Thursday, September 16, 2010

Dosa-dosa Wanita -

Buku yang berjudul”Dosa-dosa Wanita”hasil penulisan Ibrahim Muhammad Al-Jamal ini mengisarkan tentang dosa-dosa yang kerap atau yang biasa dilakukan oleh kaum Hawa di muka bumi Allah ini. Di dalam buku ini, terkandung pelbagai perlakuan atau perbuatan yang dilakukan oleh wanita yang boleh menjurus kepada perlakuan dosa. Kandungan buku ini terbahagi kepada tiga bab, iaitu masalah-masalah ibadah, masalah muamalah dan pahala dan dosa dalam masalah adab dan keutamaan. 

Pada bab peratama iaitu masalah-masalah ibadah, ianya terbahagi pula kepada beberapa bahagian. Pada bahagian pertama iaitu taharah, beberapa perlakuan wanita yang menjurus kepada perlakuan dosa telah dijelaskan. Taharah merupakan mashdar dari kata tahara, kata kerja yang tidak memerlukan objek, sehingga ia merupakan sifat bagi pelakunya terhadap apa yang dilakukan. Ia juga boleh dimaksudkan mashdar tahhara, tathhiran seperti kata kallama, takliman. 

Pengertian etimologi taharah adalah kebersihan dan menjauhkan diri dari hal-hal yang kotor. 

Pengertian terminologi taharah adalah sifat hukum yang menetapkan pembolehan solat umpamanya, berkaitan dengan apa-apa yang disifatkannya, yang diikuti dengan masalah-masalah lain. 

Pada bahagian ini, perlakuan-perlakuan wanita yang boleh menjurus kepada perlakuan dosa semasa didatangi haid dikupas. Salah satu daripadanya, iaitu masalah bejana. Beberapa potong hadis di dalam buku ini telah menyatakan tentang pengharaman makan dan minum dengan menggunakan bejana emas dan perak. Pengaharaman menggunakan behana emas dan perak merupakan ijmak. Selain itu, kesalahan menyetubuhi wanita haid juga telah diterangkan secara terperinci di dalam buku ini. Ada di antara para jamaah menharamkan perbuatan ini, namun ada segelintir lagi yang menganggap perbuatan ini sebagai satu dosa besar. Kemudian muncul pula pertanyaan; Bagaimana jika wanita dipaksa melayani persetubuhan, sedangkan dia sedang haid? Adakah dia berdosa? Persoalan ini telah dijawab oleh hadis Nabi SAW, tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid. Dia harus mengeluarkan sedekah satu dinar atau setengah dinar. Menurut pendapat lain, isteri itu harus menolak ajakan suami. Namun jika suaminya dalam keadaan marah-marah dan menggunakan kekerasan, maka kesalahan isteri diampuni. Persoalan solat wanita haid juga dikupas dalam buku ini. ”Tidak solat dan tidak puasa”sudah cukup menerangkan larangan solat dan puasa ke atas seorang wanita yang sedang didatangi haid. Ini merupakan ijmak ulama. Persoalannya, berdosakah atau tidak wanita haid yang mengerjakan solat? Ya, dia berdosa, sebagaimana dia juga berdosa jika solat tanpa berwuduk pada ketika tidak haid. Dia juga berdosa jika bersolat pada ketika haid, meskipun sudah wuduk. Mencabut kening, membuat tatu dan mengikir gigi merupakan di antara perlakuan yang sering dilakukan oleh wanita tanpa mereka sedari bahawa perlakuan berikut menjerumus kepada perbuatan dosa. Sebuah hadis di dalam buku ini, ada menyatakan bahawa Allah melaknat wanita yang menyambung rambut, dan meminta agar rambutnya disambung, wanita yang membuat tatu dan meminta agar dia ditatu, para wanita yang mengikir gigi dan meratakannya untuk kecantikan hingga merubah ciptaan Allah. Termasuk juga golongan wanita terlaknat adalh yang merubah ciptaan Allah, seperti mengecat wajah atau bibir. Semua ini boleh dianggap dosa besar, kerana adanya laknat Rasulullah. 

Pada bahagian kedua buku ini pula, iaitu bahagian solat. Di dalam buku ini ada menerangkan hukum wanita yang mengerjakan solat tanpa mengenakan tudung kepala. Sebuah hadis ada menerangkan bahawa Allah tidak menerima solat wanita yang sudah baligh, kecuali dengan mengenakan tudung kepala. Hal ini kerana, memakai tudung kepala; menutup aurat adalah harus jika kita ingin mengerjakan solat. Dalam keadaan menghadap Allah dan melaksanakan salah satu rukun agama, dia lebih layak untuk mengenakannya dan tampil dalam keadaan yang paling baik. 

Persoalan mengenai wanita yang menyerupai lelaki juga ada dikupas oleh penulis. Menurut penulis, Rasulullah SAW melaknat orang-orang yang banci (tidak lelaki dan tidak perempuan) dari kalangan lelaki dan di antara wanita yang bersikap seperti lelaki. Dari hadis-hadis dan laknat yang disebutkan di dalamnya, dapat disimpulkan bahawa penyerupaan ini termasuk dosa besar. Terdapat dua pendapat yang menonjol tentang hukum penyerupaan ini dikalangan ulama menurut penulis. Melalui pendapat yang dibenarkan oleh An-Nawawy, penyerupaan itu haram manakala melalui pendapat yang dibenarkan oleh Ar-Rafi’y mengatakan bahawa penyerupaan itu makruh. Namun, penulis ada menegaskan bahawa pendapat An-Nawawy adalah yang benar, bahawa penyerupaan itu hukumnya haram. 

Selain itu, perihal ratap tangis yang amat sinonim dengan kaum wanita juga ada dihurai oleh penulis melalui penulisannya. Umamah ra. berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencakar wajahnya, merobek-robek sakunya dan berseru dengan ucapan-ucapan kecelakaan dan kutukan. Melalui potongan hadis yang disertakan di dalam buku ini, jelas menyatakan pengharaman mencemarkan kehormatan keturunan dan meratapi orang yang meninggal. Menurut pendapat yang paling sahih mengenai sebab pengharaman ini, kerana perbuatan ini termasuk perbuatan orang-orang kafir dan akhlak orang-orang Jahiliyah. Di samping itu, dua perbuatan tersebut boleh menjurus kepada kekufuran dan mengingkari nikmat. 

Perbuatan tidak mengeluarkan zakat perhiasan juga merupakan antara perbuatan yang sering dilakukan oleh seseorang wanita itu tanpa menyedari akan akibat buruk perbuatan mereka. Beberapa pendapat menegaskan kewajipan membayar zakat perhiasan, yang didasarkan kepada beberapa hadis yang ada. Pada awal permulaan Islam, perhiasan dari emas dan perak diharamkan bagi para wanita. Maka dari itu harus dikeluarkan zakat. Namun kemudian perhiasan emas dan perak diperbolehkan. Untuk itu zakat harus dikeluarkan terhadap perhiasan yang berlebihan dan yang disimpan. Jadi, wanita yang tidak mengeluarkan zakat perhiasannya akan mendapat dosa. 

Persoalan pemakaian wangi-wangian oleh kaum wanita juga telah diketahui hukumnya, namun masih ada segelintir wanita yang tidak menghiraukan kesan atau akibat dari perbuatan mereka itu. Rasulullah SAW bersabda:”Ketahuilah wangian laki-laki adalah bau yang tidak ada warnanya, dan wangian wanita adalah warna yang tidak ada baunya. ”Menurut sebahagian rawi, hal ini berlaku jika wanita keluar dari rumahnya. Tetapi selagi berada bersama suaminya, dia boleh mengenakan minyak wangi sesuka hatinya. Daripada huraian ini dapat disimpulkan bahawa perbuatan-perbuatan ini boleh membawa kepada dosa besar. Sebab mengenakan wangian agar baunya boleh dicium oleh kaum laki-laki, sama dengan menampakkan dirinya di hadapan mereka dan membangkitkan berahi mereka. Maka tidak hairan jika wanita seperti ini disebut sebagai wanita penzina. 

Pada bab kedua buku ini pula, penulis telah mengetengahkan permasalahan muamalah. Pada dasarnya muamalah wanita adalah pergaulan bersama keluarga, sanak saudara dan suaminya. Maka di sini ada beberapa permasalahan yang dibentangkan oleh penulis yang harus diketahui oleh wanita dalam kaitannya dengan muamalah ini, seperti masalah perkahwinan dan penceraian. Tujuannya bagi kaum wanita menjaga dirinya agar tidak terjerumus ke dalam hal-hal yang dilarang. Di samping itu, ada situasi-situasi yang memaksa wanita untuk bermuamalah dalam berbagai sektor kehidupan. Maka dari itu penulis berusaha untuk mengutarakan beberapa hal yang perlu diwaspadai oleh kaum wanita dalam muamalah. 

Persoalan pernikahan menjadi ‘topik pembuka’ memandangkan persoalan pernikahan merupakan persoalan yang paling besar. Nikah menurut pengertian bahasa adalah menyatu dan berpadu, seperti perajwinan antara pohon, kerana sebahagian dijadikan menyatu dengan sebahagian yang lain. Manakala menurut erti syariat, nikah adalah akad yang mengandungi pembolehan persetubuhan, dengan lafaz yang bersifat menikahkan atau yang serupa. Namun begitu, ada sebahagian wanita yang memencilkan dirinya dan tidak mahu menikah kerana alasan peribadi atau pandangan yang salah, kerana suka mentafsirkan berbagai peristiwa, membanding-bandingkan berbahagi kegagalan orang lain atau yang pernah dialaminya sendiri. Menurut pandangan Islam, dia tidak boleh dibenarkan. 

Perbuatan yang sering dilakukan oleh sesetengah isteri tanpa mereka sedari iaitu perbuatan memperkecil-kecilkan suami juga diketengahkan oleh penulis dalam buku ini. Perbuatan memperkecil-kecilkan suami dianggap sebagai dosa besar. Begitulah menurut ijmak para ulama. Dalam sebuah riwayat juga disebutkan bahawa Nabi SAW melaknat pelakunya. Menurut penulis, telah menjadi kebiasaan kaum wanita berbual kosong hingga melebihi batas dengan oang lain, sehingga akhirnya memperkecil-kecilkan suami sendiri. 

Perbuatan seorang isteri yang menolah ajakan suami juga boleh mendatangkan dosa kepada wanita tersebut. Isteri harus mencari keredaan suami dan seboleh mungkin jangan membangkitkan kemarahannya. Dengan begitu, suami boleh memperoleh kenikmatan yang mubah dari isteri. Sedangkan yang tidak boleh dilakukan ialah seperti menyetubuhi isteri yang sedang haid atau nifas, kecuali setelah dia sudah mandi atau setelah darahnya berhenti. Menurut penulis, isteri harus menempatkan dirinya seprti layaknya budak dimiliki oleh suaminya. Sehingga dia tidak boleh membelanjakan harta suami kecuali dengan izinnya. Malahan ada sebahagian ulama yang berpendapat, isterinya tidak boleh membelanjakan harta miliknya sendiri kecuali dengan izin suaminya. Sebab dia layaknya orang yang duduk di dalam rumah. Isteri harus mendahulukan hak-hak uami daripada hak kerabatnya sendiri, malahan adakalanya dia harus mendahulukan hak suami daripada haknya sendiri. Isteri tidak boleh angkuh kerana kecantikannya dan tidak boleh mencela keburukan diri suaminya. 

Menurut penulis, sejak kebelakangan ini dunia ditaburi oleh suatu fenomena yang sangat buruk, iaitu kebiasaan menghisap rokok dengan berbagai jenisnya. Tambah memburukkan lagi, tabiat ini didukung oleh berbagai media massa dan dimasyarakatkan oleh pemerintah negara, kerana kepentingan ekonomi. Hal ini kerana, bukan sedikit hasil yangboleh diperoleh dari pengeluaran rokok oleh berbagai syarikatnya. Kata penulis lagi, meskipun tiada nas yang langsung membicarakan pengharaman rokok, tetapi pengharaman ini boleh didasarkan kepada satu pertimbangan, bahawa hal itu boleh melemahkan badan. Terdapat juga nas-nas lain yang mengisyaratkan pengharaman merokok kerana tidak nampak akan manfaatnya. Kalau merokok dianggap haram bagi kaum laki-laki, jadi apatah lagi bagi kaum wanita, kerana merokok tidak sesuai dengan tabiat dan fitrah mereka. Ianya menjadi lebih berbahaya jika mreka sedang hamil, kerana akan memberi kesan yang negative terhadap janin dalam kandungannya dan boleh menganggu pertumbuhannya. Jadi merokok merupakan dosa bagi laki-laki dan wanita, yang pelakunya akan dihisab di hadapan Allah. 

As-sihaq atau lesbian telah menjadi trend remaja pada masa kini. Ada disebutkan di dalam perkataan Nabi SAW:”Lesbian adalah penzinaan di antara sesama wanita. ”Menurut sebuah hadis, telah dinyatakan tentang tiga golongan yang Allah tidak akan menerima dari mereka ucapan syahadat la ilaha illallah, iaitu pelaku homoseksual, lesbian dan pemimpin yang zalim. Tidak dapat diragukan, perbuatan ini termasuk dosa besar, malahan lebih besar dari dosa besar. Maksudnya, dosa lesbian lebih besar daripada zina sendiri, yang diqiyaskan kepada homoseksual. Oleh itu Allah menghinakan kaum Lut. Jadi jelaslah kini, bahawa dosa lesbian mahupun homoseksual lebih besar daripada zina itu sendiri. 

Nyanyian wanita. Persoalan ini telah sedikit sebanyak dihuraikan oleh penulis. Suara wanita adalah merupakan aurat kepada seseorang wanita itu. Ianya harus dijaga sebaik-baiknya. Jadi, wanita yang menyanyi di hadapan laki-laki atau wanita adalah yang berdosa. Begitu pula jika dia mendengarkan nyanyian orang laki-laki. Huraian ini berkaitan dengan nyanyian yang tidak diiringi muzik. Nyanyian yang diiringi muzik adalah haram secara mutlak. Wanita yang menyanyi dengan iringan muzik atau mendengarkannya adalah berdosa. Namun dalam hal ini ada pengecualiannya, iaitu nyanyian yang biasa dipergunakan orang untuk membangkitkan kerja atau ketika membawa beban berat atau ketika mengadakan perjalanan jauh, dengan tujuan untuk menghibur jiwa dan membangkitkan semangat, seperti nyanyian bangsa Arab untuk mengiringi untanya, nyanyian wanita untuk menidurkan anaknya, nyanyian anak-anak ketika bermain dengan tetangganya. Semua ini diperbolehkan selagi tidak disebutkan kata-kata keji dan kotor. Tidak ada perbezaan pendapat mengenai maslah ini, dan malahan hal ini dianjurkan, kalau memang boleh membangkitkan semangat, seperti ketika perang. 

Bahagian ketiga dalam buku ini pula menghurai pahala dan dosa dalam masalah adab dan keutamaan. Menurut penulis, sifat wanita adalah malu, lemah-lembut, penuh kasih sayang dan mudah menyesuaikan diri. Semua ini sesuai dengan keadaan dirinya yang harus beradab dan memiliki keutamaan dalam bergaul dengan manusia. 

Dalam kehidupan berkeluarga sudah tentu akan menempuh atau muncul hal-hal baru dan ditemukan hal-hal yang manis serta menyenangkan. Setiap tahun baru aka nada berbagai tuntutan dan anggaran pengeluaran yang baru. Akhirnya kehidupan berkeluarga itu akan disarati dengan unsur-unsur kebendaan, lembaran-lembaran wang, emas dan berbagai fenomena lain. Selagi sudah ada gejala seperti ini dalam mengharungi lautan kehidupan, maka kamu perlu menasihati dan membimbing para wanita agar menyerahkan segala urusan kepada Allah. 

Kata penulis, sebagaimana yang biasa diketahui, wanita adalah orang yang suka memperdayai, mencela dan mengumpat. Pastinya sifat ini ada dalam diri semua wanita, yang menunjukkan keterbatasan pandangan dan kelemahan fikirannya. Sebahagian di antara mereka jika melakukan tipu daya, maka tipu dayanya benar-benar sempurna, dan jika mengatur tipu muslihat, maka tipu muslihatnya benar-benar jitu dan sangat banyak. 

Wanita sebagai jerat syaitan. Syaitan memperalat para wanita untuk memperdayai kaum laki-laki. Maka hendaklah mereka selalu besikap waspada, jangan sampai mereka diperalat oleh syaitan, dengan memenuhi bisikannya. 

Disebutkan dalam hadis bahawa solat wanita di biliknya lebih baik daripada solat di masjid tempat tinggalnya. Solat di masjid tempat tinggalnya lebih baik daripada solat di masjid kaumnya. Solat di masjid kaumnya lebih baik daripada solat di masjid kaum Muslimin. Ini semua dimaksudkan untuk menjada dirinya. Jadi wanita harus memilih saf yang paling belakan, untuk menggambarkan kesibukan lain yang lebih penting, iaitu kesibukan di rumahnya, sehinggan dia terlambat tiba di masjid. Hal ini berbeza dengan kaum laki-laki. 

Cara-cara Melengkapkan Diri Untuk Kesempurnaan di Dunia Dan di Akhirat. 

Kita sering melupakan mati sedangkan ia tidak pernah melupakan kita. Kita pura-pura jahil dengannya sedangkan ia mengenali kita, dan sentiasa menunggu kita. Sememangnya, kita tidak dapat mengetahui siapa yang bakal diziarahinya kelak. Allah berfirman, ”Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. ”(Az-Zumar: 30) Justeru, haruslah kita membekalkan diri kita dengan bekalan-bekalan yang seharusnya sebelum ajal menemui kita. Seperti yang kita semua telahpun mengetahui, jalan yang paling mudah untuk menemui ketenangan di akhirat nanti adalah melalui amal ibadat, dan tiada pengganti lain untuk ilmu agama ini. Walau bagaimanapun, untuk menyempurnakan lagi diri kita sebelum menghadap Pencipta yang Maha Agung, bukan sahaja harus kita melengkapkan diri kita dengan bekalan ilmu agama dan ibadat, tetapi juga betapa perlunya kita kepada keselamatan dalaman iaitu perbaikan manusia terhadap dirinya dan juga sesama manusia, yang bermaksud agar manusia tidak menjadikan dirinya makmur dengan kedengkian dan iri hati bahkan hendaklah menjadikannya sebagai taman-taman yang menghijau dari kecintaan dan keimanan, dan indah permai dari akhlak yang mulia. Bukan sahaja dapat kita menjamin ketenangan selepas hidup ini, malah dapat kita memudahkan dan juga meringankan beban kita semasa menjalani kehidupan di dunia ini, sekaligus mendapat berkat dan hidayah dariNya buat bekalan di hari esok. 

Terdapat pelbagai cara untuk kita mencantikkan diri kita dari segi dalaman. Salah satu caranya adalah dengan sabar. Sabar adalah bekalan yang lebih berharga dari seluruh bekalan yang lain, sabar dalam liku-liku hidup yang panjang, sabar atas pemulauan kaum keluarga, kederhakaan anak, pemergian sahabat, kebencian orang yang dengki, sabar atas kefakiran dan kesakitan penyakit. Apabila mendengar kalimat celaan, maka hendaklah kita tutup telinga kita dan bersabar agar lencana kepujian yang kekal tidak tercabut dari kita. Sesiapa yang mempunyai kesabaran maka dia telah memiliki khazanah perbendaharaan yang lebih besar di dunia, lalu kita sentiasa reda, tersenyum dan murah hati, tersenyum menghadapi krisis, dan tersenyum menghadapi kematian. Oleh itu, bersabarlah, kerana Allah menyukai orang-orang yang bersabar. 

Senyuman adalah sedekah, anugerah Rabbaniyah dan keceriaan wajah ialah pemberian Ilahiyah. Rasulullah SAW. bersabda, ”Senyuman pada wajah saudaramu adalah sedekah bagimu. ”Betapa mulia risalah ini yang menjadikan keceriaan wajah sebagai amal soleh hamba yang diberi pahala kepadanya, dan sebaliknya bermasam muka adalah tanda kesempitan jiwa, keberatan roh dan kebengkokan akhlak. Kita perlu kepada senyuman, senyuman rahmat kepada kedua ibu bapa, senyuman penghormatan kepada orang alim, senyuman belas kasihan kepada orang kurang senang, senyuman cinta kasih kepada isteri, dan senyuman keikhlasan kepada sahabat. Rasulullah yang suka tersenyum, berwajah ceria dan berakhlak mulia, oleh itu tuhan berfirman kepadanya, ”Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. ”(Al-Qalam 4)

Sifat kemaafan juga adalah salah satu ciri terpuji yang patut dimiliki oleh seseorang ke arah membentuk peribadi muslimin yang mulia. Apabila kita mendengar kalimat celaan dari saudara kita, memburuk-burukkan kita, apabila dicemuh, dipulau dan disakiti, maka berilah kemaafan kepadanya. Untuk kedamaian dan ketenangan, untuk membahagiakan diri dan orang lain, perlulah kita mengakhiri kitaran benci dan dengki ini dengan kemaafan. Sesungguhnya, jauh lebih mudah untuk kita membenci daripada memberi kemaafan kepada orang yang telah mensakiti diri kita. Justeru, dapat dilihat betapa baik dan tabahnya diri umat yang dapat memberi kemaafan. Orang yang suka bertolak ansur akan hidup aman damai dan beroleh rahmat, dan adapun orang yang berdendam dan bersikap pemarah akan hidup dalam kerugian dan kekesalan. Allah SWT. berfirman, ”Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. ”(Ali-Imran- 134)

Selain itu, untuk memperolehi ketenangan dan keterangan hati, haruslah kita sentiasa bersedia untuk membuka hati kita kepada segala kemungkinan yang mungkin dibawa oleh hidup ini. Hati orang mukmin besar, jika Allah menghendaki, nescaya dijadikannya lebih luas dari langit dan bumi, dan jika dikehendaki dijadikannya lebih sempit dari lubang jarum. Jika diri kita sendiri mahu, kita boleh membuka hati kita kepada iman, kecintaan, persahabatan, dan keikhlasan dan kita juga mampu menutupnya dengan kebencian, kecaman, keluhan dan berpaling. Kunci hati kita milik kita sendiri dan kita masing-masing mempunyai kebolehan untuk membuka hati kita kepada pelbagai kebaikan yang dapat melapangkan dada kita dari segala kejahatan dan kekotoran hasad dengki. Haruslah kita memasukkan diri kita ke dalam golongan orang-orang yang melihat kebaikan, memandang keindahan, dan menyaksikan sudut-sudut kecemerlangan, maka dapatlah kita memiliki hati yang baik mulia. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang suka membesar-besarkan kesalahan, memandang separuh cawan kosong dan berhati keras dan gersang seperti padang pasir. Lihatlah kehijauan dan keindahan alam dan bukannya duri-duri yang bisa melukai, dan lihatlah bintang-bintang yang bersinar terang dan bukannya kegelapan langit malam. Maka bersihkanlah hati dan jadilah hamba Muslim yang benar dalam perkataannya setiap hari kepada saudaranya, ”Assalamualaikum”. 

Seterusnya, sebelum manusia menasihati dan memberi petunjuk kepada orang lain, sepatutnya dia memulai dengan dirinya sendiri, bagaimana manusia dapat menegakkan orang lain sedangkan dirinya pincang? Bagaimana dia merawat sedang diri dia sakit? Bagaimana dia membimbing sedangkan dia buta? Betapa bahagianya orang yang memperhatikan keaibannya terdahulu tanpa menyibukkan diri dengan keaiban orang lain, sesungguhnya kita mempunyai kesalahan-kesalahan yang meliputi seluruh umur kita, maka adakah kita masih mempunyai waktu untuk menyibukkan diri mencelah, mengkritik dan melukai orang lain? Sesungguhnya di antara hikmat dan kebenaran ialah hendaklah kita bermula dengan diri kita yang ammarah bissu’. ”Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri”. (Al-Baqarah: 44) Di dalam pergaulan seharian, tiada seorang yang pun yang suka melihat orang yang gemar ‘menjaga tepi kain orang lain’. Sifat ini hanyalah dapat mendatangkan persepsi yang buruk kepada diri sendiri, bahkan pula seluruh umat Islam. Maka untuk mencantikkan lagi diri dari segi dalaman, hindarilah sifat yang jelik ini. 

Untuk perhubungan sesama manusia pula, sepatutnya kita membentang jambatan-jambatan penghubung dengan saudara-saudara kita dan jangan menunggu perhubungan dari mereka, bermulalah kita dengan langkah pertama. Sesungguhnya orang-orang yang mulia adalah orang yang menanamkan kecintaan dalam hati dan menyemarakkan kasih mesra di dalam diri sendiri, dan juga di antara saudara mara kita. Para hikmah berkata dalam satu hari kita mampu mencipta seribu musuh akan tetapi dalam satu tahun adakalanya kita tidak mampu mencari satu sahabat, sesungguhnya orang berakal yang bijaksana kalimatnya yang lemah lembut dan perbuatan-perbuatannya yang indah akan sampai ke dalam hati-hati manusia, lalu mereka membuka hati untuknya, dan menundukkan atas singahsana roh-roh mereka. Haruslah kita membina dan mengekalkan semangat ukhuwah di antara umat demi kekuatan Islam. Bukan sahaja dapat kita memperbaik akhlak dan tingkah laku, tetapi dapat juga kita mendapat pahala dan berkat dari Allah SWT. 

Tambahan pula, Islam melarang egois mementingkan diri sendiri dalam kehidupan Muslim, ia mengajak kepada amal yang membuahkan hasil, dan manfaat yang sampai kepada orang lain dengan tersenyum, gembira, memberi salam, berbuat kebaikan, bersedekah, melawat orang sakit, berziarah, bermurah hati dan berlemah lembut. Semuanya adalah keistimewaan yang ada dalam dada orang-orang yang suci, orang-orang yang ikhlas dan wali-walinya. ”Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”(Al-Zalzalah; 7-8)

Dalam usaha merapatkan silaturrahim di antara saudara mara kita, kita juga sepatutnya menghargai pandangan orang lain jika ia tidak merosakkan asas yang telah disepakati ulama dan orang-orang yang berakal. Seseorang yang berdebat dengan orang lain, membantah atau mengkritik mereka tidak boleh memakai sahsiah kemaksuman dan mendakwakan bahawa pertolongan Rabbaniyah mengkhaskannya dengan kebenaran dan tanpa orang lain. ”Dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata. ”(Saba’ : 24) Untuk menggalakkan penyuaraan isi-isi hati dan kehidupan di dalam masyarakat yang aman dan tidak dipenuhi ketidakpuasan hati, hendaklah kita mengambil masa untuk mendengar buah-buah fikiran saudara-saudara kita dan harus juga kita bersedia untuk bertolak ansur dan membuka hati kita kepada pendapat orang lain yang besar kemungkinan tidak sehaluan dengan kita. Kita semua dicipta dengan akal fikiran, maka janganlah kita menghalang saudara kita dari berfikir dan berdebat, tetapi galakkanlah pemikiran terbuka dan pendapat-pendapat yang baru dan bernas. 

Seperti yang kita tahu, lumrah manusia sememangnya diselubungi serba kekurangan. Sifat yang dimiliki oleh ramai manusia ini tetapi tiada yang berani mengakuinya, iaitu sikap suka lari dari tanggungjawab. Apabila kita mencapai kejayaan, semua mendakwanya, tetapi apabila terjadi krisis, semuanya berlepas diri daripadanya. Maka dalam kejayaan, kita bertelingkah. Semuanya memandang bahawa dia sahaja penyebab kejayaan bahkan bila ditimpa bencana disebabkan perbuatan tangan-tangan sendiri, maka setiap orang dari kita melemparkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Sesungguhnya, setiap dari kita mempunyai saham dalam setiap kejayaan pada peringkat umat dan tanah air, semuanya mengikut tanggungjawab dan kedudukannya. Begitu juga setiap dari kita mempunyai saham dalam krisis. Oleh itu, jalan penyelesaiannya hendaklah kita meneruskan kejayaan dan mengakui tanggungjawab, memperbaiki keadaan, dan tidak melemparkan kesalahan kepada orang lain. ”(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudiannya) apabila kamu
ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Kemalangan itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”(Ali Imran: 165) Bagaimana harus kita mencerminkan peribadi yang mulia jika kita tidak membetulkan kecacatan tingkah laku yang amat mengaibkan ini?

Selain itu, kekurangan manusia juga adalah pada semangat dan motivasi dirinya. Sebahagian manusia sering dikuasai perasaan putus asa, putus harapan dan memandang rendah dirinya. Dia memandang bahawa umat Islam tidak akan mampu berdiri tegak, kaum muslimin dalam kemunduran, harga barang-barang naik dan ekonomi semakin meruncingkan, kaum remaja diabaikan, kaum wanita keletihan, para ulama muflis dan para pendakwah berangan-angan. Walau bagaimanpun, dalam masyarakat sememangnya terdapat ulama-ulama, orang mulia, orang-orang zuhud, ahli ibadah, orang-orang baik dan orang-orang dermawan yang masih tegak dan sedar, maka janganlah kita begitu senang berputus asa. Masjid-masjid kita masih penuh dengan orang-orang sembahyang, dan pelajar-pelajar masih membaca al-Quran yang masih kekal. Jika demikian maka kita telah berada dalam kebaikan, lalu mengapa berputus asa? Bertawakkallah kepada Tuhan dan sentiasalah kita mengharapkan bantuanNya. Sesungguhnya, tiada keraguan kita akan menang selama Allah bersama-sama kita. ”Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ”(At-Talaq: 7) Maka buanglah sifat yang melemahkan ini, untuk mencerminkan umat Islam yang tabah dan kuat menghadapi rintangan, seperti orang-orang terdahulu, yang berjuang untuk Islam, agama yang dapat kita banggakan pada hari ini. 

Tambahan lagi, untuk memperbaikkan diri kita ke arah pembentukan akhlak yang mulia, haruslah kita menerima suatu hakikat tentang diri kita sendiri dan juga saudara mara kita, iaitu tiada diri yang terkecuali atau maksum dari kesalahan dan kekurangan. Apabila kita melihat satu sikap saudara kita, dan tidak mampu kita menafsirkannya atau tingkah laku yang tidak layak dimaafkan, maka maafkanlah dia. Sesungguhnya tiada yang maksum dari segala kesalahan selain Muhammad SAW. Pada ketika seperti ini, maka ingatlah sifat-sifat saudara kita ini yang baik, dan janganlah melakukan tindakan buruk terhadap sikapnya yang terakhir, lalu kita mungkin akan kehilangan ramai sahabat dan juga saudara. Setiap dari diri kita tidak pernah terlepas dari kesalahan-kesalahan, keaiban dan kekurangan. Adakah kita mencari teman yang tidak pernah melakukan kesalahan, dan tidak pernah melakukan keburukan? Sememangnya, kita memerlukan seorang yang maksum, seorang Rasul, jika demikian maka lihatlah kepada Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, di antara sesama kita, pejamlah pandangan, beri kemafaan, tutupi kesilapan dan lupakan kesalahan dan kenanglah kebaikan. Wahai saudaraku, hadapilah manusia atas keadaan-keadaan mereka, utamakan kemafaan pada apa yang lahir dari mereka, nescaya kita akan hidup dengan bahagia dan ketenangan fikiran. 

Seterusnya, satu lagi bekalan yang tidak harus kita lupakan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat adalah ilmu pengetahuan. Ilmu adalah sebaik-baik pemberian Allah kepada hamba-hambaNya. Ilmu membolehkan kita mengenali Allah, dan memberi petunjuk kepada perkara-perkara yang diredaiNya. Sesungguhnya, ilmu adalah anugerah terbesar yang dikurniakan kepada manusia, dituangkan pada akalnya, dan menyerap ke dalah rohnya. Maka ahli ilmu kaya tanpa harta, mulia tanpa keluarga, terhormat tanpa pangkat, dan kuat tanpa kuasa. Setiap hari rohnya bersinar dengan makrifah, fikirannya disirami dengan hujan risalah, lalu mendatangkan hasil dua kali ganda. ”Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”(Az-Zumar: 9). Adapun orang jahil, maka betapa ruginya dan hampa, dia mempunyai diri yang runtuh dengan syahwat-syahwat kepentingannya terikat dengan harapan-harapan, hari semalamnya dengan hari ini, hari ini sama dengan esoknya, tidah ada hikmah dalam kejemuan dari umurnya, tidak ada pemahaman yang mendalam. ”Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi”. (Al-Furqan: 44) Oleh itu, segala ilmu yang dapat membawa kebaikan kepada diri maka haruslah kita berusaha memperolehinya kerana sesungguhnya Allah SWT. sangat sayang akan umatnya yang terpelajar dan berilmu. Dengan ilmu dapatlah juga kita mempertahankan agama kita dari golongan-golongan sesat dan juga mendidik mereka dengan kelebihan-kelebihan Islam yang mulia. Sememangnya, tanpa ilmu apakah yang dapat membezakan diri kita daripada mereka?

Akhir sekali, kesyukuran dan keredhaan juga adalah penting buat ketenangan fikiran. Bilakah akan kita meredhai diri kita, apabila sudah memiliki sesuatu, kita tamak untuk memiliki dua, kemudian tiga dan seterusnya. Kehausan yang tidak pernah terputus, dan kedahagaan yang tidak pernah puas. Apabila sudah kita berbahagia pada saat ini maka janganlah kita menuggu lagi kebahagiaan yang lebih dari hari ini pada hari esok atau lusa. Ketengan tidak mungkin dapat tercapai dengan cara ini. Ini kerana umur kian berkurang, masa tetap berjalan, minit-minit melompat, maka jangan memikirkan pada harapan yang ghaib sedang kita tidak cuba mengambil faedah daripada apa yang sedia ada di tangan kita sekarang. Justeru, bergembiralah dengan segala pemberian Allah, berbahagialah dengan rumah yang kecil, kerana adapun yang tidak mempunyai atap di atas kepala, redhalah dengan roti yang panas dan enak, kerana adapun yang tiada beras untuk ditanak. Kita hidup dalam dugaan-dugaan dan khayalan-khayalan yang terbang di langit padang pasir, kita tidak pernah rasa redha dengan apa yang ada di sisi kita, dan kita juga tidak mengetahui apa yang ada di masa hadapan. Jika kita tidak redha dengan apa yang ada di tangan kita, maka kita tidak akan redha apabila dunia sudah tiada dan sudah tiba masanya kita bertemu Pencipta. 

Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba menerapkan nilai-nilai ini ke dalam diri kita sebelum masanya sudah terlambat. Marilah kita cuba untuk mengubah dan juga memperbaik kehidupan yang kita jalani di dunia ini, tanpa melupakan dunia yang bakal kita semua jumpa pada esok kelak. Maka janganlah kita lalai mengejar hal-hal keduniaan dan melupakan urusan-urusan akhirat, dan juga janganlah kita terlalu leka mengumpul bekalan buat akhirat sehinggakan terlupa untuk hidup di dunia, sesungguhnya dunia ini hanya sementara, nikmatilah keindahannya sementara masih ada. 


Disediakan oleh: Nur’aadila Binti Kaman

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
http://abdazizharjin. blogspot. com

No comments:

Post a Comment