Islam adalah suatu cara hidup yang diturunkan oleh ALLAH SWT. menerusi Rasul-Nya Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia dan jin agar ia diyakini dan dihayati di dalam kehidupan mereka di dunia.
Allah menciptakan manusia untuk mengurus dan memakmurkan alam ini dengan agamanya. Allah menjadikan bumi, matahari, bulan, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang adalah untuk keperluan manusia bagi menjalani kehidupan didunia ini.
Untuk mengurus dan memakmurkan alam ini manusia perlu hidup bermasyarakat dan membentuk generasi demi generasi. Perkahwinan merupakan satu jalan penyelesaian untuk mengembangkan zuriat manusia. Oleh itu perkahwinan dalam islam berperanan mengeratkan tali persaudaraan serta ukhwah yang berasaskan kasih sayang sesama manusia.
Peraturan-peraturan hidup di dalam Islam merangkumi peraturan beraqidah, ibadah, muamalat, nikah kahwin, undang-undang dan akhlak. Peraturan-peraturan ini merangkumi cirri-ciri perhubungan manusia dengan Allah dan juga perhubungan manusia sesama manusia (hablumminallah dan habumminannas )
Oleh yang demikian, pembentukan keluarga dan rumahtangga yang baik, islam telah meletakkan satu peraturan yang jelas dan qat’ie (putus) , iaitu mestilah melalui ikatan perkahwinan. Perkahwinan adalah peraturan Allah untuk menghalang pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang boleh membawa kepada perbuatan zina.
DALIL-DALIL DISYARIATKAN PERKAHWINAN
Firman ALLAH SWT”dan jika kamu takut tidak berlaku adil tarhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka) , maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman kepada mereka. (An-Nisa’ 4 ; ayat 3)
Sabda Rasulullah SAW”Hai golongan pemuda, barang siapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah ia segera berkahwin, kerana yang demikian itu lebih dapat memejamkan mata (terhadap perempuan yang tidak harus dilihat) dan lebih memelihara kehormatannya (daripada godaan syahwatnya) : tetapi barang siapa tidak kuasa maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu menahan nafsu baginya. ” (Riwayat Jama’ah Ahli Hadis)
Sabda Rasulullah SAW lagi ;”kahwinlah kamu wanita itu, kerana sesungguhnya mereka akan mendatangkan harta (rezeki) kepada kamu. ”
TUJUAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Membina sesebuah rumahtangga adalah berasaskan kepada ikatan suci yang tidak hanya berdasarkan kepada ikatan hubungan syahwat sahaja. Rumahtangga Islam dibina berpaksikan ikatan perhubungan jiwa dan emosi yang suci dan luhur, tidak berpura-pura. Rumahtangga yang dibina hendaklah berasaskan kepada ketaqwaan sepasang suami isteri. Pergaulan yang baik melahirkan rasa tanggungjawab dan toleransi di dalam menguruskan sesebuah rumahtangga.
Firman allah”dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. ” (Al-Rum 30 : ayat 21)
HUKUM NIKAH DALAM ISLAM
Di dalam ajaran Islam, hukum nikah ada lima perkara, yang perlu dipatuhi di dalam melaksanakan sesuatu pernikahan. Dengan mematuhi rukun-rukun ini sahaja, maka baharulah sah nikah tersebut di sisi syariat islam.
Hukum-hukum nikah ;
Harus : tidak mendatangkan dosa mahupun pahala jika sesorang itu tidak berkahwin. ini adalah asal hukum nikah kahwin.
Wajib : seseorang lelaki yang berkemampuan dari segi zahir dan batin (tidak boleh mengawal nafsu )
Sunat : seseorang lelaki yang berkemampuan dari segi zahir dan batin (keinginan nafsu yang boleh dikawal) .
Makruh : seseorang itu mempunyai keinginan nafsu tetapi tidak mampu dari segi kewangan.
Haram : jika seseorang tidak mempunyai keinginan tetapi kahwin atas sebab lain (mahu melacurkan isteri)
ETIKA MEMILIH JODOH
CALON ISTERI
Rasulullah berkata pilihlah bakal isterimu dari golongan orang mengerti hal-hal agama, walaupun baginda tidak melarang untuk memilih dari golongan yang cantik rupa paras, yang baik keturunannya dan hartawan. Perempuan yang beragama selain dari taat kepada Allah, dia juga taatkan suaminya, redha dengan sedikit nafkahnya, kasih terhadap suaminya dan pandai memberi nasihat yang membawa kepada kesempurnaan hidup mereka.
Sifat-sifat isteri
1. Perempuan yang beragama
2. Gadis (dara)
3. Perempuan yang tali persaudaraan yang rapat
4. Perempuan dari keturunan yang baik seperti anak orang yang soleh
CALON SUAMI
Imam al-ghazali berkata”bercermat memilih bakal suami itu penting kerana perempuan bila dikahwinkan bererti ia diikat dengan ikatan yang kukuh (kerana kuasa talak tiada ditangannya) . Berlainan dengan lelaki, bila-bila masa sahaja ianya boleh melepaskan perempuan (isteri)
Sifat-sifat suami
1. Beragama dan berakhlak
2. Mampu member nafkah zahir dan batin
3. Adil dan panjang akal
4. Bebas dari penyakit
RUKUN NIKAH
1. Calon suami
2. Calon isteri
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Shighah akad”ijab qabul”
SUSUNAN PARA WALI
1. Bapa
2. Datuk sebelah bapa dan keatas
3. Saudara lelaki yang seibu sebapa
4. Saudara lelaki sebelah sebapa
5. Anak saudara lelaki sebapa
6. Anak saudara lelaki seibu sebapa
7. Bapa saudara seibu sebapa
8. Bapa saudara sebapa
9. Anak bapa saudara seibu sebapa (sepupu)
10. Anak bapa saudara sebapa (sepupu)
11. Wali
SYARAT-SYARAT”AKAD IJAB”
Hendaklah dengan perkataan nikah atau tazwij (lafaz yang menunjukkan berlaku pernikahan) yang terang dan tepat.
Lafaz ijab yang tidak mengandungi perkataan yang menunjukkan perkahwinan itu tarhadap kepada waktunya. (tidak mempunyai batas usia perkahwinan, seperti dinikahkan hanya untuk tempoh tiga bulan dan selepas tiga bulan maka tamatlah pernikahan itu)
HUKUM-HUKUM MAS KAHWIN
• Sunat direndahkan, tidak terlalu mahal.
• Sunat disebut di dalam aqad.
• Sunat dijelaskan bayarannya sebelum dukhul (bersetubuh) .
• Sekiranya berlaku perceraian sebelum dukhul, maskahwin yang boleh dituntut hanya separuh daripada nilainya sahaja dan gugur yang separuh lagi.
• Sekiranya suami mati sebelum melakukan persetubuhan maka semua jumlah mas kahwin menjada pusaka kepada isteri.
• Sah mas kahwin daripada barang-barang yang berharga atau bernilai pada syara’.
SYARAT WAJIB HADIR KE MAJLIS KENDURI KAHWIN
• Jemputan tidak dikhususkan kepada orang kaya sahaja, bahkan si miskin diraikan.
• Yang menjemput kenduri beragama Islam.
• Yang dijemput juga beragama Islam.
• Kenduri itu tidak menerima jemputan bertembung, maka jemputan yang terdekat (sebagai ahli jkeluarga atau tempat) didahulukan.
• Di majlis itu tidak terdapat perkara-perkara yang mungkar dan maksiat, seperti ada minuman keras, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ajnabi, hiburan dan sebagainya.
Disediakan oleh: Radin Amir Affendy Bin Ahmad Aruani
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment