah berjaya menyebarkan agama Islam dengan lebih menyeluruh. Justeru umat Islam kini perlu bangkit untuk meneruskan apa yang pernah dicapai tokoh ilmu sains Islam terdahulu.

Masih terlalu banyak kandungan Al-Quran yang masih belum dikaji dan memerlukan penelitian untuk memanfaatkannya. Jika bukan Islam yang berminat terhadap Al-Qurn mengapa umat Islam tidak mengambil kesempatan itu.

Umat Islam kini hanya membaca Al-Quran tetapi tidak cuba mencungkil 1001 rahsia disebalik setiap isi yang terkandung dalam 6666 ayat itu.

Renung-renungkan.

KESIMPULAN

Al-Quran itu diturunkan Allah melalui Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjadi panduan kita seluruh umat Islam sehingga ke akhir zaman. Walupun Al-Quran itu sudah beribu-ribu tahun lamanya telah diturunkan kepada umat Islam tetapi masih ramai yang tidak mengamalkannya.

Ketika ajaran agama Islam telah meluas tersebar barulah kita dapat melihat kewujudan tamadun Islam yang maju telah membangun disegenap pelosok dunia. Hasilnya kita dapat melihat kepada kewujudan dan penciptaan teknologi serta ilmu sains dan matematik yang unggul.

Semua ini hasil daripada para sarjana Islam yang bertungkus-lumus mengkaji dan mempelajari rahsia daripada Al-Quran. Kerana dari Al-Quran telah wujud segala ilmu sains, matematik dan teknologi yang diceritakan satu persatu dengan lengkap.

Para sarjana Islam telah berjaya merungkai isi kandungan Al-Quran dan panduan sehingga berjaya menghasilkan ilmu pendidikan seperti algebra, trigonometri, perubatan, zoologi, sistem cakerawala dan sebagainya.

Dari situ lahirlah sarjana sains yang unggul seperti al-Khwarizmi, Ibn-Sina, al-Biruni, Ibn-Rushd dan ramai lagi.

Tidak dinafikan lagi Al-Quran memang banyak mempengaruhi hidup umat Islam. Cuma hanya kita sahaja yang perlu berusaha untuk mengorek dan mempelajari dengan lebih mendalam untuk memperoleh hasilnya. Wallahualam.





Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

Disediakan oleh: Naaim Bin Abd Karim

No comments:

Post a Comment