Thursday, September 16, 2010

Rahsia-Rahsia Solat -

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat saya melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan kepada saya pada waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya yang baik datang daripada Allah SWT, dan yang kurang itu datang dari kesilapan saya sendiri. Semoga rumusan ini mendapat keberkatan daripadaNya serta menepati kehendak ustaz. 

Solat adalah tiang agama, tali pengikat segala upaya penghampiran terkemuka di antara segala ketaatan. Kunci bagi Syurga ialah solat. Solat merupakan sebagai cenderamata kepada Allah SWT. Solat juga pencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat juga kunci bagi hati. Barangsiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia telah kafir. 

Amal seseorang yang pertama kali akan dinilai pada Hari Kiamat ialah solatnya. Jika dikerjakannya dengan sempurna maka solatnya itu diterima berserta amalan-amalan yang lain, tetapi jika tidak sempurna, maka solatnya akan ditolak berserta amalan- amalan yang lain. 

Kehadiran hati adalah roh solat dan kadar paling sedikit bagi kehidupannya ialah kehadiran hati pada saat takbiratul ihram. Kurang dari itu sama ada kebinasaan. Sebaliknya, makin besar kehadiran hati, makin lapang pula roh solat pada pelbagai bahagiannya. Betapa banyak orang tidak dapat bergerak seperti mayat. Begitulah perumpamaan solat pada semua bahagiannya selain saat takbiratul ihram seperti orang hidup nyaris tidak dapat bergerak. 

Kehadiran hati ialah pemusatan fikiran dan pencurahan perhatian terhadap sesuatu untuk mendapatkan makna; iaitu bersungguh-sungguh menolak angan-angan yang terlintas di kepala. Hal yang dimaksudkan iaitu menjauhkan diri dari pelbagai penyebab yag menarik hati. 

Sabda Rasulullah SAW :  “Barangsiapa menyukai sesuatu, pasti sering menyebutnya”

Perkara yang mengikat semua itu adalah iman dan yakin iaitu, dengan adanya keimanan dan tiada keraguan sedikit pun yang menguasai hati. Makin kuat keyakinan, makin kuat kekusyukan hati. 

Sabda Rasulullah SAW :  “Pada hari Kiamat, manusia akan dikumpulkan seperti keadaan mereka bersolat”

Dalam kehidupan pada hari akhirat, manusia akan beroleh bentuk sesuai dengan acuan sifat-sifat hatinya dan tidak selamat kecuali siapa yang datang kepada Allah SWT dengan hati yang bersih. 

Cara menghadirkan hati iaitu menolak perkara-perkara yang boleh mengganggu konsentrasi. Penyebab tersebut terbahagi kepada bentuk dalam diri dan luar. Penyebab luar seperti suara yang menyentuh telinga atau tampak di depan mata. Fikiran akan terus melayang tanpa hala tuju. Fikiran yang lemah pasti akan terganggu. 

Bagi mengatasi masalah tersebut; iaitu dengan menundukkan pandangan atau solat di ruangan yang sempit. Sesunguhnya dari solat hendaklah hindar dari solat di jalanan, tempat berukir atau di atas tikar yang berwarna- warni. 

Namun, jika cara tersebut masih tidak berkesan, sebaiknya memaksa diri berusaha memahami apa yang dibacanya agar dapat memalingkan fikiran dari memikirkan hal yang meremehkan. 

Jika fikiran masih juga terganggu, ia pasti dari hal-hal oleh syahwat hawa nafsu manusia itu sendiri. Maka, wajiblah menghukum diri sendiri dengan meninggalkan apa yang menjadi kecenderungan nafsunya. Hal yang demikian kerana segala yang mengalihkan perhatian dari solatnya adalah musuh agama dan merupakan tentera iblis. 

Syarat-syarat yang mendahului solat ialah azan, hal-hal bersuci, menutup aurat, berdiri tegak dan berniat. 

Azan adalah jalan menuju solat. Lihatlah hati seorang mukmin tersebut apabila menerima panggilan azan. Jika penuh kegembiraan dan kebahagiaan dapatlah mereka merasa terang dengan datangnya cahaya serta berita gembira di hari pengadilan kelak. Azan yang diikuti dengan solat merupakan penyegar dan penyejuk bagi Rasullullah SAW. 

Hal-hal menyucikan seperti keadaan tempat solat, pakaian, tubuh badan. Selain itu, bersihkanlah perut dari segala makanan yang haram. 

Menutup aurat iaitu menutup kejelekan bahagian- bahagian tertentu badan dari pandangan orang lain yang boleh mendatangkan kemudaratan. 

Mengadap kiblat adalah memalingkan wajah dari segala arah kemudian menujukannya kearah rumah Allah SWT. Hati hendaklah searah dengan tubuh. 

Sabda Rasullullah SAW :  “Apabila seseorang hamba berdiri dalam solatnya dengan seluruh kecenderungan diri, wajah dan hatinya ke arah Allah SWT semata-mata, ia akan keluar dari solatnya itu dalam keadaan suci bersih seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya”

Berdiri dalam solat adalah keadaan tubuh yang tegak berdiri dan hati di hadapan Allah SWT. Kepala merupakan anggota yang paling tinggi, menunduk sebagai isyarat hati agar bertawaduk, meninggalkan keangkuhan dan kesombongan. 

Niat memenuhi perintah Allah SWT dalam hal kewajipan bersolat, melaksanakannya dengan sempurna dan menghindari dari melakukan hal-hal yang membatalkannya. Selain itu, mengikhlaskan semuanya demi keredhaanNya agar peroleh pahala serta takut kepada hukumanNya dan mempunyai perasaan terima kasih kepadaNya. 

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan perhatian manusia dalam solat dengan mengingat hari akhirat dan perencanaan perbuatan-perbuatan kebaikan agar dapat menghalang manusia memahami apa yang di baca. 

Sabda Rasullullah SAW :  “Sekiranya kusyuk hatinya, nescaya kusyuk pula anggota”

“Sesungguhnya telah beruntung orang-orang mukmin yang kusyuk dalam solat mereka”

“Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya”

Orang yang kusyuk dalam melaksanakan solat akan mewarisi syurga Firdaus, serta melihat Nur Allah SWT yang menikmati kedekatan hati denganNya. 

Kusyuk iaitu keimanan dan keyakinan akan keagungan Allah SWT. Cara menimbulkan kusyuk; mempunyai kesedaran behawa Allah SWT melihat segala gerak geri hambaNya. Kesedaran keagunganNya serta tentang kekurangan diri sebagai hamba dalam melaksanakan perintahNya. 

Sabda Rasullullah SAW:  “Barangsiapa yang menjadi imam di suatu masjid selama tujuh tahun, wajiblah syurga baginya tanpa hisab. Dan barangsiapa yang menyerukan azan empat puluh tahun akan masuk syurga tanpa hisab”

Menjadi imam hendaklah tidak menjadi imam bagi satu jemaah yang tidak menyukai peribadinya. 

Apabila seseorang ditawar memilih di antara menjadi imam atau muazin, sebaiknya memilih sebagai imam. 

Seorang imam hendaklah memperhatikan waktu solat dan mengerjakan di awal waktu solat agar meraih keredhaan Allah SWT. Keutamaan awal waktu solat adalah seperti keutamaan akhirat atas dunia. 

Seorang imam hendaklah mengimami dengan ikhlas demi Allah SWT semata-mata serta memenuhi amanat Allah SWT atas dirinya serta syarat-syarat solat. 

Sebagai seorang imam juga mestilah tidak mulai takbir sebelum saf-saf para makmum telah rapi. 

Seorang imam juga hendaklah mengeraskan suaranya ketika mengucapkan takbiratul ihram serta takbir-takbir yang lain. Sebaliknya makmum janganlah mengeraskan suaranya kecuali sekadar dapat mendengar suara sendiri. 

Selain itu, imam hendaklah meniatkan dirinya sebagai imam agar peroleh pahala. Namun, jika tidak meniatkannya, solatnya tetap sah, tetapi makmum hendaklah mengundurkan takbir dari imamnya dan jangan mulai mengucapkannya kecuali setelah imam selesai mengucapkannya. 

Telah disebutkan bahawa keadaan manusia setelah menyelesaikan solat mereka terbahagi kepada tiga kelompok. 

Pertama, kelompok yang pahala dua puluh lima kali solat. Mereka inilah yang melakukan takbir, ruku’, dan sujud sesudah imam mereka. 

Kedua, kelompok yang mendapat pahala satu kali solat, iaitu para makmum yang mengerjakan gerakan solat bersamaan waktunya dengan imam mereka. 

Ketiga, kelompok yang tidak dapat pahala iaitu mereka yang mendahului gerakan-gerakan imam mereka. 

Sabda Rasullullah SAW:  “Hai orang yang beriman, apabila diserukan untuk bersolat di hari jumaat, segeralah dari mengingat Allah dan meninggalkan jual beli”

“Barangsiapa meninggalkan solat pada hari jumaat tiga kali tanpa alasan, nescaya Allah akan menutup pintu hatinya”

“Barangsiapa mati pada hari jumaat atau malam menjelang hari jumaat, di catat baginyaoleh Allah pahala seorang yang mati syahid dan diselamatkan dari fitnah kubur”

“Barangsiapa yang berwudhu’ pada hari jumaat, cukuplah ia peroleh kebaikan. Tetapi, barangsiapa mandi, demikian lebih afdhal”

“Seandainya seseorang lewat di depan orang yang sedang solat, demikian pula orang yang sedang bersolat yang membiarkan orang lain lewat di depannya, kedua-duanya mengetahui dosa perbuatan masing-masing, tentunya ia akan memilih berdiri (menunggu) empat puluh tahun daripada lewat di depan orang yang sedang solat”

“Barangsiapa yang berkata ‘diamlah’ (atau dengarkanlah) kepada temannya pada saat imam sedang berkhutbah, maka ia telah berbuat sia-sia. Dan barangsiapa berbuat sia-sia pada saat imam sedang berkhutbah, maka ia kehilangan pahala jumaat”

Seorang yang masbuq iaitu orang yang terlambat mengikuti imam. Seorang masbuq tidak di anggap mendapat satu rakaat dalam solatnya, kecuali berhasil ruku’ dengan sempurna bersama imamnya. 

Solat qadha iaitu menggantikan solat yang tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu, iaitu terlupa atau tertidur. 

Solat sunnah dilaksanakan secara berjemaah lebih afdhal daripada dilaksanakan secara sendirian. Antara solat sunnah yang perlu berjemaah ialah solat Hari Raya, solat Kusuf dan Istisqa’(solat meminta hujan)

Sabda Rasullullah SAW:  “Apabila iqamat telah diserukan, maka tiada lagi solat selain yang fardhu”

“Solat adalah perbuata yang paling utama. Siapa sahaja yang ingin memperbanyak, boleh melakukannya dan siapa yang ingin sedikit, boleh pula melakukannya”

Solat sunnah tahunan atau berulang setiap tahun ialah solat Aidilfitri dan Aidiladha, solat tarawih, solat Rejab dan solat Sya’ban. Solat sunnah tersebut merupakan sunnah muakkad serta termasuk syiar-syiar agama. 

Terdapat tujuh perkara yang amat penting untuk diingatkan iaitu perlu mengumandangkan takbir sebanyak tiga kali berurutan, haruslah berdandan yang sewajarnya pada pagi raya tersebut, keluar rumah melewati jalan yang tidak sama dengan jalan untuk pulang, lebih baik melakukan solat di padang pasir atau terbuka tetapi tidak salah melakukan di masjid, perlu juga perhatikan waktu solat Aidifitri dan Aidiladha tersebut, cara solat juga harus dititikberatkan, hendaklah meyembelih jika Hari Raya Aidiladha

Solat Tarawih merupakan solat sunnah yang dilakukan pada bulan Ramadhan. hendaklah membaca qunut dipertengahan bulan Ramadhan tersebut. 

Solat Rejab adalah solat yang juga berulang setiap tahun. Walaupun darjat melaksanakan solat ini tidak seperti solat Tarawih dan Hari Raya, namun, setiap orang sentiasa melaksanakannya setiap tahun dan tidak pernah meninggalkannya untuk menambahkan pahala masing-masing. 

Sabda Rasullullah SAW:  “Tidaklah seseorang mengerjakan sola ini melainkan Allah SWT akan mengampuni segala dosanya, walaupun banyaknya seperti besar lautan atau bilangan pasir, seberat gunung-ganang atau sebanyak dedaunan pohon-pohon. Selain itu, ia akan di beri ii di hari Kiamat untuk bersyafaat bagi tujuh ratus orang dari keluarganya yang seharusnya di hukum dalam neraka”

Solat nisfu Sya’ban antara solat sunnah yang dilakukan setiap tahun. Waktunya ialah pada malam menjelang tanggal 15 Sya’ban. 

Sabda Rasullullah SAW:  “Telah ku dengar dari tiga puluh orang sahabat Nabi SAW bahawa barangsiapa mengerjakan solat ini pada malam tersebut, nescaya Allah akan memandang kepadanya sebanyak tujuh puluh pandangan; pada setiap pandangan, akan dikabulkan baginya tujuh puluh permintaan; yang paling kecil, diantaranya ialah ampunan Allah”

Solat gerhana bulan (khusuf) dan matahari (kusuf) ialah solat sunnah yang berkaitan dengan peristiwa tertentu iaitu berlakunya gerhana tersebut. 

Sabda Rasullullah SAW:  “Sesungguhnya, matahari dan bulan adalah dua di antara ayat-ayat (tanda kekuasaan dan kebesaran) Allah. Terjadinya gerhana bukan kerana kematian seseorang ataupun kelahirannya. Maka, apabila menyaksikannya, bersegeralah kam berzikir dan bersolat kepadaNya. ”

Solat minta hujan (istisqa’) dilakukan apabila sungai-sungai menjadi kering dan hujan tidak turun untuk jangka masa yang agak panjang. 

Imam (atau penguasa negeri ) perlu memerintahkan kepada khalayak agar berpuasa tiga hari, bersedekah sejauh kemampuan masing-masing, menghentikan perbuatan aniaya dan bertaubat secara tulus dari segala perbuatan dosa. 


Solat jenazah ialah solat untuk orang yang telah meninggal dunia. Ia merupakan fardhu kifayah. Namun boleh menjadi sunnah bagi seseorang iaitu disebabkan sudah ada oang lain yang mengerjakannya. Tetapi hendaklah dilakukan lebih empat puluh orang yang menyembahyangkan jenazah tersebut. 

Solat tahiyatul masjid merupakan solat yang dilakukan setiap kali memasuki masjid. Ia merupakan solat muakkad. Makruh memasuki masjid tidak dalam keadaan berwudhu’. 

Sabda Rasullullah SAW:

“Barangsiapa sedang solat ketika mendengar azan dan kerana ini tidak sempat menjawabnya, boleh ia menjawab azan tersebut setelah selesai dari solatnya itu, walaupun si muazin telah menyelesaikan azannya. ”

Kebencian Allah SWT terhadap seseorang itu kerana membuatnya meninggalkan amalan ibadahnya itu kerana bosan. Sekiranya bukan kerana kebencian Allah SWT dan pengusiran dari rahmatnya. Nescaya ia tidak akan dikuasai oleh rasa bosan itu. 

Setiap memulakan sesuatu pekerjaan itu hendaklah diiringi dengan zikir kepada Allah agar memperoleh keberkatan di dalamnya seperti pekerjaan yang dilakukan berulang setiap hari iaitu makan atau minum. Selain itu pekerjaan yang penting tetapi jarang berulang iaitu akad nikah atau perjalanan yang agak jauh. 

Solat istikharah ialah solat untuk meminta dari Allah SWT agar dipilihkan yang terbaik antara beberapa pilihan. 

Solat hajat pula iaitu solat yang dilakukan untuk mereka yang menghadapi kesulitan atau terdesak dalam hal masing-masing sama ada duniawi atau ukhrawi. 

Solat tasbih boleh dilakukan pada bila-bila masa, tidak terikat dengan waktu atau sebab-sebab khusus. Hendaklah mengucapkan sebanyak tiga ratus kali tasbih sewaktu mengerjakan solat tersebut. Mesti dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

Terdapat beberapa larangan solat pada waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan. Hal yang demikian kerana bagi menghindari diri dari perbuatan yang menyerupai para penyembah matahari. Selain itu, menjaga diri pada waktu syaitan berkeliaran. Kemudian , agar semangat untuk melakukan ibadah semakin bertambah tanpa rasa jemu. 

Ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tidak boleh dilanggar kerana disebalik ketentuan terebut terdapat hikmahNya yang tersendiri. 

Kesimpulannya, solat itu amat penting kepada setiap insan yang hidup di muka bumi ini. Oleh itu, setiap umat Islam wajib menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah SWT untuk memenuhi setiap suruhanNya. Sesungguhnya, Allah SWT amat menyayangi dan mengasihani setiap hambaNya yang menjalankan segala suruhanNya. 

Besar harapan saya semoga setiap muslimin dan muslimat di dunia ini meneruskan kehidupan dengan berlandaskan syariat Allah SWT serta mendapat keredhaanNya di akhirat kelak. InsyaAllah. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
http://abdazizharjin. blogspot. com

No comments:

Post a Comment