Wednesday, September 15, 2010

Perkahwinan Dalam Islam: Perkahwinan Mengikut Rukun-Rukunnya -

::Perkahwinan Mengikut Rukun-Rukunnya::

Perkahwinan dapat dilakukan apabila cukup syarat-syarat dan rukun- rukun tertentu. Diantara syarat-syarat yang telah dijelaskan ialah seseorang lelaki yang hendak bernikah itu hendaklah memastikan dia terlebih dahulu bahawa perempuan yang bakal dinikahinya bukan isteri orang. Perempuan itu juga bukan perempuan yang sedang menunggu tamat iddahnya dan bukan pula menjadi mahramnya yang ditegah bernikah.

Sebelum berlakunya perkahwinan atau pernikahan, proses melamar antara salah satu perkara penting sebelum seseorang wanita itu dilamar untuk menjadi isteri. Berikut adalah proses-proses perkahwinan bermula dari proses memilih dan melamar isteri, rukun-rukun nikah sehingga ke majlis   perkahwinan.

::Memilih isteri yang baik::

Memilih isteri yang baik menjadi sesuatu perkara yang penting dalam hidup berumahtangga. Berbagai syarat yang dijadikan panduan untuk memilih isteri, antaranya ialah dari segi harta benda, dari segi kecantikan, dan dari segi keturunannya serta dari sei budi pekerti dan agamanya. Yang diutamakan dalam hal ini ialah agama dan budi pekerti. Sedangkan harta dan kecantikan itu mudah rosak dan ditelan masa. Martabat dan keturunan pula tidaklah menjadi ukuran jika tidak diiringi dengan budi pekerti dan agama. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW. bersabda;”Kahwinilah orang yang beragama itu dan yang berbudi pekerti baik. ”(Riwayat Ahmad)

::Melihat perempuan yang dilamar itu::

Ini adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. etika dalam Islam. Hal ini mendorong kita supaya kita supaya melakukan sesuatu persetujuan, malah hampir-hampir merupakan suatu pendahuluan untuk diterima.

Di kalangan sahabat Nabi pada masa lampau, apabila mereka hendak mengahwinkan anak-anak mereka, mereka terlebih dahulu melihat orang yang akan menjadi menantunya, dengan maksud supaya jangan terjadi penyesalan di kemudian hari. Yang mereka lihat cukuplah wajah dan kedua belah telapak tangannya. Wajah itu menunjukkan kecantikkan dan sebaliknya, dan kedua belah telapak tangan itu menunujukkan kesuburan tubuh perempuan itu. Selain daripada wajah dan telapak tangan adalah dilarang melihatnya.

::Rukun-rukun nikah::

Terdapat 5 rukun nikah :

i) Akad nikah melalui Ijab dan Qabul

Sekiranya seseorang lelaki itu hendak bernikah dia hendaklah menyempurnakan terlebih dahulu rukun nikah pertama iaitu akad Ijab dan Qabul. Akad Ijab dan Qabul hendaklah dilafazkan dalam satu majlis khas nikah yang dihadiri oleh kedua belah pihak yang berkenaan iaitu wali nikah dan calon pengantin atau pun wakil-wakil mereka dihadapan dua orang saksi lelaki yang menjadi rukun nikah kedua.

Akad Ijab boleh dimulakan oleh wali perempuan kepada pengantin lelaki. Contohnya, ”Aku nikahkan engkau dengan Salmah binti Kamal dengan maskahwinnya tiga ratus ringgit tunai berdasarkan hukum Allah”.

Akad Ijab dan Qabul juga boleh dilakukan oleh Qadi atau juru nikah yang telah ditauliahkan oleh Pemerintah untuk mengakad nikah perkawinan. Cara begini adalah amalan yang biasa diamalkan dalam masyarakat sekarang. Dalam keadaan begini, wali perempuan itu hendaklah melafazkan wakil kepada Qadi atau juru nikah untuk menikahkan anaknya terlebih dahulu. Contohnya, ”Saya wakilkan kepada tuan untuk menikahkan anak perempuan saya Halimah binti Musa dengan Abdul Karim bin Jamaluddin dengan maharnya tiga ratus ringgit tunai. ”

- Digalakkan menyebut mahar atau maskahwin dalam akad nikah.

Dalam akad nikah melalui Ijab dan Qabul adalah digalakkan menyebut terus tentang pemberian mahar oleh suami kepada isteri, sama ada secara tunai ataupun hutang. Maskahwin merupakan suatu pemberian yang telah ditetapkan oleh syara’ Islam ke atas orang lelaki supaya memberi isterinya bermunasabah berkahwin dengannya. Di dalam istilah ilmu al-fiqh atau feqah adalah nama bagi sesuatu nilai wang yang wajib ke atas orang lelaki memberi kepada perempuan dengan sebab nikah atau dengan sebab persetubuhan shubhah atau dengan sebab mati.

Bedasarkan nas al-Quran, maskahwin disyara’kan Islam ialah untuk menerangkan kemuliaan akad nikah itu sendiri dan menerangkan kepentingannya. Ia bukanlah sebagai pertukaran milik suami untuk berseronok-seronok dengan isterinya. Ia juga melambangkan pemberian hadiah kasih sayang suami kepada isteri ketika mula-mula membangunkan rumahtangga.

- Hikmat mahar diperundangkan dalam Islam.

Di dalam syara’ Islam hikmat menyuruh suami memberi mahar kepada isteri kerana perkahwinan dan mahar itu pula sebagai hak isteri adalah untuk menunujukkan pengiktirafann taraf yang tinggi terhadap kaum perempuan dalam Islam kerana seseorang perempuan ia boleh memiliki harta sendiri, walaupun setelah bersuami.

Namun begitu, hal ini haruslah tidak menjadi penghalang kepada pemuda-pemuda yang tidak mahu berkahwin kerana tidak sanggup memikul beban yang berat, iaitu membayar mahar yang wajib itu kerana terlalu tinggi nilai yang ditetapkan oleh pihak perempuan.

- Khutbah nikah.

Berdasarkan kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. adalah disunatkan membaca khutbah nikah sebelum akad Ijab dan Qabul dijalankan. Ini sebagai memperkuatkan nilai kemuliaan dan kepentingan akad nikah itu sendiri. Kandungan khutbah hendaklah mengandungi antaranya puji-pujian bagi Allah, meminta perlindungan dan pertolongan dengan Allah. Mengucap dua kalimah syahadah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Tujuan membaca khutbah nikah sebelum akad Ijab dan Qabul dijalankan ialah selain mengingatkan pentingnya nikah, juga mengingatkan orang yang berkahwin tentang konsep bertanggungjawab penuh terhadap kewajipan serta patut mempraktikkan ketaqwaan terhadap Allah, baik dari segi kata-kata ataupun perlakuan dalam pergaulan sesama manusia. Jadi sewajarnyalah kedua-dua pengantin itu mengambil perhatian dalam soal ini. Seelok-eloknya didengari dan difahami bersama-sama agar faedahnya diperoleh oleh kedua-dua pihak dan tidaklah sebelah pihak sahaja iaitu pengantin lelaki.

ii) Saksi daripada dua orang lelaki.

Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini, akad nikah melalui Ijab dan Qabul sebagai rukun nikah pertama hendaklah dilafazkan oleh kedua pihak berkenaan atau wakil-wakil mereka dihadapan dua orang saksi lelaki. Dua orang saksi ini hendaklah lelaki, Islam, baligh, berakal, mendengar, adil dan merdeka.

iii) Wali.

Rukun nikah yang ketiga pada mazhab ash-shafi’i, seseorang perempuan mestilah dikahwinkan melalui wali nikahnya. Sekiranya dia tida ada wali nikah, maka Qadi umpamanya boleh mengendalikan akad nikahnya. Dalam mazhab Hanafi seseorang perempuan yang akil baligh dan berkeahlian penuh, boleh berkahwin tanpa wali sekiranya lelaki yang mengahwininya itu sekufu’ dengannya.

iv) Calon lelaki.

Untuk menyempurnakan rukun nikha, hendaklah ada calon lelaki yang mahu bernikah. Maka rukun nikah yang keempat mestilah ada calon lelaki sebagai suami. Orang lelaki ini pula mestilah seseorang yang tertentu dalam erti kata lain orang yang mahu berkahwin itu diketahui siapa orangnya.

v) Calon perempuan.

Rukun nikah yang kelima pula ialah mesti ada calon perempuan sebagai isteri. Seperti mana calon lelaki, calon perempuan juga mestilah diketahui siapa orangnya.

- HIKMAH-HIKMAH SESEBUAH PERKAHWINAN.

• Menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan.

• Mengelakkan daripada berlakunya zina secara berleluasa.

• Sunnah bagi umat Islam dan merupakan tuntutan dalam Islam

• Mengeratkan silaturrahim diantara dua buah keluarga.

• Melahirkan keturunan atau generasi yang mulia di sisi Allah dan masyarakat.

Disediakan oleh: Yusrahadifah Binti Md Nor

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment