Friday, September 17, 2010

Erti Sebuah Perkahwinan. -

“ Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai…. “

Buku ini menceritakan mengenai penulis berkongsi pengalaman hidupnya yang menemui jodoh melalui “ orang tengah “. Kali pertama penulis bersua muka dengan bakal isteri saya ialah di hadapan ibu serta bapanya. Di bawah adalah contoh dialog yang di alami diri penulis sendiri.

“ Saya dapat melihat wajah abang saya yang begitu terkejut. Macam mana adiknya boleh bersetuju untuk berkahwin dengan seorang yang belum pernah di temui? Ia terlalu ganjil untuk zaman ini. Di hadapan kedua ibu bapa, kami bertemu buat pertama kali.

Rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertunangan saya dengan seorang “ bakal doktor ” amat terkejut.

“ Anta gilakah, Hasrizal? Kahwin dengan doktor! Anta tak takut kena tinggal?” tanya seorang rakan saya.

“ Nabi sallallahu 'alaihi wassalam lagi sibuk dari saya. Isteri baginda lebih sibuk dari seorang doktor. Tapi rumah tangga mereka adalah yang paling bahagia. Tentu ada formulanya!” saya menjawab dengan selamba. Mudah sahaja jawapan saya itu. Namun saya memang sentiasa memikirkan tentangnya.

Cabaran yang terpaksa ditempuhi penulis amat besar. Perkara ini turut di kongsi penulis yang mengatakan seperti berikut.

“Cabaran pertama ialah soal harga diri. Melalui didikan Islam yang kami terima dalam kuliah, tamrin, usrah dan bacaan buku, perkahwinan antara seorang ustaz dengan seorang doktor tidak pernah dianggap tidak sekufu. Apa yang penting, kedua-duanya saling berpegang kepada nilai-nilai Islam. ”

“Cabaran kedua ialah soal komitmen kerja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang yang amat mencabar bagi seorang doktor. Khususnya di peringkat housemanship. Seorang suami kepada seorang doktor akan lebih banyak ditinggalkan kerana jadual on call yang tidak berperikemanusiaan. Bayangkan seorang doktor yang baru memulakan kerjayanya di sebuah hospital, masuk kerja pada jam 8 pagi pada hari Isnin dan pulang jam 5 petang, malah kadang-kadang terlajak hingga ke jam 8 malam. ”

Bagaimanapun, penulis tetap bersyukur di atas ketentuan ilahi. Ini diluahkan oleh penulis di dalam ayatnya yang berikut.

“ Saya bersyukur. Ketika saya membuat keputusan untuk berumah tangga dengan seorang doktor, apa yang saya fikirkan ialah peluang saya untuk berbuat kebajikan. Saya gembira membayangkan betapa saya dapat mendidik isteri dengan pengetahuan agama Islam.


TUJUAN BERUMAH TANGGA

Selain itu, buku ini juga menceritakan secara ringkas dan padat namun mencakupi keseluruhan aspek tujuan kita mendirikan rumah tangga. Penulis memulakan penceritaan tentang prinsip hidupnya yang amat penting iaitu, “ ERTI HIDUP PADA MEMBERI”. Penulis menekankan beliau mahu berumah tangga bukan untuk menerima, sebaliknya mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu ialah peranan suami di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya si suami menerima apa-apa kebaikan daripada isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekalipun kebaikan itu. Penulis sempat berkongsi pesanan yang beliau terima daripada seorang rakannya.

“ Dalam berumah tangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumah tangga dibina atas fikiran seperti itu, kita tidak expect sebarang kekurangan. Maka, selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri sahajalah yang sering terlihat di mata, kerana kita menjangkakan kesempurnaan. Terimalah seseorang , seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai, ” kata Kak Naz dan Abang Rosli semasa menyuarakan rancangan saya untuk berumah tangga. Nasihat itu saya pegang hingga hari ini. ”

ERTI KEBAHAGIAAN

Seterusnya, penulis turut berkongsi pula pengalamannya menerima SMS daripada seorang pelajar yang pernah mengikuti kursus yang beliau kendalikan.

Katanya, ” Ustaz mempunyai masa yang amat terhad bersama keluarga. Jadi, apa erti kebahagian dalam hidup Ustaz?

Saya termenung. Kebetulan semasa itu saya sedang out station di Labuan. Berikut ialah jawapan saya kepadanya:

“ Kebahagian rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak. Penentunya ialah kualiti. Berapa ramai yang meluangkan banyak masa bersama keluarga, tetapi hakikatnya mereka tidak bersama. Mereka sebumbung, tetapi masing-masing menghadap TV, tidak berkomunikasi. Ustaz sentiasa cuba pastikan setiap masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak, digunakan sebaik mungkin untuk benar-benar bersama. Lihatlah Ismail ' alaihissalam. Sering ditinggalkan bapanya. Tetapi Ismail tidak pernah memusuhi bapanya, Ibrahim. Mereka bertemu kerana Allah, mereka berpisah kerana Allah. ”

NASIHAT UNTUK REMAJA

Penulis kemudiannya sempat menasihati para remaja zaman ini yang semakin parah dengan maksiat dan sosial. Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani menderhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan ? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya….

Penulis menyatakan kepada adik-adik bahawa jika mereka yang bercouple dan buat “ ringan-ringan ” sebelum berumah tangga akan menghadapi kesannya pada masa hadapan. Apatah lagi jika terjebak ke kancah zina. Selepas berumah tangga, si suami akan terfikir, “ Jika dengan aku dia berani berzina, apa yang boleh menghalangnya dari berzina dengan orang lain?” Kecurigaan ini menyebabkan jiwanya gelisah setiap kali meninggalkan isteri di rumah. Manakala si isteri berfikir dengan kecurigaaan yang sama. Akhirnya rumah tangga itu penuh dengan syak wasangka dan pantang ada yang, pasti berbalas tuduh-menuduh.

Pasangan yang pernah berzina sebelum bernikah, akan dihukum oleh Allah di dunia, sebelum hukuman akhirat. Apakah ada ketenangan hidup, jika rumah tangga diselubungi prasangka? Itulah neraka dunia balasan zina, sebelum neraka akhirat yang maha seksa lagi duka.

Namun bagi adik- adik yang mempunyai kesedaran Islam, cara mareka 'menjaga hukum Allah', penting untuk dipandu. Bukan apa, 'cara mereka' kadang- kadang menimbulkan kehairanan kepada saya. Syariat manakah yang mengajar muslimat supaya menundukkan pandangan hingga terlanggar tong pemadam api yang tergantung di koridor? Islam manakah yang mengajar muslimat supaya bercakap seperti ' warden penjara ' ketika berurusan dengan muslimin, semata- mata kerana mahu menghayati kehendak syarak agar mereka tidak melunakkan suara yang boleh menimbulkan fitnah.

BATAS HUBUNGAN SEMASA BERTUNANG

Biarpun seorang lelaki dan seorang perempuan itu telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau apa-apa hak yang diberikan hanya kepada pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin secara sah. Penting bagi pasangan yang bertunang untuk saling menjaga perhubungan. Sesekali menelefon untuk bertanya tentang perancangan- perancangan… Ada panggilan telefon mungkin sekadar beberapa minit. Ada panggilan telefon mungkin perlu hingga satu jam.

Tetapi bertanyalah kepada hati, jika perasaan memberitahu bahawa perbualan itu mendatangkan rasa resah dan bersalah, maka selesaikan perbincangan dengan cara baik agar tidak berlebih-lebihan dan mencetus dosa.


Pertunangan juga tidaklah perlu dihebahkan. Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan ) tentang perkahwinan. ” (Riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Zubair )

Pertunangan ialah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun, ulama menjelaskan bahawa antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik.

Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal daripada berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup…. Selama-lamanya sampai mati.

Penulis kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada bekas tunangnya yang bersama- sama saling berusaha menjaga diri selama tempoh mereka diikat dengan janji. Kepada bekas tunangnya yang kini telahpun menjadi isteri… dan dengan tiga cahaya mata kurniaan Allah, semoga Allah mengekalkan rumah tangga kita dalam redha dan bahagia, hingga ke akhir usia. Amin…

JANGAN BERKAHWIN SEKADAR UNTUK MENDAPATKAN SIJIL HALAL.

Penulis mengingatkan para remaja agar tidak memberikan alasan, ” Saya kena kahwin segera Ustaz, takut terjebak ke benda- benda yang haram ”. Seorang di Southamptan, seorang lagi di Dublin…. tiba-tiba memberi alasan takut 'terzina'???

Itu pun, penulis masih berasa tidak wajar untuk seseorang itu membuat keputusan berkahwin hanya sekadar untuk mendapatkan Sijil Halal! Kahwin kerana takut zina, seolah-olah itu sahaja yang yang ada di mindanya tentang makna perkahwinan. Jangan buktikan yang jati dirimu selemah itu. Jika menolak zina sudah sampai mencetuskan porak- peranda hidupmu, di manakah kejantananmu untuk memimpin isteri dan anak-anak???

JANGAN BERKAHWIN TANPA PERSETUJUAN DAN PENGETAHUAN IBU BAPA.

Ruang untuk membelakangkan ibu bapa itu memang ada. Baik lelaki mahupun yang perempuan. Malah bagi si lelaki, hukum fiqh tidak pun meminta dirinya mendapatkan persetujuan ibu bapa. Tetapi perkahwinan bukan sekadar soal hukum fiqh, bukan sekadar sah tidak sah akad yang dihenjut.

Restu ibu bapa…. Lebih besar dan agung dari segala motivasi dan rawatan kaunseling yang ada di alam maya ini. Maka janganlah sekali-kali disingkirkan restu ibu bapa daripada sebuah perkahwinan yang dibina. Itu soal restu.

Pasangan yang berkahwin tanpa pengetahuan ibu bapa juga harus beringat, bahawa kalian adalah darah daging mereka. Tanpa diberitahu, seorang bapa apatah lagi seorang ibu, begitu mudah untuk merasakan sesuatu tentang anak mereka. Alangkan sakit selsema pun boleh meresahkan mereka di hujung benua, apatah lagi jika si anak yang begitu tergamak berkahwin dengan membelakangkan kedua ibu bapa.


Jika anda tetap berada dalam suatu keadaan yang hanya perkahwinan jalan penyelesaiannya , maka bawalah berbincang dengan baik. Buktikan yang anda sudah cukup dewasa untuk berumah tangga dengan mengambil langkah berdiskusi dengan ibu bapa secara dewasa, atau mungkin juga dengan meminta bantuan orang tengah yang boleh membantu kepada rundingan.

Dan sudah tentu di satu sudut yang lain, ibu bapa juga haruslah tidak terlalu mengikat perasaan hingga tidak rasional. Berusahalah mempertimbangkan dengan baik keadaan anak-anak dan membuat keputusan untuk kebaikan anak-anak itu yang hidup mereka penuh cabaran itu.

Jujurnya, penulis melihat kebanyakan mereka yang berkahwin semasa belajar dapat mengekalkan prestasi pengajian, malah ada yang bertambah cemerlang. Hanya segelintir yang kecundang.

SYARIATULLAH

Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, mesti berusaha melengkapkan dirinya tentang pengetahuan berkaitan hukum-hakam yang sebelum ini mungkin kurang diberi perhatian. Khususnya bagi calon suami, anda bakal menjadi pengemudi rumah tangga.

Hukum-hakam tentang munakahat, jangan diabaikan. Bermula dari hal-hal yang berkaitan dengan akad nikah dan cerai fasakh serta lafaz takliq yang wujud dalam sistem nikah Malaysia. Selain itu, hukum-hakam berkaitan orang perempuan juga perlu ditambah.

Malah baik juga ditambah pengetahuan tentang perkara yang sedikit advance seperti hukum-hakam tentang kehamilan. Hukum ke atas seorang perempuan andai berlaku keguguran pada awal tempoh mengandung dan selepas tempoh mengandung, beza antara nifas dan istihadah dalam soal ini, adalah antara isu yang perlu diambil perhatian.

SUNNATULLAH

Terutamanya bagi pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga ketika masih belajar, keperluan untuk berbincang secara jelas tentang perancangan berkeluarga mesti dilakukan. Tanggungjawab utamanya ialah pada si lelaki.

“ Mungkin bakal isteri tidak berani menimbulkan hal ini. Takut nanti ditempelak suami bahawa si isteri mahu menolak rezeki dan sebagainya. Maka suamilah yang sebaiknya mengusahakan perbincangan. ”

Penulis sempat menyatakan rasa kesal dan sedih melihat pelajar yang berkahwin, terutamanya semasa belajar, apabila mereka dikejutkan dengan berita kehamilan isteri dalam keadaan tidak mempunyai kesediaan mental, lantas mencetus pelbagai masalah seperti stress dan kemurungan.

HUBUNGAN SUAMI – ISTERI

Suami dan isteri adalah dua insan yang sangat perlu untuk saling memahami. Faham secara empathy dan cuba meletakkan diri di pihak pasangan. Apabila isteri meluahkan pandangan, mengadu serta berleter tentang sesuatu perkara, amat perlu untuk seorang suami faham, bahawa tindakan itu selalunya bukanlah bertujuan untuk meminta pandangan dan idea kita ke arah penyelesaian. Sesekali ya, tetapi lazimnya tidak.

Maka, janganlah pula suami terlalu cepat atau asyik mencadangkan penyelesaian. Masalah-masalah itu sering boleh selesai hanya dengan kesediaan suami untuk menyayangi, atau dalam bahasa mudah…memujuk.

Namun ketahuilah wahai sang isteri, bahawa ia bukanlah suatu yang mudah bagi seorang lelaki. Makhluk yang gersang emosi dan kaya logik itu.

Manakala bagi sang isteri, fahamilah jua bahawa suami berfikir dengan cara yang berbeza. Keputusannya banyak oleh pertimbangan akal, sesuai dengan bahu dan tangannya yang berat memikul tanggungjawab. Apabila suami bertanya, dia mahukan pandangan. Dia mudah rimas jika ruang berbincang diisi dengan esakan, tangisan dan bukannya buah fikiran.


BELAJARLAH UNTUK SALING MEMAHAMI

Penulis menyatakan penghargaan kepada buku Men Are From Mars, Women Are From Venus oleh John Gray kerana ia mengajar beliau dan isteri untuk saling faham-memahami. Pelajaran dari 2 planet ini juga mendidik penulis untuk memberi ruang kepada rasional dan emosi masing-masing berfungsi dengan baik, sesuai dengan peranan dan tangungjawab yang diberi ilahi.

MERAIKAN PERBEZAAN
Akhir sekali, penulis menyatakan keyakinannya jika setiap insan menghargai keunikan biri masing- masing, mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, hidup kita akan seimbang. Penulis juga menyuruh pembaca membaca buku Men Are From Mars, Women Are From Venus agar kita dapat belajar untuk saling memahami.

“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki. ” (Al-Hadith)

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

1 comment:

  1. terima kasih kepada penulis..ilmu yg sy baca ini sangat2 lah berguna d dlm khidupan seharian sy..

    ReplyDelete