Wednesday, September 15, 2010

Anak Yang Soleh -

::Pendahuluan::

Seorang anak yang soleh harus berbakti kepada kedua ibubapa mereka kerana telah jelas termaktub di dalam al-Quran bahawa Allah SWT memerintahkan agar seorang anak mengasihi orang tuanya. Sebagaimana yang diterangkan ayat 23 dan ayat 24 dalam Surah al-Isra’ menjelaskan lagi tentang kewajipan seorang anak terhadap orang tuanya. 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedu-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan husy (hah) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ”Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku waktu kecil, ”“(al-Isra’:23-24)

Maksud berbakti terhadap ibubapa ialah berbuat ihsan kepada mereka dengan menyelesaikan atau menunaikan yang wajib kepada seorang anak terhadap orang tua, baik dari segi moral mahupun spiritual yang sesuai dengan ajaran Islam. Kewajipan berkhidmat kepada ibubapa merupakan satu ibadah kepada Allah SWT dan tentunya akan menerima balasan di akhirat nanti. 

::BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA::

Di dalam surah al-Isra’ ayat ke 23 dan 24 telah menerangkan cara berbakti kepada kedua ibubapa iaitu bersikap hormat, lemah-lembut dan merendahkan diri serta merendahkan suara di hadapan orang tua. Maksud perkataan husy atau diertikan sebagai kata uffin dalam ayat 24 dan 24 surah al-Isra’ bermaksud mengeluarkan kata-kata husy, ah, dan yang seumpamanya bagi melambangkan kekesalan hati atau ketidakpuasan hati. Apabila meluahkan perkataan itu kepada kedua orang tua adalah dimurkai Allah SWT sama sekali. Apabila seorang anak berbuat baik terhadap kedua ibubapa mereka dan ibubapa mereka meredhai mereka, sekaligus mereka mendapat keredhaan dari Allah SWT sebagaiman Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang membuat suka hati ibubapanya, maka sesungguhnya ia menyukakan Allah, dan barang sesiapa yang membuat ibubapanya marah, maka sesungguhnya ia bererti membuat Allah murka. ”

Apa yang dinamakan berbuat baik kepada orang tua (wabilwaalidaini ihsaanan) adalah termasuk memberi nafkah kepada kedua orang tua dan hukumnya wajib. Sebagai seorang anak yang soleh juga kita perlu taat pada suruhan kedua ibubapa, menurut kehendaknya, menyahut dan datang kepada ibubapa apabila dipanggil. Walau dalam keadaan apa sekalipun kita perlu memenuhi kehendak kedua ibubapa selagi suruhan dan perintahnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana Allah adalah satu-satunya yang wajib ditaati dan perintah Allah berada di atas dari segala perintah yang wajib ditaati sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat ke-15. 

“Dan jika kedua (ayah-ibumu) memaksamu untuk mempersekutukan Ku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti (mentaati) keduanya, dan hendaklah engkau bergaul dengan baik kepada keduanya di dunia. ”(surah Luqman:15)

Sebagai anak yang soleh, kita juga hendaklah ingat bahawa selain menjadi ibubapa kepada kita, mereka merupakan guru yang pertama kepada kita. Mulai daripada bagaimana cara si bayi harus berbicara sehinggalah sampai mengenali nama-nama di alam sekitar. Daripada kita bayi yang tidak mengetahui apa-apa sehinggalah kita tahu adab bersopan-santun, cara memakai pakaian dan menanggalkannya, cara solat, dan sebagainya lagi. Itu semua merupakan tanggungjawab mereka dengan izin Allah SWT. 

Berbakti kepada kedua ibubapa bukan hanya terbatas pada waktu mereka masih hidup namun perlu diteruskan walaupun mereka telah kembali ke rahmatullah seperti dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh seorang sahabat nabi bergelar Abu Asid, bernama Malik bin Rabi’ah as-Sa’idi berkata:

“Kami sedang duduk bersama Rasulullah saw, datanglah seorang laki-laki dari Bani Salamah, maka ia bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah! Masih adakah kebaikan (kewajipan) yang saya harus lakukan untuk berbakti kepada kedua orang tuaku setelah keduanya meninggal dunia? Rasulullah saw menjawab: Ya ada! (Iaitu) Solat atas (jenazah) keduanya (maksudnya mendoakan keduanya) dan memohankan ampun bagi keduanya dan memenuhi segala pesannya (ertinya juga menyempurnakan janji keduanya) setelah keduanya wafat dan menghubungkan tali silaturrahim yang tidak sampai, melainkan dengan keduanya dan menghormati para sahabat karib keduanya. ”(Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Daripada ayat di atas, jelas mengatakan setelah kedua ibubapa meninggal dunia, kewajipan seorang anak yang soleh kepada kedua ibubapa tidak terhenti di situ sahaja. Seorang anak yang soleh itu wajiblah mendoakan kesejahteraan ke atas arwah kedua ibubapa mereka, agar beliau diterima di sisi Allah Yang Maha Kasih tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja. Terutama tiap kali seorang anak itu selesai solat dan kemudian berdoa kepada Allah SWT untuk kepentingan diri sendiri, maka hendaklah mendoakan bagi kedua ibubapa mereka juga. 

Selain itu, sebagai anak perlulah memohon keampunan pada Allah SWT bagi dosa-dosa orang tua setelah kepemergian mereka ke rahmatullah. Bahkan seorang anak yang soleh perlulah memenuhi pesan ataupun menyempurnakan janji yang dilakukan oleh arwah orang tua mereka sewaktu masih hidup serta menjunjung dan menjaga nama baik kedua ibubapa. Dengan berkelakuan baik dan menjalani perintah Allah SWT, dapat merubah nasib kedua orang tua itu di dalam alam kubur, kerana keadaan anak soleh itu adalah sebagai amal orang tua. Jadi dengan kebaiakan amal soleh itu, orang tua mendapat pahala sebagaimana yang telah diterima oleh anak soleh tadi. 

Walaupun kedua ibubapa telah meninggal dunia, sebagai anak yang soleh perlulah menjaga hubungan silaturrahim antara saudara keduanya serta melayan baik sahabat-sahabat mereka. Perhubungan baik seorang anak yang soleh dengan saudara atau kenalan arwah orang tua itu melambangkan cara didikan kedua arwah. 

::BERBAKTI KEPADA IBU::

Kerana manusia itu sering lupa, terutama melupakan jasa seseorang, maka Allah SWT mengingatkan agar jangan melupakan jasa orang tua, terutamanya jasa seorang ibu. Di dalam hadis-hadis Rasulullah saw juga lebih memberatkan ibu daripada bapa, walaupun berbakti kepada seorang bapa juga bukan merupakan perkara yang boleh dipandang remeh sebagaimana sebuah hadis disebutkan:

“Pada suatu hari datanglah seseorang kepada Rasulullah saw. Lalu bertanya: Siapakah yang lebih pantas mendapatkan persahabatan yang lebih baik dari saya? Sabda Rasulullah saw: Ibumu. Ia bertanya: Setelah itu siapa? Jawab Rasulullah saw: Ibumu. Ia bertanya lagi: Setelah itu siapa lagi? Jawab Rasulullah saw: Ibumu. Ia bertanya lagi: Kemudian dari itu siapa lagi? Jawab Rasulullah saw: Bapamu. ”(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Jasa seorang ibu itu amatlah besar dan adalah tiga kali ganda daripada jasa seorang bapa itu sendiri. Sebagaimana sebuah Hadis Nabi mengatakan:

“Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu. ”(Riwayat Ahmad)

Salah satu jasa seorang ibu itu ialah bersusah-payah mengandung anak di dalam kandungan selama 9 tahun yang merupakan suatu tempoh yang agak panjang. Sepanjang tempoh itu pelbagai yang dilalui oleh seorang ibu sehingga dalam banyak hal seorang ibu itu lebih mementingkan bayi yang dikandung dari dirinya sendiri. Daripada saat mengandung mengalami alahan hinggalah tiba detik melahirkan bayi yang kesakitannya hanya dapat diubati apabila terdengar tangis dari si kecil yang baru keluar dari rahim si ibu. Namun kepayahan seorang ibu itu tidak terhenti di situ kerana bayi yang baru lahir itu masih menuntut kasih sayang dan pemeliharaan yang cermat dari ibu serta ayahnya. Maka benarlah sabda Rasulullah saw bahawa yang mempunyai sebesar-besar hak atas anak ialah ibunya, sebagaimana sabda baginda dalam sebuah Hadis:

“Orang yang mempunyai sebesar-besar hak atas seorang (anak) itu ialah ibunya. ”(Riwayat Hakim)

::BERBAKTI KEPADA AYAH::

Seorang ayah itu mungkin tidak merasakan keperitan mengandung dan melahirkan anak itu, tetapi tanggungjawab ayah terhadap anak dan isterinya juga tidak ringan. Beban tersebut dipikul seorang ayah itu dengan penuh suka dan duka, sehingga nafkah zahir batin terhadap anak dapat terpenuhi. Di dalam urusan membimbing anak, seorang ayah juga memegang peranan penting kerana dalam hal ini kewibawaan seorang ayah juga mempunyai pengaruh yang menentukan keperibadian anak. 

Dari bayi hingga dewasa, ayahlah yang menanggung biaya hidup termasuk keselamatan zahir batinnya si bayi. Tanggungjawab seorang ayah itu sebagai ketua itu teramatlah besar sehingga segala keperluan isteri mahupun anak, baik keperluan jasmani mahupun rohani. Oleh kerana itulah Allah SWT memerintahkan dan mewasiatkan kita untuk berbakti kepada bukan sekadar ibu tapi termasuk bapa kita, bermakna keduanya seperti sabda-sabda Rasulullah saw:

“Peliharalah kecintaan bapakmu, janganlah engkau putuskan. Sebab jika engkau putuskan, niscaya Allah memadamkan cahayamu (yakni Allah menjadikan kamu hina). ”(Riwayat Imam Bukhari)

“Dan kami wasiatkan (Kami wajibkan) manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang ibubapanya”(surah al-Ankabut:8)

::HAK-HAK TERHADAP ORANG TUA::

Apabila seseorang itu semakin tua, sikapnya akan menjadi seperti kebudak-budakan yang merengek, merajuk bila kehendaknya tidak dituruti dan sebagainya. Apabila kedua ibubapa kita semakin meningkat usianya dan bersifat kebudak-budakan adalah menjadi tanggungjawab kepada kita sebagai seorang anak yang soleh untuk melayani karenahnya sebagaimana orang tua kita melayani kita sewaktu masih kecil dan inilah saat untuk kita membalas segala jasa dan budi baik kedua ibubapa kita serta membuktikan kasih sayang kita pada mereka. 

Antara hak-hak seorang anak yang soleh terhadap kedua ibubapa mereka ialah apabila ia (orang tua) menghajati makanan, pakaian mahupun perkhidmatan dari kita, kita sebagai seorang anak yang soleh hendaklah memenuhi permintaannya dengan penuh kesabaran. Selain itu, apabila ia memanggil kita, sebagai anak yang soleh hendaklah kita menyahut panggilannya dengan lembut. Kita juga sebagai anak yang soleh, apabila kedua ibubapa kita menyuruh kita berbuat sesuatu, hendaklah kita taat kepada selagi suruhannya tidak membawa derhaka kepada Allah SWT. Namun begitu, jangan pula kita sesekali membantah suruhan mereka dengan cara yang kurang ajar ataupun mengeluarkan kata-kata uffin kerana mereka tetap berjasa terhadap kita. 

Di samping itu, antara hak-hak seorang anak yang soleh terhadap kedua ibubapanya ialah melemah-lembutkan suara apabila berbicara dengan mereka walaupun kita dalam keadaan marah dan kita sebagai anak yang soleh hendaklah memanggil mereka dengan panggilan yang menyenangkan hati mereka. 

Apabila kita berjalan dengannya, sebagai anak soleh kita hendaklah berjalan di belakangnya sebagai tanda hormat kita terhadap mereka. Kemudian, hak anak yang soleh terhadap ibubapa ialah memohonkan keampunan Allah atas segala dosa orang tua setiap kali kita memohon keampunan kepada Allah untuk kesalahan kita sendiri. Malahan sebagai anak yang soleh hendaklah kita menyukai untuk keduanya apa yang kita sukai untuk kita sendiri, apabila sesuai dengan kehendak Islam. Ertinya segala laku perbuatan dan tindakan ibubapa kita, kita sukai, kita bela dan kita dukung, apabila tidak dalam hal maksiat kepada Allah. 

::FAEDAH BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA::

Allah SWT telah berfirman bahawa apabila berbuat baik pasti Allah SWT akan membalas yang setimpal dengannya begitu juga sebaliknya. Berbakti kepada kedua ibubapa kita merupakan satu kewajipan dan terlalu banyak malahan berganda faedah yang diperolehi oleh anak yang soleh apabila mereka berbakti terhadap kedua ibubapa. 

Memuliakan ibubapa merupakan amalan yang amat disukai oleh Allah SWT dan apabila berbakti kepada kedua ibubapa kita pahalanya menyamai pahala jihad di jalan Allah SWT serta menyamai pahala haji dan umrah dan sudah tentu menghasilkan kenikmatan syurga. 

Sebagai anak yang soleh, apabila kita memuliakan ibubapa kita Allah SWT menjanjikan keberkatan umur dan rezeki atau harta. Malahan memuliakan kedua ibubapa ini dapat menghilangkan gundah gulana dan hati duka. 

“Keredhaan Allah tergantung kepada keredhaan ibubapa, dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan keduanya. ”(Riwayat Imam Thabarani)

Berdasarkan Hadis di atas, menjelaskan bahawa apabila seorang anak yang soleh menjalankan kewajipan terhadap kedua ibubapanya, pasti dia mendapat keredhaan dari keduanya sekaligus mendapat keredhaan dari Allah SWT. Ini bermakna Allah SWT memurkai seorang anak yang derhaka kepada kedua ibubapanya. 

KESIMPULAN
Kesimpulannya, untuk menjadi seorang anak yang soleh tidaklah semudah yang diterangkan tambahan di zaman kini yang penuh dugaan tetapi bukanlah suatu perkara yang mustahil. Kita sebagai anak yang soleh hendaklah sentiasa mengenang jasa ibubapa terhadap kita, agar kita tidak akan terleka dan lupa akan jasa orang tua yang telah bersusah-payah memelihara kita dari bayi hinggalah dewasa. Kita sebagai anak yang soleh perlulah mengasihi dan berbakti kepada kedua ibubapa yang merupakan perintah Allah SWT walaupun mereka bukanlah seorang ibu atau bapa yang sempurna pada kita. Namun ingatlah bahawa tanpa mereka dan izin Allah SWT, kita tidak akan berpeluang melihat dunia. Oleh itu, sangat jelas bahawa kita wajib berbakti kepada kedua ibubapa dan menjadi anak yang soleh kerana sesungguhnya Allah SWT meredhai hidup seorang anak yang soleh itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw:

“Amal perbuatan yang amat disukai oleh Allah ialah; solat (yang tepat) pada waktunya, setelah itu berbakti kepada orang tua, setelah itu lalu berjihad di jalan Allah. ”

Disediakan oleh: Noor Atiqah Bt. Mohati

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment