Wednesday, September 15, 2010

Anak Kita Tanggungjawab Kita Bersama -

PENDAHULUAN
Tali hubungan antara ibu bapa dan anak-anak merupakan satu perkara yang amat kompleks untuk dijelaskan. Signifikannya, hubungan antara dua beranak ini biasanya membawa kepada kebahagiaan mahupun kehancuran sesebuah institusi kekeluargaan. Ibu bapa di ibaratkan sebagai nakhoda yang mengemudi sebuah kapal yang membawa penumpang-penumpang yang merujuk kepada anak-anak mereka sendiri. Jika nakhoda itu sendiri tidak pandai untuk mengemudi kapal tersebut maka akan hanyutlah kapal tersebut bersama penumpang-penumpangnya.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Fakulti Sains Sosial di Universiti Utara Malaysia, dianggarkan lebih kurang 63% golongan remaja pada hari ini terjerumus dengan gejala sosial yang tidak sihat. Mengapakah perkara ini terjadi?

Terdapat banyak faktor yang mendorong perkara ini berlaku. Antaranya ialah faktor dalaman remaja itu sendiri, masalah ibu bapa atau masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan bermacam-macam lagi.

Setelah di selidik secara terperinci, faktor utama bagi masalah ini adalah berpunca daripada ibu bapa remaja itu sendiri. Ibu bapa pada hari ini terutama mereka yang mempunyai pendidikan tinggi khususnya yang tinggal di bandar selalunya mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Mereka terlalu mementingkan kerjaya dari menguruskan anak-anak. Keadaan ini di ibaratkan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. ibu bapa pada hari ini lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tiada masa untuk menjaga mereka. Ada juga segelintir ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh kerana berpendapat di sana lebih baik dari sekolah biasa sedangkan realitinya apa yang kita nampak pada hari ini kebanyakanya remaja yang terpengaruh dengan gejala sosial ini adalah daripada pelajar-pelajar sekolah agama mahupun sekolah berasrama penuh. Ini kerana mereka telah di hantar ke sekolah-sekolah tersebut pada usia muda. Masa meraka banyak dihabiskan bersama rakan daripada keluarga atau ibu bapa mereka sendiri. Keeadaan ini tidak mampu megubah sikap atau akhlak anak-anak mereka ke arah yang lebih baik kerana lazimnya guru-guru tidak mampu memberikan sepenuh perhatian kepada anak mereka kerana mereka juga mempunyai banyak urusan yang perlu di selesaikan.

Jadi, apakah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak merka dalam erti kata yang sebenarnya?

Anak Kita Tanggungjawab Kita

“Anak-anak Adalah Cahaya Mata…”

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dalam menjalankan tugas kita sebagai ibubapa, orang yang memikul amanah dalam membimbing anak-anak dan sebagai anak-anak yang mentaati kedua ibubapa. Dalam sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh Abd Razzak dan Said bin Mansur daripada Ali RA berkata:”Didiklah anak-anak dan keluargamu dengan baik serta hiasilah mereka dengan akhlak yang baik”.

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia(al-Kahfi :46)

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka. Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya

Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan.

Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal.

Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak. Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.

Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:

i- Azan dan iqamat
HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan

ii- Membelah mulut (tahnik)
TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.

iii- Penyusuan
SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.

iv- Memberi nama
TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

v- Bercukur
MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.

vi- Aqiqah
HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.
(Hadis Riwayat Ahmad)

vii- Berkhatan
BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita. (Hadis Riwayat At- Tabrani)
Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :-

i- Menanamkan asas-asas keimanan
ii- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
iii- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.
iv- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.
v- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang.
vi- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
vii- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.
viii- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak.
ix- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.
x- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.
xi- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa.
xii- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.

Sementara itu, pepatah Melayu berbunyi ‘melentur buluh biarlah dari rebung’ patut dijadikan amalan. Pendidikan dan pembentukan keperibadian anak hendaknya bermula dari kecil lagi. Ini mesti dilakukan oleh ibu dan bapa. Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah. Pertama, ibubapa perlu berusaha untuk memenuhi hak asasi anak seperti yang digariskan oleh Islam. Prof Abdul Rahim Omran berkata ada 10 hak asasi seorang anak iaitu

1. Hak untuk mempunyai genetik sahih (anak yang dilahirkan oleh ibubapa yang sah pernikahannya).
2. Hak untuk hidup.
3. Hak untuk mempunyai nama baik.
4. Hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan & penyusuan ibu.
5. Hak untuk mendapat tempat tidur berasingan.
6. Hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan.
7. Hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam.
8. Hak untuk mendapatkan sesuatu yang dibelanjakan baginya dari sumber halal.
9. Hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri.
10. Hak untuk mendapat layanan saksama tanpa mengira jantina.

Merujuk kepada hak yang ke-6 di atas, kita perlu melihat semula sejauhmanakah peranan ibubapa dalam memberi pendedahan ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah kepada anak-anak yang dikatakan amat kritikal kini. Masyarakat sering kali menyalahkan ibu bapa sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini terhadap anak-anak. Si bapa pula akan menyalahkan ibu yang menurutnya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik anak-anaknya. Sebenarnya ibubapa bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sangat merugikan kerana tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

Al-Quran menjelaskan fungsi mendidik anak terletak pada bahu seorang bapa, manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Ini dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud:”Dan ketika Lukman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pelajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar. ”(Surah Lukman, ayat 13).

Di sini, Lukman sebagai seorang bapa, mula mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah, Pencipta dan Pemilik alam ini. Seterusnya Lukman (mewakili kaum bapa) mengajarkan anaknya terhadap bahaya syirik dan menasihatkan anaknya mengenai beberapa tatacara akhlak mulia. Begitulah betapa besarnya tanggungjawab bapa dan ini menunjukkan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak. Dalam perubahan struktur keluarga pada zaman ini (di mana ibu juga sama-sama mencari nafkah), tugas bapa bukanlah setakat mencari nafkah untuk keluarga semata mata. Mereka perlu berganding bahu sebagai ibubapa yang berpadu tenaga untuk mengenalkan anak kepada akidah Islam mantap. Keutuhan akidah inilah yang akan menjamin kemuliaan akhlak remaja Islam.

Dalam hal ini, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak di dalam Islam) merakamkan enam tanggungjawab pendidikan, iaitu:

1. Tanggungjawab pendidikan keimanan (akidah).
2. Tanggungjawab pendidikan akhlak.
3. Tanggungjawab pendidikan jasmani.
4. Tanggungjawab pendidikan mental.
5. Tanggungjawab pendidikan rohani.
6. Tanggungjawab pendidikan sosial

Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa anak-anak kita tergolong daripada mereka yang berguna kepada umat manusia dan bukan di kalangan mereka yang membuat kerosakkan?. Untuk memastikan kesemuanya ini, suatu perkara yang sangat penting perlu dimiliki oleh setiap orang untuk menjalani kehidupan di atas bumi ini, lebih-lebih lagi dalam memikul amanah sebagai khalifah adalah dengan menguasai”ilmu”. Hanya dengan ilmu sajalah seseorang itu dapat membezakan yang halal dan yang haram, yang haq dan yang bathil. Hanya dengan ilmu jualah manusia dapat mentadbir bumi ini sebaik-baiknya agar mereka mendapat ketenangan serta kejayaan di dalam segala aspek kehidupan. Untuk kita memakmurkan bumi ini, wajiblah kita menuntut ilmu… Segala bentuk ilmu, samada ilmu fardu ain seperti ilmu Tauhid, ilmu Fiqh dan Muamalah ataupun ilmu fardhu kifayah seperti ilmu Sains, Matematik dan sebagainya.

Renunglah sejenak… Sejauhmanakah kita mendedahkan anak-anak kita dengan ilmu fardhu ‘ain?… Di kesempatan cuti persekolahan ini marilah sama-sama kita tekankan penguasaan ilmu fardhu ‘ain untuk anak-anak kita agar dengannya dapat dijadikan benteng bagi mereka menghadapi dunia luar yang penuh cabaran.

Bawalah anak-anak kita bersama-sama solat berjamaah di surau/ masjid, biasakanlah mereka dengar membaca Al-Quran walaupun hanya sekadar selembar sehari dan biasakanlah mereka dengan mendengar tazkirah ilmiah yang dianjurkan. Insya Allah gabungan ilmu fardu ‘ain dan fardhu kifayah yang mantap akan membentuk jatidiri anak-anak ke arah yang lebih terarah. Insya Allah dengan ini dapat menghindar remaja kita kepada kemusnahan yang merosakkan aqidah, akhlak dan peribadi mereka.

Marilah kita merenung sejenak akan pentingnya ilmu di dalam kehidupan, terutama bagi mereka sebagai pelapis para pemimpin di masa hadapan. Anak-anak kita tidak akan dapat mendisiplinkan diri dalam menuntut ilmu melainkan dengan tunjuk ajar dan pimpinan ibubapa mereka. Sebagai ibubapa kita haruslah sentiasa memainkan peranan untuk memberi mereka sokongan dan tunjuk ajar yang diperlukan. Kita tidak boleh sibuk dengan urusan pekerjaan seharian sahaja sehingga kita abaikan tangungjawab terhadap mereka.

Bagaimanakah boleh kita membantu mereka?. Sebagai ibubapa, selain daripada memberi mereka galakan, kita harus juga ada hubungan komunikasi dengan anak-anak, sentiasa berinteraksi dengan mereka dan sentiasa bertanya akan masalah-masalah yang mereka hadapi dalam mengharungi dunia mereka. Sebagai ibubapa, kita juga harus memastikan mereka hanya menuntut ilmu yang benar dan yang bermanfaat dan tidak menuntut ilmu-ilmu yang boleh memudharatkan mereka. Antara ilmu-ilmu yang membawa kebaikan, sebagai contoh, ilmu fardhu ain, kerana ianya akan mengenalkan remaja kita kepada tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam dan perkara-perkara yang diwajibkan ke atas mereka untuk ditunaikannya. Dengan demikan mereka akan menjadi remaja yang bertaqwa serta akan menjauhkan mereka daripada membuat maksiat dan sekaligus mereka akan mempunyai sifat muraqabah. Secara tidak langsung, mereka juga akan menjadi anak yang soleh dan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sebagai ibubapa, mungkin kita akui dan memang tidak akan merestui sekiranya anak-anak kita menuntut ilmu yang boleh merosakkan mereka. Tetapi dari manakah mereka mendapat ilmu-ilmu tersebut? Sebagai remaja, anak-anak kita mempunyai ramai kawan dan kenalan. Sekiranya mereka berkawan dengan mereka yang mulia akhlaknya, mereka akan juga dipengaruhi sifat-sifat mulia daripada kawan-kawan tersebut. Tetapi, sekiranya mereka berkawan dengan yang buruk akhlak dan budi pekertinya, mereka akan terpengaruh dan akan mengambil sifat-sifat buruk tersebut.

Jadi, kita hendaklah memastikan agar anak kita mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengelakkan daripada ilmu-ilmu yang boleh merosakkan akhlak dan peribadi sebagai persiapan mereka menjadi khalifah di muka bumi ini.

Demikianlah antara tanggungjawab kita sebagai ibubapa di mana kita akan ditanya oleh Allah SWT akan amanah yang kita dipertanggungjawabkan ini. Buat akhirnya, semoga ibubapa dan pendidik dapat meningkatkan iltizam dalam mendidik cahaya mata masing-masing dengan merenung mafhum hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:”Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya akan mereka yang di bawah kepimpinannya!”(Riwayat Ibn Hibban).

Disediakan oleh: Shirin Sakini Binti Mohd Nawawi

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment