Thursday, September 16, 2010

Konsep Ilmu Usul Fiqh

Pengertian Ilmu Usul Fiqh
•Usul bererti asas, sumber, kaedah, dan dalil.
•Fiqh dari segi bahasa ialah memahami sesuatu perkara.
•Dari segi syarak ialah pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.
•Ilmu usul Fiqh ialah ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat atau menentukan hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.

Sejarah Perkembangan ilmu Usul Fiqh

•Zaman Rasulullah

Hukum-hukum diambil dari wahyu Allah dalam bentuk al-Quran dan penjelasan oleh baginda iaitu as-Sunnah.
Segala apa yang berlaku terus dirujuk kepada Rasullullah.
Sahabat yang jauh, Rasulullah membenarkan untuk berijtihad dalam perkara yang tidak terdapat ketentuan dalam al-Quran as-Sunnah seperti yang berlaku kepada Muaaz bin Jabal.

•Zaman sahabat

Sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para sahabat.
Mereka berkeupayaan mengistinbat hukum kerana beberapa faktor:
i Penguasaan bahasa Arab yang baik membolehkan mereka memahami al-Quran dan as-Sunnah dengan tepat.
ii Mempunyai pengetahuan tentang sebab nuzul ayat dan sebab-sebab sebuah hadis diucapkan.
iii Mereka merupakan perawi hadis.
Sekiranya didapati tiada ketetapan sesuatu hukum, mereka berijtihad dengan menggunakan kaedah qias.
Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam suatu hukum maka berlaku ijmak.

•Zaman Tabi’in

Cara para ulama mengambil hukum tidak jauh beza dengan zaman sahabat kerana masa mereka dengan kewafatan Rasulullah tidak terlalu jauh.
Jika hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijmak, mereka akan merujuk kepada pandangan sahabat sebelum mereka berijtihad.
Cara ini dilakukan oleh Mujtahid di kalangan tabi’in seperti Said bin Musaiyyib, Urwah bin Zubair, Qadhi Syuraih dan Ibrahim Nakha’e.

Zaman kemunculan ilmu Usul Fiqh
Selepas zaman tabi’in, umat Islam bertambah ramai dan berlaku percampuran antara orang Arab dan bukan Arab.
Ini menyebabkan orang Arab sendiri menjadi lemah dalam menguasai bahasa Arab.
Banyak masalah baru yang timbul yang tiada ketentuan dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Ini menyebabkan Ulama mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakan ilmu Usul Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka.
Ia berlaku pada akhir kurun kedua hijrah

Pengasas ilmu Usul Fiqh
•Ia disusun oleh Imam Muhamad bin Idris as-Syafie di dalam kitab ar-Risalah.
•Kitab ini membincangkan tentang al-Quranb dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.
•Kita bar-Risalah merupakan kitab pertama disusun dalam bidang ini, dengan itu Imam as-Syafie diiktiraf sebagai Pengasas Ilmu Usul Fiqh.

Kepentingan mempelajari ilmu Usul Fiqh
•Boleh menghasilkan hukum-hukum yang lebih tepat berdasarkan dalil-dalil yang kukuh.
•Boleh mengetahui hukum-hukum syarak dan beramal dengan penuh yakin, bukan taqlid semata-mata.
•Memahami cara para Ulama mengistinbatkan hukum daripada dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah serta dalil-dalil yang lain.
•Boleh mengetahui cara Ulama menetapkan hukum-hukum baru yang tidak terdapat hukumnya di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
•Boleh mengetahui punca perselisihan hukum di kalangan Ulama serta membuat perbandingan secara ilmiah.

Skop perbahasan ilmu Usul Fiqh
•Dalil-dalil syarak iaitu merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati.
•Hukum-hukum Kulli iaitu merangkumi hukum Taklifi dan hukum Wadha’i.
•Dilalah iaitu merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
•Ta’arudh dan Tarjih iaitu perbahasan tentang percanggahan antara dalil-dalil serta jalan penyelesaian.
•Ijtihad dan Mujtahid iaitu merangkumi persoalan Taqlid dan Muqallid.

Cara penulisan ilmu Usul Fiqh
•Tariqah al-Mutakallimin

Dipelopori oleh Ulama mazhab Syafie, kerana itu dinamakan juga Tariqah Syafiyyah.
Dibuat kaedah-kaedah Usul Fiqh serta mrngukuhkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli.
Kaedah-kaedah ini menjadi dasar untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Masalah Fiqah tidak dimasukkan dalam penulisan mereka.
Antara kitabnya ialah:
i. Al-burhan oleh Imam al-Haramain Abdul Malik bin Abdullah Juwaini.
ii. Al-Muktamad oleh Abu Husain Muhamad bin Ali al-Basri.
iii. Al-Mustasfa Min Ilmi al-Usul oleh Imam al-Ghazali.
iv. Al-Mahsul oleh Fakruddin Muhamad bin Umar bin Husaini ar-Razi.
v. Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi.

•Tariqah al-Ahnaf

Dikenali juga sebagai Tariqah Fuqahah.
Kaedah-kaedah Usul Fiqh dibuat berdasarkan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh imam-imam mazhab mereka.
Banyak masalah Fiqah ditulis di dalam kitab mereka mengikut kaedah ini.
Antara kitabnya ialah:
i. Al-Usul oleh Abu Bakar Ahmad bin Ali.
ii. Al-Usul oleh Abu Zaid Abdullah bin Umar ad-Dabbusi.
iii. Al-Usul oleh Fakru Islam Ali bin Muhamad Bazdawi.
iv. Kasyfu Asrar oleh Abd Aziz bin Ahmad Bukhari.

•Tariqah Mutaakhirin

Cara penulisan ini adalah mengabungkan kedua-dua cara di atas.
Cara ini diikuti oleh Ulama dari pelbagai mazhab seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali.
Antara kitabnya ialah:
i. Badi’u al-Nizhom oleh Muzaffaruddin Ahmad bin Ali Sa’ati al-Hanafi.
ii. At-Tanqih dan syarahnya at-Taudhih oleh Sodru Syariah Abdullah bin Mas’ud al-Mahbubi al-Hanafi.
iii. Jam’ul Jawami’oleh Imam Tajuddin Abdul Whab bin Ali Subki as-Syafie.

•Tulisan lain
Belum pernah wujud sebelumnya.
Corak ini ditulis dalam kitab Muwafaqat Fi Usul al-Ahkam karangan Abu Ishak Ibrahim bin Musa Lakhami yang lebih dikenali sebagai as-Syatibi.
Beliau mengabungkan kaedah Usul Fiqh dengan Maqasid Syariah.

Pengertian hukum Syarak
•Ulama Usul Fiqh mentakrifkan hukum syarak sebagai Khitab Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf samada berbentuk tuntutan (Iqtidha’), pilihan (Takhyir) atau Wadh’i.
•Berdasarkan pengertian ini, hukum syarak adalah Khitab Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang merangkumi ibadat, munakahat, jinayah dan muamalat.

Jenis-jenis Khitab Allah
a.Iqtidha’ iaitu tuntutan melaksanakan sesuatu perintah samada tuntutan tersebut pasti atau tidak. Tuntutan pasti ialah wajib dan haram, manakala tuntutan tidak pasti ialah sunat dan makruh.

1.Contoh tuntutan pasti (jazam) yang membawa hukum wajib

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

•Allah memerintahkan supaya didirikan solat dengan tuntutan pasti (jazam).
•Lafaz yang menunjukkan pasti ialah lafazﺃﻘﻴﻤﻭﺍ dalam bentuk Fi’lul Amar yang bermaksud perintah.

2. Contoh tuntutan pasti yang membawa hukum haram

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

•Allah melarang berzina dengan larangan yang pasti (jazam).

3.Contoh tuntutan tidak pasti (ghairu jazam) iaitu sunat

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.
•Allah memerintahkan supaya setiap muamalat secara hutang hendaklah direkodkan.
•Lafaz menunjukkan tuntutan tidak pasti (ghairu jazam) iaitu sunat kerana terdapat qarinah (petunjuk) dalam ayat berikutnya yang memberikan pilihan untuk tidak direkodkan.

4.Contoh tuntutan tidak pasti (ghairu jazam) dalam bentuk makruh

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

•Walaupun lafaz ﻻﺘﺴﺌﻠﻭﺍ berbentuk larangan secara pasti (jazam), tetapi Ulama menetapkan bahawa ia menunjukkan larangan tidak pasti (ghairu jazam) iaitu makruh.
•Ini kerana terdapat qarinah (petunjuk) dalam ayat yang sama memberikan kelonggaran kepada para sahabat membuat pertanyaan

b. Takhyir iaitu khitab Allah yang memberi pilihan kepada mukallaf samada hendak melakukan sesuatu atau tidak.

Maksudnya: Apabila kamu telah bertahallul bolehlah kamu berburu.

•Ulama menetapkan satu perintah yang dinyatakan sesudah larangan adalah harus.

c. Wadho’i iaitu khitab Allah yang menunjukkan sesuatu sebagai sebab, syarat atau penghalang kepada sesuatu hukum.

1. Contoh sebab

Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan mereka.

•Sebab mencuri wajib dipotong tangan.

2.Contoh syarat

Maksudnya: daripada Abu Hurairah RA sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah tidak menerima solat seseorang daripada kamu apabila berhadas sehingga ia berwuduk.

•Berwuduk syarat wajib solat.

3. Contoh penghalang (mani’a)

Maksudnya: daripada Abu Hurairah RA sabda Rasulullah SAW : Orang yang membunuh tidak boleh mewaris.

•Perbuatan membunuh menjadi penghalang kepada seseorang untuk mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati.

Pembahagian hukum syarak
Hukum Syarak
Hukum Takhlifi Hukum Wadho’i
Ijab Sabab
Nadbu Syarat
Tahrim Mani’
Karahah Sohih
Ibahah Batil
Hukum Takhlifi

•Iaitu Khitab Allah yang mengandungi tuntutan ke atas mukallaf supaya melakukan atau meninggalkan sesuatu perbuatan atau mengandungi pilihan samada hendak melakukan atau tidak.

Hukum Takhlifi Penerangan

1 Ijab >Tuntutan Syarak ke atas mukallaf supaya melakukan sesuatu perbuatan yang pasti (jazam). Jika tidak dilakukan, akan berdosa, jika dilakukan akan mendapat pahala.
>Perkataan Wujub menunjukkan kesan tuntutan tersebut, manakala Wajib pula ialah perbuatan yang dituntut supaya dilakukan.

2 Nadbu
>Tuntutan Syarak ke atas mukallaf supaya melakukan sesuatu perbuatan yang tidak pasti (ghairu jazam). Jika tidak dilakukan , tidak berdosa, tetapi jika dilakukan mendapat pahala.

>Perkataan Nadbu menunjukkan kesan tuntutan tersebut, manakala lafaz Mandub menunjukkan perbuatan itu sendiri.

3 Tahrim
>Tuntutan Syarak supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan pasti (jazam). Jika dilakuka berdosa, jika ditinggalkan akan mendapat pahala.

>Perkataan Hurmah menunjukkan kesan tuntutan tersebut, manakala lafaz Haram menunjukkan perbuatan itu sendiri.

4 Karahah
>Tuntutan Syarak supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan tidak pasti (ghairu jazam). Jika dilakukan tidak berdosa, jika ditinggalkan mendapat pahala.

>Perkataan Karahah menunjukkan kesan tuntutan tersebut, manakala lafaz Makruh menunjukkan perbuatan itu sendiri.

5 Ibahah
>Tuntutan Syarak yang mengandungi pilihan mukallaf samada untuk melakukan atau meninggalkan.

>Kesan dari khitab ini juga dinamakan Ibahah, manakala perbuatan yang menjadi pilihan itu dinamakan Mubah, Jaiz atau Halal.

Hukum Wadho’i
•Iaitu Khitab Allah yang menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat atau penghalang (mani’a) kepada sesuatu hukum.

Hukum Wadho’i Penerangan
1 Sabab

>Sesuatu yang menjadi asas wujudnya sesuatu hukum.

>Apabila ada Sabab, ada hukum, jika tiada Sabab maka tiada hukum.

>Contohnya gelincir matahari menjadi Sabab wajib tunai solat Zuhur.

2 Syarat

>Sesuatu yang kerana adanya, ada hukum, tetapi tidak semestinya apabila adanya ada hukum.

>Contohnya wuduk syarat sah solat. Apabila tidak ada wuduk solat tidak sah tetapi tidak semestinya seseorang berwuduk kerana hendak menunaikan solat. Mungkin dia berwuduk kerana hendak menyentuh al-Quran.

3 Mani’a
>Sesuatu yang kerananya sesuatu hukum tidak dapat dilaksanakan sedangkan tanpanya hukum tersebut boleh dilaksanakan.

>Contohnya perbezaan agama menjadi penghalang bagi hukum pembahagian pusaka. Jika tiada perbezaan agama, pembahagian pusaka dapat dilaksanakan.

4 Sohih
>Perbuatan yang sempurna syarat dan rukunnya serta terhasil kesan yang dikehendaki darinya sebagaimana yang ditetapkan pleh syarak.

>Contohnya solat yang dilakukan cukup syarat atau rukun dikira sah oleh syarak.

5 Batil
>Perbuatan yang tidak sempurna syarat dan rukunnya serta tidak terhasil kesan yang dikehendaki darinya sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.

>Contohnya solat yang dilakukan tanpa cukup syarat atau rukun dikira batal oleh syarak.

Kesimpulan
Berdasarkan ilmu Usul Fiqh dan Hukum Syarak, saya dapat mengeluarkan beberapa hikmah suruhan dan larangan ALLAH. Antaranya ialah:
•Mendisiplinkan diri manusia itu sendiri.
•Menguji tahap keimanan seseorang individu muslim.
•Meransang manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam erti kata lain “Amar Makruf Dan Nahi Mungkar”.
•Dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Hal ini adalah kerana manusia dikurniakan akal oleh Allah untuk menentukan sesuatu yang baik dan buruk.

Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Muhammad Ashraf Bin Mohamad Ali

No comments:

Post a Comment