Wednesday, September 15, 2010

Penghayatan Rukun Islam -

Telah disebutkan dalam hadith Jibril, di mana di mana di dalamnya terdapat jawapan Nabi sallalLahu ‘alayhiwasallam tentang Islam, iaitu:

Terjemahan:”Maka beritahukanlah kepadaku tentang Islam? Islam itu ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasul Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baytullah sekiranya berupaya. ”

Berdasarkan keterangan hadith yang mulia ini, dapatlah disimpulkan bahawa di dalam Rukun Islam itu mengandungi tiga perkara penting, iaitu:
a) Penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah
b) Penyaksian bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah
c) Amalan sahih, di mana puncaknya ialah solat, zakat, puasa dan haji. Sesungguhnya keempat-empat jenis amalan salih ini disebutkan kerana pentingnya dan bagi menarik perhatian tentang betapa perlunya amalan sahih bagi setiap Muslim. Sesungguhnya tidak memadai bagi setiap Muslim itu hanya melafazkan dua kalimah shahadah, bahkan dituntut baginya mengamalkan segala tuntutannya. 

Lafaz shahadah itu maksudnya ialah al-‘ilm (pengetahuan), al-i’lam (pemberitahuan), al-iktibar (perkhabaran) dan al-bayan (penjelasan). Oleh kerana itu disebut al-shahid (orang yang bersaksi) itu sebagai shahid (saksi) kerana dia telah mengkhabarkan maklumat yang diketahuinya. Penjelasan dan perkhabaran itu boleh disampaikan melalui ucapan atau perbuatan. Antara bentuk shahadah dengan bentuk ialah sebagaimana yang dinyatakn oleh firman Allah:

Terjemahan:”tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedangkan mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mreka sendiri…. ”(Surah al-Tawbah 9:17)

Ini merupakan shahadah daripada diri mereka sendiri melalui perbuatan yang dilakukannya. Shahadah ini bermaksud segala perbuatan mereka itu menjelaskan dan membutikan bahawa mereka adalah kafir. Kalimah shahadah itu mengandungi pengakuan pengiktirafan dan keyakinan. Justeru orang yang bersaksi itu memang meyakini kesahihan pengakuan dan perkhabaran yang telah dinyatakannya. Sekiranya dia bersaksi dengan sesuatu yang tidak diyakininya, maka shahadah tersebut adalah dusta, kerana pemberitahuaanya itu tidak menepati keyakinan pegangannya. Firman Allah:

Terjemahan: Apabila orang-orang munafiq dating kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata”kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. ”Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau adalah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (surah al-Munafiqun 63:1)

Golongan munafiq itu berdusta, kerana mereka tidak mengiktiraf kesahihan ucapan mereka dan mereka juga tidak yakin berpegang dengan apa yang mereka ucapkan. Maka kalimat ashhadu itu menunjukkan kepada pengertian al-‘ilm (pengetahuan), al-ma’rifah (pengenalan) dan al-bayan (penjelasan). Selain itu ia juga megandungi pengertian al-iqrar (pengakuan), al- idh’an (kepatuhan) dan al-i’tiqad (keyakinan yang teguh). 

Berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan, maka dapatlah disebutkan pengertian kalimat al-tawhid – Ashhadu an la ilaha illa Allah – ialah : Sesungguhnya aku mengetahui, mengakui, mengiktiraf dan berkeyakinan teguh bahawa Al-Ma’Bud Al-Haqq (Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya) di mana tiada tuhan yang lain yang berhak diserahkan ibadat ialah Allah Ta’ala. Aku jelas dan buktikan keyakinan teguh sedemikian melalui ucapn, perbuataan dan tingkahlaku. Usaha megesahkan Allah Ta’ala dalam ibadat, diistilahkan sebagai Tawhid al-Uluhiyyah, di mana di dalamnya turut meliputi pengertian Tauhid al-Rububiyyah. Maksudnya ialah keyakinan yang teguh bahawa Allah Ta’ala itulah satu-satunya Rabb al-‘Alamin ( tuhan semesta alam). Maka jenis-jenis tawhid terbahagi kepada dua:
i. Tawhid al-Uluhiyyah dan
ii. Tauhid al-Rububiyyah

Justeru kerana Tawhid al-Uluhiyyah inilah, maka Allah telah mengutuskan sekelian rasul, sebagaimana firman-Nya:

Terjemahan : Dan kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) mana-mana rasul, melainkan Kami wahyukan kepadanya : ‘Bahawasanya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Aku. Oleh itu beribadatlah kamu kepada-Ku. ’ (Surah al-Anbiya’ 21 :25)

Terjemahan : Dan sesungguhnya kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap uma seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka) : ‘hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut…’ (Surah al-Nahl 16 :36)

Terjemahan : Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengustukan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata : ‘ Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada tuhan bagi kamu yang berhak disembah selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya. ’ (surah al-Mu’minun 23 :23)

Terjemahan : Dan kepada kaum’Ad, (Kami utuskan) saudara mereka : Nabi Hud. Dia berkata : ‘Wahai kaumku ! sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya). Oleh itu tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya. (Surah alA’raf 7 :65)

Ibadat kepada Allah itu tegak di atas asas al-hubb al-khalis (cinta setulusnya) kepada Allah, diikuti sertakan kepatuhan sepenuhnya kepada-Nya. Bukti benarnya perasaan sedimikian dalam diri sesorang hamba itu dapat dilihat daripda tawajjuhnya kepada Allah Ta’ala dengan bertawakkal kepada-Nya, meletakkan keyakinan kepada-Nya, takutkan ancaman-Nya, memohon ampun kepada-Nya, meminta kepada-Nya, sentiasa mengigati-Nya, kembali kepada-Nya, bersungguh-sungguh melaksanakan sesuatu yang disyarariatkan-Nya, menegakkan agama-Nya, berperwatakan menurut acuan-Nya mengutamakan rasa cinta dan taat kepada-Nya, bertingkah laku, mengeluarkan ucapan dan melakukan sebarang perbuatan semuanya dalam bentuk mencari keredaan di sisi Allah. Bila ini semua dapat dilakukan, iaitu melalui ucapan dan amalan, barulah dapat dikatakan bahawa seseorang Muslim itu benar-benar mengakui shahadah La ilaha illa Allah. 

Pengertian ‘ubudiyyah’ itu semakin bertambah, mantap dan meningkat dalam diri seseorang hamba itu banyak bergantung kepada kadar ilmu serta sejauhmana hajatnya kepada Allah dan tidak melupakan-Nya walau sekelip mata. Demikian juga bertambahnya ras cinta dan kepatuhan seseorang hamba kepada Allah bergantung kepada sejauhmana dia mengenali kesempurnaan Allah dan betapa besarnya manfaat dan nikmat yang telah dianugerahkan daripada-Nya. Seterusnya bergantung kepada sejauhmana dia memikirkan segala nikmat Allah yang tidak terhintung banyaknya. Apa sahaja nikmat yang ada di sekitar kita, maka semuanya daripada Allah. Demikian juga ketika seseorang itu memikjirkan tentang sifat-sifat Allah dan pengertian Al-Asma’ Al-Husna. 

Sejauhmana melimpahnya di dalam hati seseorang hamba nilai-nilai ‘ubudiyyah’ maka sejauh itulah pula terhindar dirinya daripada beribadat kepada selain Allah, lalu meningkat dirinya menjadi seseorang hamba yang ikhlas kepada Allah. Inilah darjat yang paling tinggi diperolehi manusia. Oleh kerana itu Allah Ta’ala telah menyifatkan Rasul-Nya yang mulia dengan sifat ‘ubudiyyah’ di tingkatnya yang tinggi. Maka Allah telah sifatkan Baginda sebagai hamba ketika menyifatkannya sebagai penerima wahyu, sebagai pendakwah ke jalan-Nya. Seterusnnya ketika Baginda diisra’kan (dibawa berjalan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa) dan dibawa naik (mi’raj) ke langit. Firman Allah Ta’ala :

Terjemahan : Lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah diwahyukanNya. (surah al-Najm 53 :10)

Terjemahan : Dan bahawa sesungguhnya, tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (Surah al-Jinn 72 :19)

Terjemahan : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram ke msajid al-Aqsa…(Surah al-Isra’ 17 :1)

Kalimah al-Rabb itu, pengertannya menunjukkan kepada makna al-sayyid (penguasa), malik al-shay’ (pemilik sesuatu), al-mujid (pencipta), al-mutasarrif (pentadbir), al-murabbi (pendidik), al-mutakaffil bi maslahat al-insan (penjamin kepentingan manusia), sahib al-sultan wa al-siyadah (pemilik kekuasaan dan ketuanan), al-nafidh amrahu fi ghayrih (berkuasa menetapkan perintah kepada orang lain). Segala pengertian al-rububiyyah di atas serta pengertian-pengertian lain yang berkaitan dengannya tidak boleh disifat atau dimiliki secara hakiki dan sempurna melainkan oleh Allah Ta’ala. Adapun selain Allah, maka mereka adalah marbub lillah ; iaitu golongan yang diperintah, dididik, dikuasai dan dipelihara oleh Allah. Sekiranya kepadatan pada mana-mana makhluk sebahagian daripada pengertian al-rububiyyah, maka ia hanyalah dalam bentuk al-majaz(ibarat, kiasan dan metafora) dan al’ariyah (meminjam istilah). 

Sesungguhnya, sesuatu yang lain Allah adalah makhluk. Kewujudan kekekalan makhluk itu semuanya bergantung kepada Allah. Demikianlah halnya segala sifat kesempurnaan yang ada pada makhluk itu hanyalah dalam pengertian kesempurnaan yang bersesuaian dengan kedudukannya. Sesungguhnya Allah Ta’ala, Dialah Rabb al’Alamin yang sebenar-benarnya menguasai alam semesta. Tiada Rabb selainNya. Dialah yang Maha Pencipta, Maha Kuasa menghidup dan mematikan makhluk serta menetapkan segala perintah dan hukumnya ke atas seluruh makhluk. Maka di tangan-Nya kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesatu. Sekiranya Dia hendak mengurniakan manfaat kepada seseorang, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaan-Nya. Sekiranya Dia hendak kurniakan kepada seseorang selain daripada itu, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya. Firman Allah Ta’ala :

Terjemahan : Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tiada siapa yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri ; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

Sesungguhnya Allah Ta’ala itu, hanya Dia sahaja yang Maha Kuasa mengurniakan seseuatu dan menahannya serta memberikan manfaat dan mudarat. Segala sesuatu selain Allah adalah memerlukan-Nya dan berhajat kepad-Nya. 

Terjemahan : (oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah(dalam segala perkara).. (Surah Fatir 35 :15)

Sifat faqir atau memerlu dan berhajatkan Allah adalah sifat stiap makhluk, sebagaimana sofat Maha Kaya itu merupakan sifat bagi Allah Rabb al-‘Alamin. 

Penyaksian bahawa Nabi Muhammad itu adalah rasul Allah merupakan asas merupakan asas yang kedua dalam Islam. Maksudnya ialah pengetahuan, pembenaran dan keyakinan yang sungguh-sungguh bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah. Penyaksian tersebut perlu dinyata, dibukti dan dijelaskan menerusi ucapan dan amalan. Melalui ucapan ialah dengan mengucap syahadah ini. Sementera melalui perbuatan pula ialah dengan menegakkan akhlak dan seluruh ingkah laku, ucapan dan amalan menepati ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallaLahu ‘alayhi wasallam daripada Tuhannya dengan mengikut dan menerimanya sebagai Rasul Allah. 

Tiada seorang rasul yang diutus oleh Allah melainkan dia diperkuatkan denagn mu’jizat yang menunjukkan kepada kebenaran da’wah dan nubuwwahnya. Berkaitan dengan nubuwwah Nabi Muhammad dapatlah disebutkan : ‘Tiada dalil yang ditegakkan bagj mengithbatkan nubuwwah seseorang nabi atau rasul yang serupa ataulebih jelas daripada dalil yang dikemukakan untuk mengithbatkan nubuwwah Nabi Muhammad sallaLahu ‘alayhi wasallam. Oleh kerana itu, sesiapa yang mengakui nubuwwah Musa, ‘Isa atau nabi-nabi yang lain dan menafikan nubuwwah Nabi Muhammad sallaLahu ‘alayhi wasallam, maka penafiaannya itu tentu sekali bertentangan dengan bisikan hati dan kenyataan sebenar yang dapat dilihatnya. Penafian dan keingkarannya itu tidak lain kesan daripada sikap jahil, ta’assub dan taqlid buta yang tidak diasaskan kepada dalil dan bukti yang nyata. 

Bagi kalangan peneliti Sejarah Islam, jelas dan terang bagi mereka bahawa penduduk Makkah dan golongan Quraysh khususnya merupakan golongan yang pertama menentang da’wah Islmiyyah dan tidak mengiktiraf kenabian Nabi Muhammad sallaLahu ‘alayhi wasallam. Mereka mengingkari bahawa Nabi Muhammad adalah rasul Allah atau al-Quran itu adalah kitab Allah. Antara bentuk pertentangan yang terjadi di antara Nabi Muhammad sallaLahu ‘alayhi wasallam dengan sekelian golongan yang menentang, ingkar dan keras kepala ialah cabaran al-Quran terhadap mereka, di mana Nabi telah disuruh mengatakan kepada mereka sebagaimana yang telah diwahyukan oleh al-Quran :

Terjemahan : Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Sesungguhnya jika sekelian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan setanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangka yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri. ’ (Surah al-Isra’ 17 :88)

Kesan cabaran yang berulang-ulang daripada Rasulullah kepada kaum Quraysh serta sekelian golongan yang menentang, menurut pendapat saya memperlihatkan kegagaln mereka menyahut cabaran tersebut, bahkan mereka diam membatu tidak dapt menjawabnya. Lalu mereka atu segala strategi lain melalui pendekatan berdusta dan berbohong serta menghalang jalan Allah dengan menakut-nakut dan menekan golongan yang bersama-sama dengan mereka supaya tidak terpengaruh. Firman Allah Ta’ala menceritakan uslub mereka ini :

Terjemahan : Dan orang-orang yang kafir berkata :’jaganlah kamu mendengar al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (menganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya. ’ (surah Fussilat 41 :26)

Amalan salih itu ialah amalan yang diredai di sisi Allah Ta’ala, iaitu amalan yang memenuhi dua syarat :
1. Hendaklah amalan tersebut menepati syariat Islam
2. Hendaklah maksudnya kerana mencari keredaan Allah dan kerana taatkan-Nya. 

Sekiranya kedua-dua syarat ini atau salah satu di antaranya gugur daripadanya, maka ia bukanlah amalan yang diredhai Allah. Oleh kerana itu, amalan tersebut tidak beroleh ganjaran atau pahala. Firman Allah Ta’ala :

Terjemahan : …. Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amalan yang salih, dan janganlah dia mempersekutukan seseiapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahfi 18 :110)

Maka maksud amalan salih di sini ialah amalan yang sahih atau menepati tuntutan syariat Islam dan ikhlas dilakukan demi menuntut keredaan Allah Ta’ala. 

Tidak syak lagi terdapatnya tingkat-tingkat keutaman segala amalan salih dari segi ganjaran dan pahala serta dari segi ganjaran dan pahala serta dari segi tuntutan syarak. Ibadah yang digolokkan sebagai fardu lebih utama daripada ibadat yang sunat. Demikian juga ibadat yang manfaatnya meliputi jamaah lebih utama daripada ibadat yang manfaatnya hanya terbatas kepada perlakunya sahaja. 

Ibadat yang berbagai jenis itu, memberi kesan yang jelas ke atas tingkah laku setiap individu, iaitu membersihkan jiwanya sebagaimana yang telah kami sebutkan. Seterusnya ibadat tersebut dapat menambahkan muraqabah seseorang kepada Rabbnya, baik ketika rahsia atau terang-terangan. Rasa takutkan azab-Nya mendorong seseorang hamba itu menjauhkan diri daripada perbuataan maksiat, menyakiti manusia lain dan bersegera melakukan amalan kebaikan. Tidak syak lagi, bahawa sesuatu masyarakat itu akan beroleh kebahagian apabila bertambah di dalamnya bilangan salihin yang takutkan Allah Ta’ala, jumlah kebaikan dalam masyarakat akan berganda dan kadar kejahatan dan jenayah semakin berkurangan. Oleh kerana itu, dapatlah kita kaakan bahawa ibadat dalam Islam itu dapat memberi manfaat dan membangunkan individu serta masyarakat. 


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Muhammad Azri Bin Zulkifli

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment