Wednesday, September 15, 2010

Memahami Konsep Kekeluargaan Islam -

Dalam Islam terdapat tiga bentuk ikatan kekeluargaan iaitu keturunan atau nasab, perkahwinan atau musaharah dan susunan atau radi’ah.

Kekeluargaan yang terbentuk berasaskan kepada keturunan adalah ikatan yang paling kuat dan sama sekali tidak dapat dipisahkan atau diputuskan. Ibarat kata pepatah Melayu”air yang dicincang tidak akan putus”atau”biduk lalu kiambang bertaut”. Dari segi hukumnya, ikatan kekeluargaan mempunyai implikasi tertentu seperti larangan berkahwin, sabitan perwarisan, perwalian perjagaan, nafkah dan lain-lain.

Perkahwinan atau persemendaan adalah ikatan yang terjalin berasaskan kepada akad nikah dengan syarat-syarat yang mencukupi untuk menghalalkan hubungan. Perkahwinan inilah yang akan membiakkan zuriat keturunan seperti firman Allah SWT dalam surah an-Nahl(16), ayat 72 yang bermaksud‘‘…dan jadikan bagi kamu dari pasangan kamu:anak-anak dan cucu-cicit…”

Dari perkahwinan terbentuklah rumah tangga. Ketua bagi keluarga adalah lelaki atau bapa. Dalam ayat an-Nissa’(4), ayat 34 yang bermaksud, ‘‘Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki(dengan beberapa keistimewaan)atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan(memberi nafkah)sebahagian dari harta mereka…”

Kelebihan dan darjat yang lebih diberikan kepada suami kerana kepimpinan dan nafkah keluarga yang dikeluarkan olehnya. Darjat ini bukan memberi keutamaan kepada lelaki tetapi lebih menekankan kepada peranan mereka dalam rumah tangga.

Bagi menjamin pembinaan keluarga yang bahagia pihak suami hendaklah berlaku baik terhadap isteri atau husna mu’asyarah. Sesungguhnya, isteri itu adalah amanah Allah yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kaum lelaki untuk dijaga dengan baik.

Gesaan berlaku baik terhadap isteri turut dinyatakan dalam sebuah hadis lain yang bermaksud;‘‘Yang paling baik di antara kamu ialah yang bersikap baik terhadap isterinya. Dan aku lebih bersikap baik daripada kamu semua terhadap isteri. ”(Hadith Riwayat at-Tarmizi)

Oleh itu, tidak wajar bagi seseorang suami melakukan kekasaran seperti menyakiti tubuh badan, perasan dan emosi isteri sedangkan pada ketika yang lain si suami memerlukan isterinya untuk tidur bersama. Jadi, di manakah maruah suami yang bersifat kasar dan kejam tetapi dalam masa yang sama mengharapkan kasih sayang isteri untuk melayan kehendaknya?

Isteri adalah pengurus kepada rumah tangga. Oleh itu, isteri bertanggungjawab menjaga kedudukan rumah tangga dan harta benda suami serta anak-anaknya. Wanita sebagai ibu kepada anak-anak mempunyai kedudukan yang mulia. Ini kerana ibulah yang mengandungkan anak-anak tersebut. Ini terbukti dalam ayat 15, surah al-Ahqaaf(46) yang bermaksud;‘‘Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah…”

Anak-anak pula wajib menghormati dan mematuhi arahan ibu bapa dalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan Islam. Hal ini penting walaupun mereka berlainan kefahaman dan kepercayaan. Sebuah hadis menyatakan yang bermaksud‘‘Seseorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, ‘Siapakah orang yang paling berhak bersamaku? ’Jawab Rasulullah SAW. ‘Ibumu’. Tanya lelaki itu lagi, ‘Kemudian siapa?’Jawab Baginda, ‘Ibumu. ’Tanya lelaki itu lagi, Kemudian siapa?’Jawab Rasulullah SAW. ‘Ibumu. ’Lelaki itu bertanya lagi, ‘kemudian siapa?’Jawab Rasulullah SAW. ‘Bapamu. ’”(Hadith Riwayat Bukhari)

::Nilai-nilai Kekeluargaan::

Institusi keluarga adalah sebuah institusi yang terulung dalam sejarah kehidupan manusia. Dalam al-Quran diceritakan kisah pasangan Adam dan Hawa. Pada peringkat permulaan, pembentukan sebuah keluarga terbatas kepada kumpulan dan kelompok tertentu bergantung kepada cara hudup bangsa dan nilai dalam masyarakat berkenaan.

Dalam Islam, keluarga dibentuk berdasarkan kepada perkahwinan. Asas-asas ini dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah. Beberapa ayat berikut menjelaskan hal ini. Surah an-Nissa’(4), ayat 1 yang bermaksud, ‘‘Wahai sekalian manusia!Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu(bermula) dari diri yang satu(Adam) itu pasangannya(isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya-zuriat keturunan-lelaki dan perempuan yang ramai…”

Manakala Surah an-Nahl(16), ayat 72 yang bermaksud;‘‘Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasang-pasangan(isteri), dan jadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit…”

Manakala, terdapat beberapa hadis yang menjelaskan tentang pembentukan keluarga. Diantaranya, hadis yang bermaksud;‘Perkahwinan itu adalah sunnahku. Maka sesiapa yang tidak suka menerima sunnahkundia bukanlah dari golonganku”. (Hadith Riwayat Baukhari)

Agama Islam sendiri menggalakkan golongan belia supaya berkahwin seperti hadis yang bermaksud;‘Wahai pemuda-pemuda sekalian, sesiapa dari kalangan kamu yang berkemampuan menanggung beban perkahwinan hendaklah dia berkahwin”(Hadith Riwayat Bukhari). Hadis ini secara tidak langsung menjelaskan sifat‘berkemampuan’ sebagai satu ukuran dalam membuat pertimbanagn untuk memilih jodoh.

Beberapa hadis lain pula ada menyatakan dengan maksudnya;‘‘Sesungguhnya dunia ini pada keseluruhannya adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan adalah perempuan yang solehah”(Hadith Riwayat Muslim). Manakala dalam hadis lain yang bermaksud, ‘‘Jangan kamu kahwini perempuan kerana kecantikan, kerana mungkin kecantikan itu boleh menjerumuskan mereka sendiri. Jangan kamu kahwini perempuan kerana harta mereka, mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Kahwinilah mrereka kerana agama”(Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Dalam Islam juga terdapat beberapa larangan dalam perkahwinan, di antaranya adalah:
i. Keturunan-seseorang yang mempunyai keturunan yang sama misalnya adik-beradik tidak dibenarkan berkahwin. Begitu juga ibu bapa dan nenek.
ii. Perbezaan agama-dalam surah al-Baqarah(2), ayat 221 yang bermaksud;‘‘…dan sesungguhnya seorang hamba perempuan beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu…”. Bagaimanapun, seorang lelaki Islam dibenarkan berkahwin dengan perempuan Kitabiyah tetapi tidak sebaliknya.

Salah satu tujuan perkahwinan adalah melahirkan keturunan. Oleh itu kesuburan pasangan dan kemampuan isteri untuk melahirkan anak adalah penting. Sebuah hadis menjelaskan dengan maksudnya;Telah datang seorang lelaki kepada Rasullullah SAW. dan bertanya, ”Saya mengenali seorang perempuan berketurunan baik dan berkedudukan tetapi tidak mampu melahirkan anak, patutkah saya mengahwininya?” Rasulullah SAW. melarang lelaki itu dari mengahwininya. Lelaki itu datang kali kedua dan Rasulullah SAW. terus melarangnya. Lelaki itu datang buat kali ketiga dan Rasulullah tetap melarangnya dan bersabda, ‘‘Kahwinilah perempuan yang penyayang dan berkemampuan melahirkan ramai anak”(Hadis Riwayat Abu Daud).

Dalam memilih pasangan hidup, bukan faktor kesuburan sahaja yang penting dan perlu diberi pertimbangan. Akhlak juga menjadi nilai utama. Akhlak ini bukan sahaja pada diri seseorang tetapi termasuk juga keluarga. Ini dapat diperhatikan menerusi sebuah hadis yang bermaksud;‘‘Jauhilah rumput hijau di tengah lumpur. Baginda ditanya apa itu rumput hijau di tengah lumpur?Baginga menjawab perempuan cantik dan keluarga jahat”(Hadith Riwayat Darul Qutni).

Justeru itu, akhlak seseorang menjadi panduan penting dalam membuat pemilihan pasangan. Dalam sebuah hadis dinyatakan maksudnya;‘Apabila datang kepada kamu (untuk melamar)seseorang yang kamu suka akan agama dan akhlaknya maka kahwinilah dia”(Hadis Riwayat Abu Hurairah). Selain daripada asas-asas diatas terdapat perkara-perkara lain yang juga perlu diambil perhatian dalam mendirikan rumah tangga misalnya pemilihan pasangan berdasarkan aspek ‘‘kufu”.

Terdapat tiga nilai terus dalam kehidupan kekeluargaan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT. dalam surah ar-Rum(30), ayat 21 yang bermaksud, ‘‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu(suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…”

Perasaan kasih sayang dan belas kasihan adalah perasaan yang bersifat timbal balas. Ini bermakna perasaan ini perlu ditunjukkan oleh kedua belah pihak. Jika hanya satu pihak sahaja yang menunjukkan perasaan sedemikian sedangkan pihak yang lain tidak, maka perkara ini tidak boleh mengakibatkan eksploitasi. Bukan sahaja eksploitasi malahan boleh memudaratkan pihak yang benar-benar menghayati nilai kasih sayang ini. Perasaan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak tidak terbatas di dalam bilik atau di rumah tetapi perlu ditunjukkan pada setiap waktu dan d imana-mana sahaja.

Pasangan dalam rumah tangga dipanggil suami isteri. Di dalam al-Quran, perkataan isteri atau zauj kerapkali disebut misalnya dalam surah al-Baqarah(2), ayat 35 yang bermaksud; ‘‘Wahai Adam!Tinggallah engkau dan isterimu(zaujuka) dalam syurga…’. Bukan itu sahaja, suami digalakkan berdoa untuk isterinya seperti dalam surah an-Nissa’(4), ayat 57 yang bermaksud;‘‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang(mahu) bertakwa. ”

Dalam pada itu, apabila isteri melakukan kekufuran dan tidak mengikut perintah Allah SWT mereka dipanggil perempuan atau Imra’ah. Ini dapat diperhatikan sebutannya di dalam beberapa ayat seperti dalam surah Yusuf(12), ayat 30 yang bermaksud:‘‘Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di Bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata:‘Isteri Al- ‘Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya;sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.

::Kasih kepada Anak dan Tanggungjawab::

Fitrah semula jadi manusia mengasihi anak dan mempunyai kecenderungan berpihak kepada mereka. Oleh itu, lahirlah kudrat untuk memberi pendidikan, menyediakan keperluan harian serta mamberi perhatian terhadap masa depan mereka. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW. bersabda kepada Umar bin al-As dengan berpesan yang bermaksud;Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak”(Hadis Riwayat Muslim).

Anak-anak dilahirkan dengan fitrah iaitu mempunyai kesediaan dalam diri untuk menerima kebenaran. Kebenaran itu adalah agama Islam. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan fitrah sempurna, mudah menerima ajaran-ajaran ke arah kebaikan. Malahan, kanak-kanak sangat mudah mendekati ajaran-ajaran kebaikan tersebut. Ini kerana Allah SWT. telah menjadikan kanak-kanak dengan sifat mudah menerima dan hal ini juga bersesuaian dengan kejadian yang difitrahkan ke atasnya.

Pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa pula boleh mengubah fitrah anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka dari segi perkembangan jasmani, kerohanian minda dan daripada ditimpa kesusahan atau kemudaratan. Kanak-kanak tidak mempunyai kemampuan untuk menjangka akibat sesuatu perkara ke atas diri mereka dan mereka juga tidak tahu membezakan perkara yang membawa manfaat atau sebaliknya. Selain itu, mereka juga tidak mampu menyara diri sendiri sama ada dari segi makanan, pakaian atau tempat tinggal. Oleh itu, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan asas tersebut dan anak-anak pula hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa mereka.

Tanggungjawab ibu bapa dalam memelihara dan mendidik anak-anak disebutkan di dalam hadis berikut yang bermaksud;‘‘Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggunjawab terhadap mereka, dan perempuan/isteri penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka”(Hadis Riwayat Bukhari).

Menurut Imam Nawawi, Ra’y adalah penjaga yang beramanah dan beriltizam terhadap kebajikan. Penjaga dikehendaki berlaku adil kepada setiap orang yang berada di bawah jagaannya. Panjaga juga perlu melaksanakan keadilan itu dengan tujuan maslahahnya dalam hal-hal agama, keduniaan dan sebagainya.

Lelaki adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab ke atas isteri dan anak-anak. Tanggungjawab ini merangkumi pemberian hak-hak mereka seperti nafkah serta pergaulan yang baik dan mesra. Tanggungjawab isteri adalah mengurus rumah tangga dengan baik, amanah dalam menjaga harta suami dan anak-anak. Perkara utama dalam mengurus anak-anak adalah memelihara akidah mereka, beriltizam dengan hukum agama, berakhak mulia dan memastikan mereka melaksanakan ibadat. Selepas itu, ibu bapa bertanggungjawab menyediakan anak-anak dengan pelbagai ilmu pengetahuan keagamaan dan keduniaan.

Antara kerosakan akhlak anak-anak berpunca daripada kecuaian memberi pendidikan dan menyerahkan kepada unsur-unsur luaran serta merosakkan anak-anak dengan mendedahkan kepada mereka gejala-gejala kehancuran. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang halal-haram serta menjaukan diri dari segala maksiat dan dosa. Ini dijelaskan dalam surah al-Tahrim(66), ayat 6 yang bermaksud; ‘‘Wahai orang-orang yang beriman!Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakar-bakarannya:manusia dan batu (berhala).

Di dalam sebuah hadis pula dijelaskan agar ibu bapa menyurh anak-anak mendirikan sembahyang ketika berumur tujuh tahun dan mereka boleh dipukul jika tidak melaksanakannya pada usia sepuluh tahun. Oleh itu, hadis ini telah meletakkan permulaan tanggungjawab mendirikan sembahyang bermula ketika anak-anak mencapai umur sepuluh tahun. Jika tidak, mereka boleh dihukum atau dipukul sebagai satu pengajaran dan pendidikan kepada anak-anak.

Di dalam al-Quran juga diberikan beberapa peringatan mengenai anak-anak. Misalnya dalam firman Allah SWT. yang bermaksud;‘‘Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu dilalaikan oleh(urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu dari mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”(Surah al-Munaafiquun, 63:9)

Selain itu, di dalam sebuah hadis diceritakan bahawa anak-anak boleh menyebabkan bapanya menjadi takut, iaitu takut kepada mati, kerana anak-anak akan menjadi anak yatim dan hal ini akan membawa kesusahan dan kepedihan hidup anak-anak itu. Kadang kala, perbuatan khianat dan rasuah serta memakan harta haram boleh berlaku demi kepentingan anak-anak itu. Akibatnya bapa dihukum kerana kesalahan itu lalu mendapat kehinaan di dunia dan akhirat. Anak-anak juga boleh menjadi punca seorang bapa menjadi bakhil dan tidak mahu membelanjakan hartanya ke atas pihak lain.

::Anak-anak Perhiasan Hidup::

Menjadi lumrah hidup manusia mencari kekayaan hidup di dunia ini. Malahan, hidup manusia juga sering diukur dengan kekayaan, darjat dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Kadangkala kekayaan ini disamakan pula dengan anak-anak.

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengharapkan zuriat keturunan iaitu anak-anak. Sebagaimana kekayaan, anak-anak juga sebenarnya adalah perhiasan dunia. Ini dinyatakan di dalam surah al-Khafi(18), ayat 46 yang bermaksud;‘‘Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia…”

Manusia suka kepada kekayaan kerana mendapat manfaat darinya. Namun, hakikatnya anak-anaklah yang mendorong hidup dan memberi kekuatan kepada mereka. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tidak kekal. Jika mereka tidak meninggalkan kita, kita pula akan meninggalkan mereka.

Di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat(misalnya dalam surah Luqman dan Hud) yang merupakan nasihat-nasihat berguna seorang bapa kepada anaknya. Oleh itu, dalam ayat-ayat Luqman(31)yang diturunkan di bawah ini terdapat beberapa panduan nasihat yang boleh diturunkan kepada anak-anak:
i. Ayat 13 yang bermaksud;‘‘Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:‘‘Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
ii. Ayat 14 yang bermaksud;‘‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal megandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibi bapamu…”
iii. Ayat 15 pula membawa maksud;‘‘Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau-dengan fikiran sihatmu-tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka;dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang ruju’ kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang Salih)…”
iv. Ayat 17 yang bermaksud;‘‘Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.
v. Ayat 18 membawa maksud;‘‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. ”
vi. Ayat 19 dengan maksudnya;‘‘Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
Manakala, dalam surah Hud(11), diceritakan pula tentang hubungan ayah dengan anak yang tidak mendengar nasihat bapanya. Ayat-ayat itu adalah:
i. Ayat 45 yang bermaksud:‘‘Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku!Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.
ii. Ayat 46 dengan maksudnya:‘‘Allah berfirman:Wahai Nuh!Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu(kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya);sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang salih, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya…

Dalam kehidupan ini, ibu bapa mesti sentiasa berdoakan atau meminta perkara-perkara baik demi masa hadapan anak-anak. Contoh terbaik adalah seperti doa Nabi Zakaria yang ditunjukkan dalam ayat 38, surah Ali-Imran(3) dengan maksudnya;‘‘Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya:Wahai Tuhan ku!Kurniakanlah kepada ku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik;sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

Selain itu, ayat 74, surah al-Furqan(25) juga merupakan satu doa yang baik dibaca terutamanya selepas sembahyang. Ayat ini bermaksud;‘‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami:perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang(mahu) bertakwa”.

::Penutup::

Rumah tangga adalah tempat terbentuknya keluarga. Oleh itu, rumah tangga itu perlu dipupuk dengan nilai-nilai yang digariskan dalam Islam iaitu Sakinah, Mawaddah dan Rahmat. Dalam hubungan kekeluargaan juga, sifat Ulfah dan memelihara keluarga dengan cara makruf adalah penting dan jika sesuatu yang mengeruhkan hubungan berlaku maka hendakalah ditangani dengan cara yang ihsan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment