Wednesday, September 15, 2010

7 Perkara Dihiasi dengan 7 perkara -

. . 7 itu sangat agung di sisi Allah SWT. . 

Allah SWT telah menciptakan 7 perkara dengan 7 perkara. Kemudian Allah SWT menghiasi pula tiap-tiap 7 perkara itu dengan 7 perkara yang lain. Untuk mengkhabarkan kepada orang-orang yang berilmu bahawasanya 7 itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah SWT. 

. . . Rahsia kelebihan hari Ahad. . . 

Hari Ahad merupakan hari pertama yang diciptakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah menciptakan tujuh perkara dalam hari tersebut. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra. mengatakan:”Bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang hari Ahad, maka baginda menjawab, hari Ahad merupakan hari menciptakan dan memakmurkan. Para sahabat bertanya, mengapa demikian ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, ”Kerana pada hari tersebut Allah SWT mulai menciptakan dunia dan memakmurkannya. ”

Penciptaan pertama Allah SWT pada hari Ahad ialah tempat jalan bintang-bintang (langit). Pada mulanya Allah SWT telah menciptakan langit dari asap. Kemudian Allah SWT menjadikan asap kepada tujuh bahagian. Bahagian pertama merupakan air, bahagian kedua ialah embun, bahagian ketiga ialah perak, bahagian keempat ialah emas, bahagian kelima ialah mutiara, bahagian keenam ialah mira delima dan bahagian terakhir ialah besi. Allah SWT juga telah menciptakan dari satu asap itu dengan tujuh lapis langit yang berbeza-beza. Tetapi Allah SWT menciptakan sesuatu yang unik iaitu air yang diturunkan dari langit ke bumi yang bertujuan untuk menghidupkan muka bumi yang tandus. Dari setiap titisan air itu maka tumbuhlah pelbagai jenis tumbuhan yang berbeza warna dan dari tumbuhan yang berbeza warna itu telah menghasilkan buah yang berbeza-beza rasa. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon tamar yang bercabang dan tidak bercabang disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda ( kebesaran Allah SWT ) bagi kaum yang berfikir. ”( Surah Ar-Ra’d, ayat 4)

Penciptaan kedua pada hari Ahad ialah penciptaan bintang-bintang di langit. Allah SWT telah menjadikan bintang-bintang itu dalam tiga jenis. Antaranya bintang yang dinamakan dengan Tsawabit atau bintang tetap ( bintang-bintang yang tidak bergerak dan tidak terbenam), bintang-bintang yang terbit dan terbenam dan bintang-bintang yang beredar di tempat edarannya. Dari tiga jenis bintang ini pula terdapat tujuh bintang yang paling besar iaitu Zuhal, Musytari, Marikh, Syamsu, Zahroh, Atharid dan Qomar. Bintang-bintang ini mempunyai tempat peredarannya tersendiri. Dengan itu, Allah SWT telah menetapkan tujuh falak di langit sebagai tempat peredaran tujuh planet atau bintang tersebut. 

Penciptaan yang ketiga ialah penciptaan api neraka yang bertingkat-tingkat. Allah SWT telah menciptakan api neraka dengan tujuh buah pintu berdasarkan tingkat-tingkat tersebut. Antara tingkat-tingkat itu ialah Neraka Jahanam untuk golongan pendusta, Neraka Sa’ir untuk golongan yang lalai dalam solat, Neraka Saqor untuk golongan pengumpat dan pencela, Neraka Jahim untuk golongan yang sesat, Neraka Huthamah untuk golongan yang mempersekutukan Allah SWT, Neraka Lazo untuk golongan yang keras hati dan Neraka Hawiyah untuk golongan yang curang dalam menimbang. 

Penciptaan yang seterusnya ialah penciptaan tujuh lapis bumi. Seperti yang kita ketahui bumi mempunyai lapisan-lapisan yang tertentu. 

Firman Allah SWT bermaksud:”Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah SWT berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmunya benar-benar meliputi segala sesuatu. ”

Penciptaan yang seterusnya ialah penciptaan tujuh lautan yang besar. 

Firman Allah SWT bermaksud:”Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut menjadi tinta, ditambah kepadanya tujuh laut lagi sesudah keringnya, nescaya tidak akan habis-habisnya dituliskan kalimah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ”

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Dan Dialah yang menundukkan lautan untukmu, agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan) dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnianya, dan supaya kamu bersyukur. ”

Selain itu penciptaan tujuh anggota tubuh badan manusia juga telah di lakukan pada hari Ahad. Manusia adalah ciptaan Allah SWT yang paling kukuh di mana terkumpul pada dirinya segala sesuatu yang ada pada alam ini. Jika langit mempunyai ketinggian, manusia juga mempunyai ketinggian. Jika angkasa mempunyai matahari dan bulan maka manusia mempunyai dua biji mata. Jika di angkasa mempunyai deretan bintang-bintang maka manusia mempunyai susunan gigi-gigi yang rapi. Jika langit mempunyai qathrah atau titisan air hujan, maka manusia mempunyai abrah atau air mata. Jika di langit ada suara petir maka pada diri manusia ada suara bersin. Jika di bumi ada kestabilan maka pada diri manusia juga ada ketenangan. Jika di bumi ada sungai-sungai maka pada diri manusia ada urat-urat, sedangkan rambut bagaikan rumput-rumput. 

Penciptaan yang terakhir ialah penciptaan tujuh hari dalam seminggu. Allah SWT telah menciptakan hari Ahad sebagai hari pertama dalam seminggu. Ini kerana pada hari Ahad Allah SWT memulakan penciptaan segala sesuatu. Selain itu terdapat tujuh makna di dalam Al-Quran. Antaranya ialah Al-Ahad bermaksud”Allah”, Al-Ahad bererti”Muhammad SAW”, Ahad bererti”Bilal ra”, Ahad bererti”Imlika ( Salah seorang penghuni Gua Al-Kahfi )”, Ahad bererti”Diqyanus”, seorang raja pada zaman Ashabul Kahfi, Ahad bererti”Zaid bin Haritsah”dan Ahad bererti”salah seorang dari makhluk”. 

. . . Rahsia kelebihan hari Isnin. . . 

Hari isnin merupakan hari kedua selepas hari Ahad. Hari Isnin juga mempunyai kisah-kisah terutamanya yang berkaitan dengan pesan-pesan Allah SWT kepada nabi dan rasul agar menyembah hanya kepada Allah SWT. Anas bin Malik ra. berkata, ”Rasulullah SAW telah ditanya oleh para sahabat tentang hari Isnin. Baginda menjawab, hari Isnin merupakan hari pelayaran dan perniagaan. Kemudian mereka bertanya lagi. Mengapa demikian ya Rasulullah? Baginda menjawab lagi, kerana Nabi Syaits as. telah berlayar pada hari Isnin untuk berniaga dan beliau mendapat keuntungan yang banyak dalam perniagaannya itu. 

Peristiwa pertama yang berlaku pada hari Isnin ialah Nabi Idris naik ke langit. 

irman Allah SWT yang bermaksud:“Dan ceritakanlah ( hai Muhammad kepada mereka ) kisah Idris yang disebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi. ”

Peristiwa kedua ialah Nabi Musa as. Pergi ke gunung Thursina untuk bermunajat kepada Allah SWT. Di sana beliau telah melakukan tujuh perjalanan. Antara perjalanan-perjalanan tersebut ialah Safarul Ghazab ( ketika beliau di hanyutkan oleh ibunya ke dalam sungai), Safarul Harab ( ketika beliau melarikan diri dari Mesir ke Madyan), Safarul Thalab ( ketika pulang dari negeri Madyan dan beliau memerlukan api ), Safarul Sabab ( ketika beliau keluar dari Mesir menuju Sungai Nil apabila dikejar oleh Firaun dengan tenteranya), Safarul Ujub ( perjalanan Nabi Musa as. bersama kaumnya ketika tersesat di hutan belantara selama 40 tahun ), Safarul Adab ( perjalanan Nabi Musa as. ke tepi sungai untuk berjumpa dengan Khaidir as. ) dan Safarul Thaubi ( perjalanan beliau ke bukit Thursina untuk bermunajat kepada Allah SWT. )

Peristiwa ketiga ialah turunnya dalil-dalil tentang keEsaan Allah SWT. Antara bukti-buktinya ialah :

Firman Allah SWT bermaksud:”Janganlah kamu menyembah dua Tuhan, sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut. ”( An-Nahl: ayat 51 )

Firman Allah SWT bermaksud:”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah SWT. ”( Az-Zariyat: ayat 49)

Peristiwa keempat ialah lahirnya Rasulullah SAW. Seperti yang kita ketahui, Rasulullah SAW telah dilahirkan pada hari Isnin. Pada hari tersebut beberapa mukjizat telah berlaku. Antaranya ialah bonda baginda tidak merasa sakit ketika melahirkan baginda, bonda baginda tidak merasa susah ketika mengandungkan baginda, baginda sujud setelah dilahirkan, baginda lahir dalam keadaan sudah berkhatan, syaitan-syaitan dilarang naik ke langit, bintang-bintang bergerak dan mata air mengeluarkan air yang melimpah ruah. 

Peristiwa kelima ialah Malaikat Jibrail telah turun menemui Rasulullah SAW untuk menurunkan wahyu kepada baginda untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umatnya. Ini kerana baginda terpilih kerana baginda banyak beribadat kepada Allah SWT, bermunajat selam 40 tahun sehingga semua orang mengaku kebaikan dan kehalusan budi pekertinya dan beliau telah digelar Muhammad Al-Amin. Semasa beribadat, baginda betul-betul khusyuk. Maka Allah SWT telah menanamkan rasa kerinduan ke dalam diri Rasulullah SAW sehingga mengalahkan rasa kecintaan selain dari Allah SWT. 

Peristiwa keenam ialah semua amalan umat ditunjukkan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Hidupku baik untuk anda, dan matiku pun baik untuk kamu. Ditanyakan: Wahai Rasulullah SAW, kami telah mengetahui bahawa hidup baginda itu baik untuk kami, namun bagaimana matinya baginda baik untuk kami? Rasulullah SAW menjawab: Hidupku baik untuk kamu, kerana selama aku berada di samping kamu semua, aku selalu mengajak berbakti kepada Allah SWT, dengan hikmat dan nasihat yang baik. Sedangkan matiku pun baik untuk kamu, keran setiap hari Isnin dan Khamis semua amalan anda diperlihatkan kepadaku, apabila aku melihat amal yang baik, maka aku merasa gembira dan bila aku melihat amal yang buruk, aku memohon keampunan kepada Allah SWT untuk kamu. ”

Peristiwa yang terakhir berlaku ialah kewafatan Rasullullah SAW. Baginda wafat pada 13 Rabiulawal dan ditemani oleh Jibrail as. Sebelum itu, baginda telah menanggung derita selama 18 hari. Malaikat maut telah datang kepada baginda dengan begitu sopan dan meminta izin terlebih dahulu untuk mencabut nyawa baginda. Apabila baginda mengetahui melalui Jibrail as. bahawa Allah SWT telah menyediakan pelbagai hadiah dan ganjaran di syurga, baginda dengan senang hati memberi keizinan kepada Malaikat maut untuk mencabut nyawa baginda. 

. . . Rahsia kelebihan hari Selasa. . . 

Hari Selasa merupakan hari ketiga di dalam seminggu. Pelbagai peristiwa telah berlaku pada hari tersebut. Rasulullah SAW telah memberitahu Anas bin Malik ra. bahawa hari Selasa merupakan hari berdarah kerana pada hari tersebut Siti Hawa haid dan putera Nabi Adam as. telah membunuh saudaranya sendiri. Sebanyak tujuh jiwa telah dibunuh pada hari tersebut. 

Peristiwa pertama yang berlaku ialah Jurjais as. telah dibunuh. Jurjais bin Fathin hidup pada zaman Raja Dardiyanah. Raja Dardiyanah merupakan seorang raja penyembah berhala. Suatu hari, Jurjais tidak mengikut perintah raja tersebut untuk menyembah berhala kerana Allah SWT telah memerintahkan Jurjais supaya menyembah hanya kepada Allah SWT. Raja tersebut begitu marah sehingga pelbagai seksaan dan cubaan untuk membunuh Jurjais dilakukan. Namun dengan kekuasaan yang tiada batasan, Allah SWT dapat menyelamatkan Jurjais dari seksaan tersebut. Suatu hari apabila Jurjais selesai bermunajat kepada Allah SWT, tiba-tiba turunnya api dari atas langit. Orang-orang kafir beramai-ramai ingin membunuh Jurjais as. Tetapi api itu terus turun lalu memusnahkan mereka. 

Peristiwa kedua ialah kewafatan Nabi Yahya as. Nabi Yahya telah dibunuh kerana tidak mengizinkan seorang raja untuk berkahwin dengan anak tiri raja tersebut. Perkara ini telah mengundang kemarahan raja tersebut lalu membunuh Nabi Yahya. 

Peristiwa ketiga ialah kewafatan nabi Zakaria as. Beliau telah dibunuh oleh orang kafir ketika beliau bersembunyi di dalam sebuah pokok. Apabila diberitahu oleh iblis tempat persembunyian beliau, mereka telah membelah pokok tersebut dengan gergaji. Akhirnya beliau wafat dalam menyebut dan mengagungkan Allah SWT. 

Peristiwa keempat ialah meninggalnya tukang sihir Firaun. Tukang sihir itu telah disalib di pohon tamar kerana telah beriman kepada Allah SWT. Sebelum itu, Firaun telah mengancam dengan memotong tangan dan kaki. Namun, dengan pendirian dan keimanan yang kukuh tukang sihir tersebut tidak takut kepada Firaun sehingga dibunuh. 

Peristiwa kelima ialah meninggalnya Asiah iaitu isteri Firaun. Asiah telah merahsiakan keislaman dan keimanannya daripada Firaun. Pada suatu hari, Firaun telah mengetahui rahsia Asiah, maka Firaun menyeksa Asiah dengan pelbagai seksaan. Namun, dengan keimanan yang tinggi Asiah tidak takut kepada seksaan Firaun sehingga Asiah meninggal dunia dan beliau telah diberi tempat di syurga. 

Peristiwa seterusnya ialah sapi betina Israil disembelih. Allah SWT telah menurunkan perintah bahawa sapi betina patut disembelih kerana kaum Nabi Musa as. sebelumnya pernah menyembah anak sapi. Dengan penyembelihan itu, Allah SWT memberitahu bahawa sapi betina tidak patut disembah melainkan hanya untuk disembelih. 

Peristiwa terakhir ialah meninggalnya Habil iaitu putera Nabi Adam as. Habil telah dibunuh oleh saudaranya sendiri iaitu Qobil. Kejadian ini berlaku kerana Qobil iri hati dengan Habil. Nabi Adam as. ingin menjodohkan Habil dengan Iqlima. Manakala Qobil akan dijodohkan dengan Damimam. Qobil tidak bersetuju kerana Iqlima lebih cantik berbanding Damimam. Justeru itu, Qobil telah membunuh Habil ketika Habil sedang tidur dengan mencampakkan batu yang besar ke atas kepala Habil. 

. . . Rahsia kelebihan hari Rabu. . . 

Hari Rabu merupakan hari pertengahan dalam seminggu. Rasulullah SAW memberitahu Anas bin Malik bahawa hari Rabu adalah hari yang banyak berlakunya nahas. Sesetengah ulama ada menyatakan bahawa Allah SWT telah membinasakan tujuh kaum yang kafir dengan tujuh jenis azab. 

Antaranya ialah kehancuran Auj bin Unuq yang dibinasakan dengan burung Hudhud. Auj bin Unuq berumur 4500 tahun. Badannya tinggi, sehingga banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh as. hanya sampai di lutut sahaja. Katika Nabi Musa as. memasuki sebuah padang bersama kaumnya, Auj bin Unuq merancang untuk membunuh meraka. Auj bin Unuq pergi ke padang tersebut dengan membawa gunung yang besar untuk menimbus kaum Nabi Musa as. tersebut. Maka Allah SWT telah mengutuskan seekor burung Hudhud untuk melawan Auj bin Unuq. Auj tidak terdaya untuk melawan burung tersebut lalu Auj terbunuh. 

Peristiwa seterusnya ialah kehancuran Quran. Quran merupakan salah seorang kaum Nabi Musa as. Quran menjadi kaya disebabkan oleh ilmunya yang banyak sehingga dia meninggalkan ibadat sunat dan tidak mahu mengeluarkan zakat. Suatu hari, Quran telah mengupah seorang perempuan untuk menfitnah Nabi Musa as. Dengan kekuasaan Allah SWT, perempuan itu berpaling dari menfitnah kepada bercakap benar. Maka, murka lah Nabi Musa as. Nabi Musa as. memukul tongkatnya ke tanah dan singgahsana yang sedang diduduki oleh Quran di telan bumi. 

Peristiwa ketiga ialah kehancuran Firaun dan tentera-tenteranya. Firaun dan tentera-tenteranya hancur ketika mereka mengejar Nabi Musa as. dan bangsa bani Israil. Ketika sampai di lautan, Nabi Musa as. memukul tongkatnya lalu terbelahlah lautan tersebut. Nabi Musa dan kaumnya melintasi lautan itu dengan selamat. Apabila mereka sampai ke seberang, lautan itu tertutup kembali dan menyebabkan Firaun dan tenteranya tenggelam ketika menyusuri belakang Nabi Musa dan kaumnya. 

Peristiwa keempat ialah kebinasaan Namruz bin Ka’nan. Namruz telah mencabar Nabi Ibrahim as. untuk meminta pertolongan tentera dari Allah SWT. Dengan kekuasaan Allah SWT, nyamuk telah diperintahkan untuk mengalahkan tentera Namruz. Walaupun kemenangan milik Nabi Ibrahim dan tentera nyamuknya itu, Namruz tetap tidak mahu bertaubat sehinggalah Namruz mati dibunuh oleh nyamuk dengan memakan otak Namruz walaupun Allah SWT telah memberi tiga hari unuk bertaubat. 

Peristiwa kelima ialah kehancuran kaum Saleh. Kaum Saleh hancur disebabkan oleh jeritan Jibrail. Ketika itu, kaum Saleh ingin membunuh Nabi Saleh as. sepertimana mereka membunuh untanya. Akhirnya Jibrail turun dari langit untuk memberi pertolongan kepada Nabi Saleh as. 

Peristiwa keenam ialah kehancuran Syadad bin ‘Aad. Syadad seorang yang suka membaca kitab. Suatu hari, Syadad telah memerintahkan kerajaannya supaya mengumpulkan semua emas dan perak untuk membuat syurga sepertimana yang tercatat di dalam kitab yang dibacanya. Mereka juga telah merampas emas kecil kepunyaan seorang budak miskin. Emas tersebut merupakan satu-satunya harta yang ada. Maka, budak itu memohon pertolongan dari Allah SWT dan Allah SWT telah megutuskan Jibrail untuk turun dari langit. Jibrail memekik dengan suara yang sangat keras dan dalam masa yang singkat mereka semuanya mati. 

Peristiwa terakhir yang berlaku pada hari Rabu ialah kebinasaan kaum Hud. Kaum Hud amat derhaka kepada Allah SWT dan menyakiti nabi mereka. Mereka juga tidak takut dengan ancaman Allah SWT. Nabi Hud berdoa kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama Allah SWT telah menurunkan beberapa musibah seperti hujan tidak turun selama tiga tahun. Walaubagaimanapun, mereka tetap derhaka kepada Allah SWT sehinggalah Allah SWT menurunkan angin kencang dan petir yang sangat dasyat lalu memusnahkan semua kaum dan harta benda. 

. . Rahsia kelebihan hari Khamis. . . 

Menurut Rasulullah SAW hari Khamis merupakan hari tercapainya hajat kerana Nabi Ibrahim as. masuk menghadap raja Mesir pada hari tersebut. Maka beliau mendapatkan hajatnya dan Nabi Ibrahim diberi Siti Hajar. Para ulama juga telah menjelaskan bahawa ada tujuh nabi dan wali memperoleh sesuatu pada hari Khamis. 

Peristiwa pertama ialah Nabi Ibrahim as. menghadap raja Mesir. Suatu hari, Allah SWT menurunkan perintah supaya Nabi Ibrahim as. menghadap raja Mesir. Bersama-sama beliau ialah isterinya iaitu Sarah. Apabila tiba, raja Mesir amat meminati Sarah kerana rupanya yang cantik. Dengan kekuasaan Allah SWT, Nabi Ibrahim dapat melihat apa yang dilakukan oleh raja Mesir itu kepada Sarah. Oleh kerana niat jahat raja Mesir yang mahu menyentuh Sarah, tangan dan kakinya telah lumpuh. Sarah menyatakan bahawa suaminya seorang wali Allah SWT dan dia telah membuatkan beliau terluka. Apabila raja Mesir bertaubat, dia menghadiahkan Siti Hajar kepada Sarah. Maka Sarah memberikan Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim kerana telah membuatkan beliau bersedih hati. 

Peristiwa kedua ialah tukang minum raja Mesir memperoleh kebebasan. Tukang minum itu diberi hukuman penjara kerana telah menerima rasuah daripada raja Romawi dengan tugas meletakkan racun di dalam makanan dan minuman raja Royyaan. Bersama-sama tukang minum ialah Nabi Yusuf dan seorang tukang masak. Menurut Nabi Yusuf, mimpi yang telah dialami oleh tukang minum itu adalah petunjuk bahawa dia akan dibebaskan. Manakala mimpi tukang masak pula bermaksud dia akan disalib. Kemudian datanglah pegawai-pegawai penjara membawa tukang masak untuk disalib. Selepas beberapa hari tukang minum itu dibawa keluar dengan pakaian yang indah untuk dibebaskan. 

Peristiwa ketiga ialah saudara-saudara Nabi Yusuf menemuinya. Saudara-saudara Nabi Yusuf menemui beliau pada hari Khamis. Ketika saudara-saudara Nabi Yusuf hampir sampai di kota Mesir, maka turunlah Jibrail menemui Nabi Yusuf dan ia berkata:

“Saudara-saudaramu datang menemuimu, bagaimana sikapmu terhadap mereka? Nabi Yusuf menjawab: Wahai Jibrail, mereka telah banyak menyakiti hatiku, bahkan mereka telah berniat untuk membunuhku, ketika ini mereka datang memerlukan bantuan denganku. Tiada lain yang harusku lakukan selain memaafkan mereka. ”

Peristiwa keempat yang berlaku pada hari Khamis ialah Bunyiman datang ke kota Mesir. Bunyiman ialah adik kandung Nabi Yusuf as. Beliau datang menemui abangnya yang sekian lama terpisah. Setelah Bunyiman datang kepada Nabi Yusuf, maka Nabi Yusuf melihatnya dengan teliti dan akhirnya jatuh pengsan. Apabila sedar, beliau menyatakan bahawa Bunyiman adalah saudara kandungnya sendiri. Mereka menangis kerana terlalu bahagia dan saling berpelukan. 

Peristiwa kelima ialah Nabi Ya’kub as. datang ke Mesir. Nabi Ya’kub as. datang ke Mesir untuk menemui anaknya Yusuf. Setelah berjumpa, Yusuf memeluk ibu bapanya. Mereka terpisah ketika Yusuf berumur tujuh tahun. Ketika Ya’kub melihat ramai orang di tempat Yusuf, baliau bertanya kepada Nabi Yusuf as:”Siapakah mereka itu? Yusuf menjawab: Wahai ayahku, mereka adalah sahayaku, aku telah membebaskan mereka kerana ayah. ”

Peristiwa keenam ialah Nabi Musa as. masuk ke Mesir. Ketika baru sampai di kota, beliau melihat dua orang sedang berkelahi. Seorang daripadanya adalah dari Bani Israil dan seorang lagi dari golongan Firaun iaitu bangsa Qitbhi. Orang Bani Israil itu meminta pertolongan dari Nabi Musa. Maka beliau pun menolongnya dengan memukul orang Qitbhi tersebut sehingga mati. Kemudian Musa berasa takut, beliau berdoa :”Ya Tuhanku, aku bertaubat, dan tidak akan melakukannya lagi. ”Orang Qitbhi yang mengetahui tentang kejadian tersebut segera memberitahu kepada Firaun. Kemudian Firaun memerintahkan agar Nabi Musa dibunuh. 

Peristiwa terakhir yang berlaku pada hari Khamis ialah Rasulullah SAW masuk ke Mesir. Baginda mendapat perintah dari Allah SWT untuk memasuki kota Mekah. Ketika Rasulullah SAW memasuki kota Mekah, orang-orang musyrik berkumpul dalam masjid dengan perasaan putus asa dan khuatir akan keselamatan nyawa mereka. Kemudian, baginda bersama-sama sahabat masuk ke dalam masjid, sedangkan tentera-tentera Islam berdiri mengelilingi masjid bersiap sedia dengan pedang-pedang di tangan mereka. Mereka hanya menunggu perintah daripada Rasulullah SAW untuk meletakkan pedang mereka yang tajam di leher orang-orang musyrik. Dengan hati yang mulia, baginda membebaskan mereka semua dan tidak sedikit pun barang dan harta yang diambil walaupun mereka telah menyakiti hati Rasulullah SAW. 

. . . Rahsia kelebihan hari Jumaat. . . 

Ketika ditanya oleh Anas bin Malik tentang hari Jumaat, Rasulullah SAW memberitahu bahawa hari Jumaat adalah hari silaturrahim dan hari pernikahan. 

Pernikahan pertama ialah pernikahan antara Nabi Adam as. dengan Siti Hawa. Siti Hawa dijadikan dari tulang rusuk kiri tubuh Adam untuk menjadi pasangan hidupnya. Nabi Adam menikahi Siti Hawa dengan bermas kahwinkan membaca selawat sebanyak sepuluh kali untuk nabi dan kekasihNya Muhammad penghulu seluruh Rasul. 

Pernikahan kedua ialah pernikahan antara Nabi Yusuf as. dengan Zulaikha. Pernikahan ini berlaku setelah Zulaikha bertaubat dan kembali beriman kepada Allah SWT. Zulaikha telah bermunajat kepada Allah SWT supaya mendekatkan dirinya dengan Nabi Yusuf as. Dengan kekuasaanNya, Allah SWT telah menanamkan rasa cinta, kasih sayang ke dalam hati Nabi Yusuf as. terhadap Zulaikha. 

Pernikahan ketiga ialah pernikahan antara Nabi Musa as. dengan Syafrawa. Nabi Musa as. merupakan seorang yang kuat bekerja dan seorang yang boleh dipercayai. Hal ini telah diketahui oleh Syafrawa lalu diceritakan kepada bapanya iaitu Syuib. Syuib berhasrat untuk menjadikan Musa sebagai menantunya. Nabi Musa memberitahu bahawa beliau tidak mampu untuk membayar mas kahwin. Walaubagaimanapun Syuib meminta Nabi Musa untuk bekerja dengannya selama lapan tahun untuk menggantikan mas kahwin. 

Pernikahan keempat ialah pernikahan antara Nabi Sulaiman as. dengan ratu Balqis. Ratu Balqis adalah seorang wanita yang cantik dan mempunyai akal yang cerdas. Ratu Balqis dipilih oleh Nabi Sulaiman kerana jawapan yang diberikan ketika disoal oleh Nabi Sulaiman menggambarkan bahawa ratu Balqis adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana. 

Pernikahan yang kelima ialah pernikahan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah. Ketika berkahwin, baginda berumur 25 tahun. Sementara Siti Khadijah berusia 40 tahun. Suatu malam Siti Khadijah telah bermimpi bahawa seorang nabi akhir zaman akan menjadi pendampingnya. Suatu hari, perniagaan Siti Khadijah telah memberikan keuntungan yang banyak melebihi pada tahun-tahun yang lalu. Siti Khadijah sedar keuntungan ini berlaku setelah pekerja barunya Nabi Muhammad SAW bekerja dengannya. Maka setelah mendapat petunjuk, Siti Khadijah dan Nabi Muhammad SAW berkahwin dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata. 

Pernikahan keenam ialah pernikahan Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah. Setelah kematian Siti Khadijah, baginda berasa kehilangan dan selalu brsedih. Lalu Jibral turun dan memberitahu bahawa Allah SWT telah menikahi baginda dengan Siti Aisyah di langit, maka pernikahan harus dilakukan di dunia. Walaupun Siti Aisyah masih muda, ia tidak menjadi penghalang pernikahan itu selagi ia diizinkan oleh Allah SWT. 

Pernikahan terakhir yang berlaku pada hari Jumaat ialah pernikahan antara Saidina Ali dengan Siti Fatimah. Allah SWT berkhutbah, memuji diriNya dan berfirman:”Sesungguhnya aku telah mengahwinkan maha ratu seluruh wanita dengan Ali bin Thalib. Dan Allah SWT berkata kepada Jibrail:”Wahai Jibrail engkaulah sebagai wakil daripada Ali bin Thalib, dan aku sebagai wakil Rasul-Ku Muhammad. ”Kemudian Rasulullah SAW memberitahu hal tersebut kepada Ali, juga kepada Fatimah puteri baginda. 

. . . Rahsia kelebihan hari Sabtu. . . 

Ketika ditanya oleh para sahabat tentang hari Sabtu, Rasulullah SAW memberitahu bahawa hari Sabtu adalah hari tipu daya kerana bangsa Quraisy telah melakukan tipu daya di Darunnadwah. 

Antara tipu daya yang terjadi pada hari Sabtu ialah kaum Nuh melakukan tipu daya terhadap Nabi Nuh as. Allah SWT telah memusnahkan kaum Nuh dengan mengeluarkan air yang sangat panas dari bumi dan air yang sangat sejuk dari langit serta mendatangkan angin taufan yang sangat dasyat. Mereka telah memusuhi Nabi Nuh as. serta mengejek dan menghina pekerjaan beliau membuat kapal. 

Tipu daya yang kedua ialah tipu daya kaum Saleh terhadap unta Nabi Saleh as. Kaum Saleh telah melakukan satu tipu daya dan kemungkaran dengan membunuh unta yang merupakan tanda mukjizat daripada Nabi Saleh as. Sebagai balasan dari tipu daya mereka itu, Allah SWT telah mengubah wajah mereka. Pada hari pertama wajah mereka berwarna merah, pada hari kedua berwarna kuning dan pada hari ketiga berwarna hitam. Kemudian pada hari keempat iaitu pada solat Asar ( hari Sabtu) mereka dibinasakan Allah SWT dengan satu suara dari Malaikat Jibrail. 

Tipu daya yang ketiga ialah tipu daya saudara-saudara Yusuf terhadap beliau. Saudara-saudara Yusuf berusaha untuk melakukan tipu daya untuk memisahkan antara Yusuf dengan ayahnya Ya’kub as. dengan harapan agar Ya’kub tidak lagi bersama dengan Yusuf. Sehingga beliau akan melupakan Yusuf dan hanya mencintai mereka sahaja. Namun Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Hai saudara-saudara Yusuf, Aku akan mengaburkan penglihatan ayahmu hingga tidak dapat melihat muka-muka kamu semua, kemudian Aku akan menampakkan rasa cinta dan rindu di dalam hatinya terhadap Yusuf, sehingga sepanjang harinya ia akan mengingati Yusuf sahaja. Ia memandang Yusuf dengan hatinya dan tidak dapat melupakannya, sedangkan terhadap kamu semua ia tidak menaruh perhatian sama sekali. ”

Tipu daya yang keempat ialah tipu daya Firaun terhadap Nabi Musa as. Firaun telah mengumpulkan tukang-tukang sihir dengan pelbagai alat-alat sihir untuk menentang Nabi Musa. Lalu mereka melemparkan alat-alat sihir itu lalu menjadi pelbagai jenis ular yang mengerikan, sehingga Musa berasa bimbang. Allah SWT mewahyukan kepadanya supaya jangan takut, sesungguhnya beliau yang akan menang. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa agar melemparkan tongkat yang berada di tangannya. Lalu Nabi Musa melemparkan tongkatnya. Pada waktu itu tongkat itu berubah menjadi seekor ular yang sangat besar sambil membuka mulut menuju ke arah tukang-tukang sihir itu. Maka berlarilah tukang-tukang sihir itu dan mereka pun bertaubat. Begitulah Allah SWT membuka pintu hati tukang-tukang itu untuk bertaubat. Padahal sebelumnya mereka tergolong dalam orang-orang kafir dan khianat, bersama-sama Firaun untuk menentang Nabi Musa as. Namun, ketika mereka sujud mengakui kesalahan dan dosa mereka itu, maka Allah SWT memuliakan mereka dengan keimanan. 

Tipu daya kelima ialah tipu daya kaum Yahudi terhadap Nabi Isa as. Orang-orang Yahudi berkata bahawa Isa as. itu adalah seorang tukang sihir. Ketika Nabi Isa mendengar tuduhan mereka itu, beliau berasa sedih dan berdoa kepada Allah SWT supaya mengubah wajah mereka. Kemudian Allah SWT mengabulkan doa beliau sehingga muka mereka berubah menjadi kera-kera dan babi-babi. Ketika berita tersebut diketahui oleh pemimpin Yahudi. Beliau menjadi takut dan khuatir seandainya Nabi Isa akan bermohon kepada Allah SWT akan celakakan dirinya. Oleh sebab itulah dia memerintahkan agar Nabi Isa as. dibunuh. 

Tipu daya yang keenam ialah tipu daya kaum Quraisy terhadap Rasulullah SAW. di kota Mekah terdapat satu tempat iaitu Darunnadwah. Di situ para penduduk Quraisy akan berkumpul jika ada sebarang perkara yang hendak dibincangkan termasuklah rancangan untuk menggagalkan dakwah Rasulullah SAW. Maka berkumpullah lima orang kaum Musyrikin iaitu Utbah, Syaibah, Abu Jahal, Abul Bukhari dan Al-Ash bin Wail. Ketika mereka merancang untuk menggagalkan dakwah Rasulullah SAW, terdapat iblis yang menyamar sebagai orang tua telah datang untuk menyertai perbincangan mereka. Setelah iblis tersebut memperkenalkan dirinya sebagai seorang ulama, mereka mengizinkan dia untuk menyertai mereka. Setelah perbincangan dilakukan, mereka bersetuju untuk menghantar pemuda bersenjata dari setiap kabilah untuk menjejaki Rasulullah SAW bagi menggagalkan dakwah beliau. Kemudian turunnya Jibrail as. dengan membawa utusan bahawa baginda telah diperintahkan untuk berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Maka baginda menemui pengganti iaitu Ali untuk menggantikan tempat tidurnya untuk mengelirukan orang-orang kafir. Ketika Ali sedang tidur di tempat Rasulullah SAW, orang-orang kafir dan iblis mengepung rumah baginda. Kemudian Allah SWT memberikan mereka mengantuk dan lalai sehingga mereka tertidur dengan nyenyaknya. Maka keluarlah Rasulullah SAW diiringi sahabat setianya Abu Bakar. Apabila bangun dari tidur, mereka menyedari bahawa Rasulullah SAW telah tiada dan Ali yang menggantikan tempat tidur baginda. Maka mereka mengutuskan Suraqah bin Malik untuk menjejaki baginda dan dia berjaya menemuinya. Rasulullah SAW telah mendapat perintah dari Allah SWT bahawa baginda diizinkan untuk memerintah bumi bagi menelan Suraqah jika dia mengingkari perintah baginda untuk memeluk Islam. Suraqah telah berjanji untuk memeluk Islam tetapi setiap kali dia berjanji, dia akan mengingkari janjinya itu. Suraqah telah mengulangi perbuatan itu sebanyak tujuh kali dan setiap tujuh kali itu juga dia telah di telan bumi hingga ke lututnya. Akhirnya pada kali ke lapan dia telah betul-betul bertaubat dan menyatakan Islamnya di hadapan Rasulullah SAW. 

Tipu daya yang terakhir ialah tipu daya kaum Yahudi terhadap larangan Allah SWT. Terdapat sebuah negeri yang bernama Ailah, penduduknya adalah para nelayan. Allah SWT mengutuskan kepada mereka Nabi Daud as. untuk membawa risalah dari Tuhan berupa larangan bagi para nelayan untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu sahaja. Maka Nabi Daud pun menyampaikan risalah tersebut. Mereka tetap menangkap ikan pada hari tersebut. Sesungguhnya orang-orang Yahudi telah melanggar perintah Allah SWT, maka Allah SWT telah mengubah wajah mereka. Allah SWT tidak mengubah wajah seseorang Yahudi itu kerana mereka menangkap ikan, tetapi wajah mereka diubah kerana telah meremehkan perintah Allah SWT dan mengerjakan laranganNya. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment