Friday, September 17, 2010

Perpaduan Menurut Islam -

Telah menjadi fitrah atau tabiat semulajadi manusia inginkan perpaduan tidak kira apa kaum atau bangsa mereka. Tiada manusia dari apa kaum atau bangsa sekali pun yang sukakan perpecahan. Lebih-lebih lagi kalau perpecahan itu membawa kepada permusuhan dan seterusnya kepada perbalahan, pergaduhan dan peperangan.

Kalau berlaku pergaduhan dan peperangan, manusia akan jadi susah. Susah dalam mencari rezeki, tidak aman dalam perjalanan, tidak dapat tidur, tidak dapat rehat, sentiasa sahaja bimbang, takut rosak harta benda ataupun terkorban nyawa. Kalau masih hidup pun selepas peperangan, mungkin akan cacat anggota. Dengan demikian, akan terhalang untuk mencari kekayaan, untuk membangun dan untuk membuat kemajuan.

Bila berlaku peperangan, manusia hilang kebebasan. Manusia hidup dalam ketakutan. Jiwa manusia tertekan. Mereka jadi keluh-kesah dan gelisah. Kesan dan risiko peperangan sangat besar dan sangat buruk. Mungkin kesan buruknya terpaksa ditanggung oleh beberapa generasi yang akan datang.

Oleh itu, perpecahan adalah musuh kepada manusia. Sebab itu manusia tidak mahu dan tidak suka kepada perpecahan. Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situlah letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia tidak kira apa etnik dan bangsanya. Justeru itulah manusia sangat ingin kepada perpaduan.

Manusia itu makhluk yang bermasyarakat

Adalah juga menjadi fitrah semulajadi manusia suka bergaul, bermasyarakat, bertemu dan berjumpa antara satu sama lain. Di antara sebabnya ialah:
1.Manusia tidak boleh hidup bersendirian. Apabila bersendiri, terasa sepi dan kosong. Apabila bertemu dan bergaul, manusia dapat berbual antara satu sama lain. Fikiran dan hati akan rasa terisi dan jiwa akan terhibur.
2.Untuk mendapatkan kesemua keperluan hidup, walaupun yang asas, manusia tidak mampu mengusahakan kesemuanya secara bersendirian. Mesti ada bantuan orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung.
3.Manusia tidak boleh terlepas dari berbagai-bagai ujian hidup seperti sakit, miskin, ditimpa bencana alam, kematian dan sebagainya. Manusia memerlukan bantuan orang lain dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
4.Watak dan tabiat semulajadi manusia sering mengundang seteru dan musuh. Untuk menolak kejahatan musuh, manusia perlu kepada kawan atau pihak-pihak yang dapat menolong.
5.Kerana adanya rangsangan dan tarikan di antara lelaki dan perempuan maka timbul perlu memerlukan di antara satu sama lain. Maka berlakulah perkahwinan dan pertemuan di antara dua keluarga.
6.Manusia juga ingin membangun dan maju. Maka mereka wujudkanlah perniagaan dan perdagangan. justeru itu maka lahirlah perhubungan di antara majikan dan pekerja. Majikan perlukan pekerja kerana tenaga dan kemahiran mereka dan pekerja pula perlukan majikan untuk mendapat saraan dan gaji.
7.Tabiat semulajadi manusia inginkan ilmu. Maka lahirlah perhubungan di antara guru dan murid yang saling perlu-memerlukan.
8.Sudah menjadi tabiat semulajadi orang yang pandai dan kuat ingin menjadi pemimpin. Orang yang lemah pula ingin dilindungi oleh orang yang kuat. Maka lahirlah perhubungan di antara pemimpin dan pengikut yang sama-sama saling perlu-memerlukan.

Setelah diteliti perkara-perkara di atas, nyata dan jelas sekali kepada kita bahawa dalam kehidupan ini, manusia memerlukan satu sama lain. Manusia perlu sandar menyandar, bertolong-bantu dan bekerjasama. Kalau tidak, manusia tidak boleh hidup. Sama ada suka atau tidak, manusia terpaksa hidup begitu. Kalau fitrahnya tidak mendorong, keadaan dan realiti hidup akan memaksa manusia memerlukan satu sama lain.

Mengapa perpaduan itu penting bagi manusia

Setelah kita buktikan melalui kajian dan pengalaman hidup kita bahawa manusia itu terpaksa hidup saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, maka logiknya manusia itu mesti bersatu-padu dan mesti berusaha untuk mencapai perpaduan. Barulah manusia tidak akan bergaduh, tidak akan berkrisis, tidak akan berdengki, tidak akan bermusuh-musuhan, tidak akan jatuh menjatuhkan dan tidak akan berperang sesama sendiri. Manusia akan saling hormat menghormati dan berkasih sayang. Dengan itu, manusia akan mudah mengendalikan urusan hidup dan mudah memenuhi keperluan satu sama lain. Namun realitinya tidak begitu. Manusia sentiasa sahaja berpecah-belah dan bermusuhan, sekalipun di dalam satu etnik dan di dalam satu rumpun bangsa yang sama.

Mengapa manusia sukar mencapai perpaduan

Walaupun manusia itu satu sama lain perlu sandar menyandar, lengkap melengkapi dan saling perlu memerlukan, tetapi mereka payah untuk bersatu dan berpadu. Ini kerana dalam diri manusia itu ada nafsu. Nafsu itu sangat jahat. Di antara sifatnya ialah tamak dan mementingkan diri. Kehendak dan keperluannya tidak terbatas dan tidak bertepi. Di samping nafsu, ada pula syaitan yang sentiasa mendorong manusia bermusuh-musuhan di antara satu sama lain.

Nafsu itu, dalam hendak mencapai kehendaknya, dia tidak kira halal atau haram, buruk atau baik, yang boleh atau yang tidak boleh. Dia akan gunakan apa juga cara sama ada dengan memerah tenaga orang secara tidak patut, memfitnah orang, memburuk-burukkan orang, mengambil hak orang, menindas, menekan atau menghina orang. Oleh yang demikian, di dalam manusia itu saling perlu memerlukan, mereka berpecah-belah. Di dalam mereka saling bertolong bantu, mereka bersenget hati. Di dalam mereka saling sandar menyandar, mereka ada kepentingan diri. Di dalam mereka bergotong-royong, ada pengkhianatan. Di dalam perkongsian, ada penipuan. Di dalam satu keluarga, satu jemaah, satu parti, satu kaum dan satu bangsa, ada jatuh-menjatuh dan khianat mengkhianati.

Rahsia Perpaduan

Bersatu dan berpadu bukanlah satu perkara yang mudah. Untuk menyatu-padukan ahli-ahli sebuah keluarga atau rumahtangga pun amat sulit, inikan pula hendak menyatu-padukan satu bangsa dalam sebuah negara. Perpaduan tidak semestinya berlaku secara atomatis dalam sesuatu rumpun bangsa atau keturunan atau satu-satu etnik atau berdasarkan keturunan sedarah sedaging atau kerana satu tempat lahir atau satu ideologi atau kerana berada dalam sebuah parti atau jemaah yang sama.

Perpaduan pula ada beberapa peringkat dan kategori seperti di bawah:

1. Perpaduan fizikal iaitu perpaduan yang bersifat luaran semata-mata. Ertinya ia tidak diikat oleh akal atau jiwa tetapi hanya oleh keperluan semasa atau desakan-desakan hidup yang tidak dapat atau payah untuk dielakkan. Diwujudkan perpaduan lahir atau fizikal ini dengan tujuan untuk menjaga nama baik atau supaya tidak dipulaukan orang. Atau untuk mengelak tanggapan negatif masyarakat sekampung, masyarakat setempat, masyarakat dalam satu-satu parti atau satu-satu negara. Atau supaya jangan dimusuhi oleh orang ramai. Untuk tujuan ini maka manusia bergaul dan bertemu dalam kerja-kerja gotong-royong, di dalam majlis membaca ikrar, dalam majlis kenduri-kendara di surau atau di rumah-rumah, dalam majlis menguruskan kematian, dalam mesyuarat kampung atau mesyuarat sekolah di mana anak-anak mereka belajar atau dalam pertemuan penduduk setempat untuk membincangkan masalah bersama atau jenayah yang sangat menyusahkan dan menggugat keselamatan umum yang mereka pun sama-sama merasa takut.

Semua bentuk perpaduan yang disebut di atas dinamakan perpaduan fizikal. Ia diikat oleh faktor-faktor luaran atau oleh desakan-desakan dan keperluan-keperluan semasa. la tidak diikat oleh faktor-faktor dalaman seperti akal atau fikiran dan jiwa. Perpaduan seperti ini sangat longgar. Ikatannya tidak kuat dan tidak teguh. Ikatan seperti ini tidak mampu untuk menghindarkan sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, jahat sangka, khianat, mengadu domba, sombong, riyak, cari nama, glamour, pemarah, tamak dan lain-lain lagi. Ertinya perpaduan seperti ini sentiasa terdedah kepada keretakan dan perpecahan kerana sifat-sifat mazmumah seperti yang disebut tadi sebenarnya adalah pemecah dan perosak perpaduan, kesatuan dan persaudaraan.

Perpaduan fizikal seperti ini tidak boleh diharapkan. Perpaduan fizikal adalah reput dan rapuh. Ia ibarat buih di laut. Buih di laut, walaupun menggunung besarnya, tidak kuat dan tidak padu. Bila-bila sahaja boleh pecah. Angin, ombak dan sampah sarap sahaja pun sudah cukup untuk memecahkannya. Belum lagi ianya dilanda oleh kapal-kapal besar atau ribut taufan yang kuat. Lebih-lebih lagilah ia akan berkecai, terbarai dan terburai.

Perpaduan fizikal tidak mempunyai ikatan dalaman yang teguh. Mengikut Islam, ia belum lagi boleh dikatakan perpaduan kerana ia berlaku disebabkan oleh desakan dan keadaan-keadaan luaran yang memaksa dan bukan diikat oleh akal atau fikiran atau jiwa yang satu.

2. Perpaduan fikiran iaitu perpaduan yang diikat oleh satu pendapat atau satu pandangan. Biasanya perpaduan seperti ini berlaku dalam sebuah masyarakat setempat atau dalam satu-satu puak atau jemaah atau dalam satu-satu bangsa di dalam sebuah negara. Biasanya juga ia melibatkan sesuatu projek, sesuatu perkara atau sesuatu isu sahaja. Walaupun pandangan dan pendapat yang sama itu diikat oleh faktor dalaman iaitu oleh akal fikiran, namun perkara yang disepakati itu adalah di dalam hal-hal luaran yang bersifat keduniaan. Kemudian pula, ia adalah berbentuk keperluan-keperluan semasa. Di masa-masa di mana perkara, projek atau isu itu tidak diperlukan lagi, maka ikatan itu akan terungkai dengan sendirinya. Ini termasuklah perpaduan dalam satu ideologi atau fahaman.

Ikatan akal atau fikiran seperti ini juga tidak dapat membuang sifat-sifat mazmumah di dalam diri manusia seperti hasad dengki, khianat, tamak, pemarah, bakhil, pendendam, jahat sangka, mengumpat, memfitnah, mengata, menghina dan lain-lain lagi. Walhal sifat-sifat mazmumah inilah yang memecah-belahkan manusia walaupun manusia sudah boleh bersatu pendapat, bersatu pandangan dan bersatu ideologi dalam sesuatu perkara.

Oleh itu, perpaduan akal atau fikiran atau ikatan ideologi juga tidak kukuh dan tidak teguh. Ia juga boleh diibaratkan sebagai buih di laut. Nampak menggunung tetapi ia rapuh. Nampak hebat tetapi tidak kuat. Sampah sarap sahaja pun boleh memecahkannya. Betapalah gelombang besar atau kapal besar yang melanda.

Justeru itu, Islam belum boleh menerima perpaduan akal atau fikiran atau perpaduan ideologi ini sebagai satu bentuk perpaduan bagi umat Islam.

3. Perpaduan keyakinan laitu perpaduan yang diikat oleh satu keyakinan yang benar dan mutlak yang bersifat kekal abadi. Satu bentuk perpaduan yang tidak akan berkesudahan sampai mati dan yang kekal abadi. Ikatan yang diikat oleh iman yang dihayati oleh jiwa atau hati dan bukan setakat iman secara fikiran semata-mata. Ia melibatkan iman dan keyakinan kepada Allah Taala dan kepada rukun-rukun iman yang lain yang wajib diimami secara penghayatan. Ia juga diikat oleh syariat, iaitu peraturan-peraturan dan disiplin-disiplin kehidupan yang telah disampaikan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang terkandung di dalam Al Quran dan yang termaktub di dalam Sunnah Rasul seperti yang disebut di dalam firman-Nya:

"Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali-tali Allah (syariat Allah / agama Islam / Al Quran dan Sunnah) dan janganlah kamu semua berpecah-belah (Iaitu berpecah-belah dari beriman dan dari syariat-Nya). " (Ali Imran : 103)

Dari ayat ini, ada beberapa perkara yang dapat kita faham. Di antaranya:
•Beriman dengan Allah Taala (diikat oleh iman atau aqidah).
•Beriman juga dengan syariat Allah (diikat oleh syariat Allah Taala di dalam semua hal dan aspek kehidupan seperti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, dalam soal pendidikan, politik, ekonomi, pentadbiran, perjuangan dan kenegaraan. Syariat Allah Taala menjadi pengatur dan pendisiplin dalam semua hal).
•Jangan berpecah-belah dalam iman dan syariat-Nya. Dalam erti kata yang lain, jangan beriman dengan sesetengah hukum-hukum yang Allah turunkan dan ragu dengan sesetengahnya pula. Begitu juga, sesetengah syariat-Nya seperti solat, zakat, puasa dan haji kita amalkan tetapi dalam berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, berpendidikan, berpolitik, berpentadbiran, bernegara dan lain-lain, kita bersyariatkan akal kita atau kita bersyariatkan ideologi ataupun pragmatisme. Kita tolak syariat Tuhan. Semua ini masih hasil ciptaan akal fikiran manusia dan bukan syariat daripada Al Quran dan Sunnah yang datang dari Allah Taala yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Di sini, baru kita faham bahawa kalau umat Islam ingin bersatu dan berpadu secara kuat dan teguh, maka hendaklah umat Islam ini diikat di antara satu sama lain dengan ikatan iman dan aqidah dan juga dengan syariat Allah Taala secara global dan secara total. Kalau berlaku sebaliknya, maka akan terjadilah pecah-belah.

Apabila umat Islam kesemuanya diikat oleh satu iman atau aqidah dan juga oleh undang-undang dan perlembagaan Allah Taala di dalam seluruh aspek kehidupan, maka umat Islam sebenarnya telah bersatu dan berpadu. Inilah dia bentuk perpaduan yang kuat dan teguh yang diterima bagi umat Islam. Kita mesti usahakan dan perjuangkan perpaduan yang seperti ini. Kalau kita perjuangkan perpaduan yang selain daripada ini, ertinya kita hanya memperjuangkan perpaduan buih di laut.

Apabila perpaduan tidak diikat oleh iman dan syariat

Umat Islam di seluruh dunia tidak akan bersatu dan berpadu kalau satu sama lain tidak diikat oleh satu aqidah dan satu syariat. Ajaran Islam yang mengatakan begitu. Tidak perlulah kita berbahas dan bertegang leher dan mengatakan bahawa umat Islam boleh juga bersatu dan berpadu tanpa kesatuan iman atau aqidah dan tanpa kesatuan syariat.

Yang jelasnya, umat Islam tidak akan bersatu dan berpadu atas dasar ekonomi, ideologi ataupun isme-isme yang lain. Ini kerana ekonomi, ideologi dan isme tidak ada elemen pembendung perpecahan. Dalam erti kata yang lain, tidak ada apa-apa dalam ekonomi, ideologi atau isme yang boleh membendung sifat-sifat mazmumah yang sangat memecah-belahkan manusia kerana di dalam ajaran ideologi atau isme atau jelasnya, di dalam semua ajaran hasil dari teori akal fikiran manusia, tidak ada ajaran takutkan Allah, takutkan Neraka atau cintakan Allah. Kalau manusia sudah tidak takutkan Tuhan dan Neraka-Nya, apalagi kah yang boleh membendung dan menghalang manusia daripada melakukan kejahatan lahir dan batin yang boleh memecah-belahkan kehidupan manusia, yang boleh merenggangkan persaudaraan dan yang boleh menghancurkan perpaduan dan persatuan di kalangan umat.

Oleh itu, maka jelaslah bahawa ajaran ideologi atau teori akal fikiran manusia tidak akan boleh mencetuskan perpaduan di kalangan umat Islam kerana ikatannya tidak ada. Kalaupun dikatakan ada, ia adalah ikatan yang sangat lemah dan rapuh. Justeru itu, di dalam sesuatu jemaah atau parti atau sesebuah negara sekalipun, umat Islam tidak akan boleh bersatu dan berpadu kalau ikatan perpaduannya hanya setakat ajaran ideologi atau ajaran teori akal fikiran manusia. Bahkan, di dalam sesebuah parti Islam sekalipun, kalau iman tidak benar-benar dihayati dan kalau syariat Islam berjalan secara longgar di kalangan ahli-ahlinya, ia juga tidak akan melahirkan perpaduan yang kuat dan kukuh di kalangan ahli-ahli parti berkenaan.

Perpaduan adalah ikatan jiwa

Selepas kita bahaskan tentang soal perpaduan ini, fahamlah kita bahawa perpaduan di kalangan umat Islam itu adalah berasaskan ikatan jiwa yang satu aqidah dan satu iman yang benar-benar dihayati oleh setiap jiwa orang Islam. la bukan sekadar aqidah atau iman yang berdasarkan akal fikiran semata-mata tetapi ia adalah aqidah atau iman yang benar-benar dapat mencetuskan cinta kepada Allah Taala atau yang benar-benar dapat mencetuskan rasa takut dan gerun dengan Allah Taala serta diikat pula oleh syariat Islam sebagai peraturan dan disiplin kehidupan.

Apabila ikatan jiwa atau perpaduan yang asas ini wujud dengan kuat dan teguh, maka perpaduan yang lain seperti perpaduan fizikal atau perpaduan fikiran akan memperindahkan lagi perpaduan tersebut dan membuatkannya bertambah lengkap dan kemas. Akan tetapi kalau perpaduan yang asas ini tidak wujud ataupun lemah, perpaduan fizikal dan fikiran tidak mempunyai apa-apa makna dan tidak akan menambahkan apa-apa kepada perpaduan umat Islam.

Ikatan jiwa yang ditunjangi oleh aqidah dan iman dan yang dihayati ini amat teguh kerana ikatannya berkait terus dengan Allah Taala yang bersifat kekal abadi. Ikatan jiwa yang sama-sama terhubung dengan Allah ini tidak reput dan tidak rapuh. la tidak bersifat dengan sifat yang baharu atau bersifat dengan sifat makhluk yang banyak mempunyai kelemahan. Siapa yang bersandar dengan makhluk pasti lemah dan siapa yang bersandar terus dengan Allah Taala pasti kuat dan teguh.

Ikatan jiwa di kalangan umat Islam diikat oleh aqidah atau iman yang satu. Itulah dia yang dikatakan kesatuan atau perpaduan jiwa. Perpaduan jiwa dengan Tuhan tidak ada kepentingan dunia. Oleh itu penyakit pecah-belah tidak akan wujud kerana penyakit pecah-belah hanya akan hidup subur jika ada kepentingan dunia. Apabila penyakit pecah-belah tidak wujud, maka perpaduan umat Islam akan selamat dari bahaya pecah-belah kerana yang memecah-belahkan manusia itu ialah dunia dan mata bendanya dan nafsu yang rakus yang tidak terkawal.

Kalau jiwa sudah terpaut dengan dunia dan mata bendanya, akan timbul penyakit tamak, bakhil, rebut merebut dan saing menyaing. Kemudian akan datang hasad dengki, sakit-sakit hati, marah, dendam berdendam, fitnah memfitnah dan umpat mengumpat. Lahirlah budaya nafsi-nafsi dan pecahlah umat.

Perpaduan aqidah atau perpaduan iman ertinya sama-sama cintakan Allah atau sama-sama takutkan Allah. Walaupun semua manusia sama-sama cinta atau takutkan Allah Taala, namun Allah itu tidak jadi rebutan dan tidak berlaku sebarang persaingan. Makin masing-masing kuat cinta atau takutnya kepada Allah, semakin kuat masing-masing bersatu dan berpadu. Cuma orang-orang yang tidak beriman atau orang-orang yang sudah lemah iman mereka sahaja yang akan merasa tidak senang. Dari mereka ini sahajalah lahir hasad dengki terhadap orang-orang yang kuat cinta dan takutnya kepada Allah.






Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

Disediakan oleh: Ahmad Farid Wajdie B. Mahmud

No comments:

Post a Comment