//Pendahuluan//
Wanita merupakan salah satu di antara sekian banyak bentuk perhiasan hidup yang diciptakan Allah SWT untuk manusia. Dalam surah Al-Imran, telah diterangkan secara terperinci tentang perhiasan hidup dunia iaitu wanita menduduki rangking teratas dalam posisinya sebagai hiasan dunia. Dan seindah hiasan di muka bumi ini adalah wanita solehah.
Siapakah wanita solehah itu?
Wanita solehah adalah wanita yang cantik zahir dan batin yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya serta mencintai pencinta-pencinta Allah. Wanita solehah memiliki kecantikan asli atau ideal. Secara fizikal, darah daging dan tulang belulangnya bersih dari benda-benda haram manakala batinnya bersih dari kotoran kejiwaan. Dalam kitab suci Al-Quran, perkataan solehah itu selalu dirangkaikan dengan kata amal, dan amal itu sendiri pasti disebut selepas kata iman. Maka, wanita solehah adalah wanita yang beriman.
//Ciri-ciri wanita solehah//
A)Taat kepada Allah.
Taat kepada Allah dan taat kepada rasulnya secara automatic membawa seorang wanita mentaati suaminya, juga kepada perintah-perintah yang lain dari Allah dan Rasul-Nya. Ciri-cirinya adalah seperti berikut :
1)Melebihkan kecintaan terhadap Allah, Rasul dan berjihad melebihi dari keduniaan.
2)Menutup aurat dan tidak berhias untuk mempamerkan kecantikan, melainkan dalam rangka ketaatan. Cirri-ciri wanita solehah adalah menutup aurat, berpenampilan sederhana, sopan, jauh dari sifat menunjuk-nunjuk. Menutup aurat bagi wanita Islam adalah wajib berdasarkan perintah Allah dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Azhab ayat 59:
Katakanlah kepada wanita yang beriman :”hendaklah mereka menahan pandangan, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ”(Surah An-Nur)
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dari isteri-isteri orang mu’min :”hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. ”Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Ahzab)
3)Tidak berhias dan bertingkah laku seperti wanita jahiliyah.
Pada zaman Jahiliyah di Arab dahulu kala, perempuan-perempuan Arab keluar rumah dengan berhias-hias menunjukkan kecantikan dan gaya seperti perempuan-perempuan jahiliyah moden. Menampakkan perhiasan dan keindahan tubuh. Berjalan berlenggang-lenggok, bermegah-megahan, membongkok dan condong menunjukkan kegenitan. Ini diharamkan olaeh Islam. Islam mengajar bahawa tempat kegiatan perempuan adalah dalam lingkungan rumahtangga. Ia dikecualikan dari kegiatan-kegiatan luar rumah, melainkan dalam keadaan darurat.
4)Tidak berpergian sendirian, dan tidak pula bersama lelaki manapun, kecuali ditemani oleh muhrimnya.
Rasululah SAW bersabda yang bermaksud :
Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bahawa dia berjalan sejarak satu hari satu malam melainkan harus ada muhrim yang menyertainya. Dan dalam satu riwayat lain : perjalanan satu malam kecuali harus disertai oleh lelaki muhrim(yang haram dinikahi) (HR Bukhari, Muslim)
5)Selalu membantu lelaki dalam rangka kebenaran, kebajikan dan taqwa. Contohnya melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Wanita solehah adalah wanita yang bersikap tegas terhadap prinsip dan berani menyuarakan hak.
6)Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Berbuat baik kepada ibu bapa dalam hal ini bererti : menunjukkan sikap sopan santun dan akhlak yang mulia kepada keduanya, tidak mennyinggung perasaannya, tidak menentang sekalipun mungkin terdapat perbezaan fahaman. Sedangkan taat bererti tunduk dan patuh disertai rasa cinta kepada keduanya selama kedua ibu bapa mengikut perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika keduanya memerintah di luar jalan Allah dan Rasul-Nya, tidak ada kewajipan untuk mentaatinya.
7)Tidak berdua-duaan dengan lelaki asing (bukan muhrim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”janganlah sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita(di suatu tempat) melainkan wanita itu harus ditemani oleh muhrimnya”(HR Bukhari Muslim)
8)Bersikap dan berbuat baik dengan jiran tetangga.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : tidak seseorang yang dinamakan mukmin yang perutnya kenyang, sedang tetangganya kelaparan tampak tulang-tulang iganya. (HR Bukhari)
Apabila engkau memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada tetangga-tetanggamu. (HR Muslim)
B)Taat kepada suami
1)Kewajipan terhadap suami.
Kewajipan utama seorang wanita (yang sudah bersuami) setelah ketaatan kepada Allah ialah taat kepada suaminya. Bahkan nilai ketaatan kepada Allah diukur seberapa jauh dia dapat menyelesaikan kewajipan terhadap suaminya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Sesungguhnya seorang isteri belum (dikatakan) menunaikan kewajipannya terhadap Allah sehingga menunaikan kewajipannya terhadap suami seluruhnya. Dan andaikan (suaminya) memerlukan di atas kenderaan tidak boleh menolaknya (HR At-Thabrani)
Sesiapa saja di antara isteri-isteri dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan penuh keikhlasan serta penuh keimanan, maka mereka itulah yang mendapat balasan sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya dari yang haram serta taat kepada suaminya, maka akan dipersilakan : masuk ke syurga dari pintu mana saja yang kamu suka. (HR Ahmad dan Thabrani)
Tiap-tiap isteri yang mati diredhai oleh suaminya, maka ia akan masuk syurga. (HR At-Tarmizi dan Ibn. Majjah)
2)Sentiasa menyenangkan suami dan berkasih sayang terhadap anak.
Isteri yang solehah tidak akan mengganggu suaminya yang mengakibatkan kesusahan, tetapi dia berusaha menghilangkan kesusahan suami dan berusaha membantu menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapi.
3)Menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya apabila suami tiada di rumah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Sebaik-baik wanita adalah jika kau pandang ia menyenangkanmu, jika kau perintah ia mentaatimu, jika kau tinggalkan ia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya. (HR Nasa’i dll)
4)Tidak menolak bila suami ajak tidur.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Jika suami menghendaki isterinya tidur di ranjang, mendadak ditolak oleh isterinya sehingga mengakibatkan suaminya marah padanya semalam suntuk, maka isterinya dikutuk para malaikat hingga subuh. (HR Bukhari, Muslim)
5)Tidak keluar tanpa izin suami.
Sabda Rasulullah SAW :
Tiap isteri yang keluar rumah tanpa izin suaminya, tetap berada dalam murka Allah, sehingga kembali ke rumahnya atau dimaafkan oleh suaminya (di lain riwayat) : dikutuk oleh malaikat di langit dan apa saja yang dilaluinya selain manusia dan jin sehingga kembali. (HR Khatib)
6)Tidak meremehkan pemberian suami dan menutup rapat rahsia keluarga serta tidak mencari-cari alasan untuk bercerai.
Jika isteri berkata kepada suaminya, belum pernah aku mendapat/merasakan kebaikan darimu, maka bererti telah gugur amalnya. (HR Ibn Ady dan As-Syakir)
Tiap isteri yang minta cerai dengan suaminya (tanpa alasan yang dibenarkan) maka haram atasnya bau syurga. (HR Abu Daud dan Tarmizi)
7)Tidak mengeraskan suara melebihi suara suaminya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Dari Umar bin Khattab berkata : Rasulullah SAW bersabda : isteri manapun yang mengeraskan suaranya melebihi suaminya, maka dia akan mendapat laknat dari segala sesuatu yang disinari matahari.
8)Tidak menerima tetamu yang dibenci suaminya ke dalam rumah apatah lagi bermesraan dengan lelaki lain.
Rasulullah SAW bersabda :
Tidak dihalalkan bagi seseorang isteri yang beriman kepada Allah, untuk mengizinkan seseorang masuk ke rumah suaminya, padahal suaminya benci dan tidak halalkan dia keluar padahal suaminya tidak senang.
9)Tidak membantah suami dalam kebenaran.
10) Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikan serta kebersihan rumahtangga.
Semua suami pada hakikatnya senang dengan kecantikan, kebersihan, kelembutan dan kesetiaan. Seorang isteri solehah, jika dapat mempersembahkan semua ini kepada suaminya, maka dapat dipastikan, isteri jenis ini yang diibaratkan oleh Rasulullah sebagai hiasan hidup yang paling indah. Tidak syak lagi, dari mulut suami akan keluar kalimat indah penuh erti.
Fungsi wanita solehah :
1)Sebagai hamba Allah.
Kewajipan mutlak bagi setiap hamba adalah beribadah kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
2)Sebagai ibu rumahtangga.
Unsur paling kecil, namun paling penting dalam masyarakat adalah”lembaga kekeluargaan”atau rumahtangga. Wanita solehah adalah ibu rumahtangga yang baik.
3)Sebagai pendidik anak-anaknya.
Setiap anak yang lahir dibekalkan dengan sebuah potensi (kekuatan pendorong alamiah) yang dapat diarahkan ke arah yang baik atau ke arah yang buruk. Maka telah menjadi kewajipan orang tua untuk memanfaatkan potensi tersebut dan menyalurkannya ke arah yang diredhai Allah.
Untuk menjadi wanita yang solehah, ikutilah pesanan Rasulullah :
-Taat kepada suami.
-Selalu bercakap benar.
-Bermurah rezeki.
-Jangan bercampur dengan kaum lelaki (bukan muhrim).
-Pemalu dan menyembunyikan rahsia.
-Jauhi perasaan buruk sangka.
-Hindari perasaan marah.
-Menjalankan jihad bagi kaum wanita.
-Jangan berbangga dengan keturunan.
-Hindari dari menjadi isteri yang dimurkai suami.
-Menghormati tetamu.
-Menjalankan kewajipan terhadap orang tua.
-Tidak meninggikan suara melebihi suara suami.
-Berbicara dengan penuh kasih sayang kepada suami.
-Mendidik keluarga.
-Menjauhi sifat dendam.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kita sebagai wanita haruslah berusaha untuk menjadi wanita solehah. Wanita solehah adalah sebaik-baik hiasan di atas muka bumi ini. Wanita solehah adalah wanita yang menyenangkan hati dan mata setiap yang memandang.
Peranan dan fungsi wanita solehah sebagai penggerak dan penjana ummah adalah suatu penglibatan yang begitu serius dan mencabar. Di saat-saat masyarakat yang sering dikejutkan dengan pelbagai keruntuhan nilai dan peradaban maka wanita solehah perlu tampil untuk menanganinya bersama.
Fungsinya yang bermula di rumah sebagai ibu kepada anak-anak sehingga penglibatan mereka di dalam bidang kerjaya dan kemasyarakatan sebenarnya dapat mewarnai kehidupan umat ini dengan budi pekerti yang luhur kerana ketrampilan mereka sebagai insan yang dekat di sisi Allah.
Kalau wanita itu dikatakan boleh mencorakkan pemerintahan dan Negara, maka wanita yang bergelar solehah turut mampu mewarnai kehidupan ummah seluruhnya menikmati rahmat dan nikmat dari ilahi.
Adalah lebih jelas setiap wanita harus tahu batas-batas peranannya di dalam melaksanakan amanah Allah SWT agar nanti akan terbina mahligai syurga di dunia sebelum mendiaminya di akhirat kelak. Wassalam.
Disediakan oleh: Nur Atiqah Binti
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
http://abdazizharjin. blogspot. com
No comments:
Post a Comment