Friday, September 17, 2010

Dosa-Dosa Yang Sering Dilakukan Oleh Wanita

Pendahuluan
“ Tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia”, “pemudi tiang agama”, antara perumpamaan yang diberikan kepada wanita. Kini, wanita ingin bersaing dengan kaum lelaki. Bagaimanapun wanita wajib dibimbing, sehingga mengetahui semua perkara agar segala perbuatan mereka tidak melanggar landasan Islam.

Keburukan-keburukan dan dosa-dosa seringkali menguasai diri wanita. Inilah apa yang dikatakan Rasulullah SAW : “ aku memandang ke neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. ”

Kaum wanita sentiasa memerlukan berbagai kajian dan perbahasan yang menjelaskan kewajipan-kewajipan amalan mereka, hal-hal yang disunnahkan dan dimakruhkan bagi mereka, agar harapan kita semua berjaya, sehingga muncul gadis-gadis yang Mukminah, isteri yang solehah, atau ibu yang selalu mendidik anak-anaknya agar bertakwa kepada Allah.

Maka tidak salahlah saya yang juga bergelar wanita untuk menyajikan topik tentang dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan kesalahan-kesalahan wanita. Sebab kerana dosa-dosa kecil dan kesalahan ini akan dihisab di hadapan Allah pada hari kiamat.

Perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil merupakan masalah tersendiri dan menjadi topic perbahasan yang panjang di kalangan ahli fikah. Huraiannya telah disebutkan di dalam kitab-kitab mereka secara terperinci.

Tetapi, wanita Muslimah harus tahu, bahawa dosa kecil itu boleh diibaratkan satu titik hitam yang kecil di dalam hati. Tetapi lama-kelamaan semua hati boleh menjadi hitam, sehingga dosa kecil itu berubah menjadi dosa besar.


DOSA-DOSA BESAR, KECIL DAN KESALAHAN KAUM HAWA, WANITA.
•Kesalahan menggunakan benjana emas dan perak untuk makan dan minum
•Kesalahan persetubuhan semasa wanita haid
•Kesalahan wanita yang solat ketika haid
•Kesalahan mencabut kening, membuat tatu, menyambung rambut dan mengikir gigi
•Kesalahan wanita solat tanpa tudung kepala
•Kesalahan wanita dalam menjadi imam kepada lelaki
•Kesalahan wanita yang keluar dari rumah secara sendirian
•Kesalahan wanita yang menyerupai lelaki
•Kesalahan wanita berpakaian untuk tabaruj (berhias)
•Kesalahan wanita yang meratap tangis atas kematian
•Kesalahan isteri yang membelanjakan harta suami tanpa pengetahuannya
•Kesalahan wanita yang tidak mengeluarkan zakat perhiasan
•Kesalahan isteri yang kedekut kepada suaminya dan keluarganya
•Kesalahan isteri merelakan persetubuhan dengan suami pada bulan Ramadhan
•Kesalahan isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suami
•Kesalahan melakukan persetubuhan semasa menunaikan haji
•Kesalahan isteri melakukan ihram tanpa izin suami
•Kesalahan tawaf dalam keadaan tidak berpakaian
•Kesalahan memasak atau memakan makanan haram
•Kesalahan memakai pakaian untuk menyombong
•Kesalahan wanita memakai minyak wangi

i.
1.KESALAHAN BERKAITAN BEJANA

Adalah berdosa besar apabila makan atau minum dari bejana emas dan perak. Hal ini jelas dilihat melalui hadis-hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang yang makan dan minum di bejana emas dan perak, maka sebenarnya dia menyembunyikan api neraka Jahanam di dalam perutnya. ”

2.KESALAHAN MENYETUBUHI WANITA HAID
Sesetengah hadis mengatakan bahawa menyetubuhi wanita haid adalah perbuatan yang dilaknati Allah manakala menurut pendapat jamaah, hal ini dianggap dosa besar.
“ Barang siapa menyetubuhi wanita haid pada kemaluannya atau menyetubuhi wanita pada anusnya (dubur) atau mendatangi seorang dukun, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad. ”
Allah berfirman yang bermaksud :
“ Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah : ‘Haid itu adalah suatu kotoran. ’ Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada wanita pada waktu haid, dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurkanlah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri. ” ( Al-Baqarah :22 )
Kesimpulannya, adalah perlu untuk si isteri memberitahu suaminya sekiranya dia haid dan diajak untuk bersetubuh bagi mengelakkan dari suaminya itu menanggung dosa dan juga dirinya sendiri.

3.KESALAHAN WANITA HAID MENGERJAKAN SOLAT
Wanita haid yang mengerjakan solat dikira berdosa sebagaimana dia juga berdosa jika solat tanpa wuduk ketika suci dari haid. Dia juga berdosa jika solat pada ketika haid, meskipun sudah wuduk.

4.KESALAHAN MENCABUT KENING, MEMBUAT TATU, MENYAMBUNG RAMBUT DAN MENGIKIR GIGI
Golongan wanita yang dilaknati Allah dan berdosa besar adalah wanita yang merubah ciptaan Allah. Sebagai contoh :
a) Wanita yang menyambung rambutnya dengan rambut orang lain dan meminta agar rambutnya disambung
b) Wanita yang mencabut keningnya dan yang meminta agar keningnya dicabut
c) Wanita yang mentatu dan meminta agar di tatu
d) Wanita yang mengikir gigi dan meratakannya untuk kecantikan

5.KESALAHAN WANITA SOLAT TANPA TUDUNG DIKEPALANYA
Daripada Aisyah, sesungguhnya Nabi SAW berkata
“Allah tidak menerima solat wanita yang sudah haid (baligh), kecuali dengan mengenakan tudung kepala. ” ( Diriwayatkan Al-Khasah kecuali An-Nasa’y)
Hadis ini jelas mengenai harusnya wanita untuk menutupi kepalanya ketika solat. Ada pendapat yang mengatakan, menutupi kepala bagi wanita dalam solat bukanlah syarat kerana menutup aurat merupakan kewajipan sahaja. Namun pendapat ini hanya berdasarkan hujah fikah yang tidak kuat.
Terdapat satu persoalan mengenai permasalahan ini, “ Apakah menutup aurat merupakan syarat sahnya solat ataupun tidak?” Tidak dapat diragukan lagi, solat wanita dengan menggunakan tudung kepala merupakan adab yang bersifat umum. Dalam keadaan menghadap Allah dan melaksanakan salah satu rukun agama, dia lebih layak untuk mengenakan tudungnya dan tampil dalam keadaan yang paling baik.
Kesimpulannya, tutupilah auratmu wahai kaum hawa iaitu seluruh tubuhmu kecuali muka dan telapak tangan dalam menunaikan rukun agama, solat bagi memastikan solatmu diterima Allah.

6.KESALAHAN BERHUBUNG DENGAN KEIMAMAN WANITA
Jelas, bahawa wanita boleh menjadi imam bagi wanita lain samada bagi solat fardhu mahupun solat nafilah, sebagaimana pendapat Asy-Syafi’y Al-Auza’y, Ast-Thaury, Ahmad, Abu Hanifah dan jamaah ulama. Akan tetapi, secara mutlaknya, wanita tidak bolah menjadi imam kepada makmum lelaki. Jikalau sampai terjadi, ada wanita yang mengimamkan orang lelaki secara sengaja, maka dia telah melakukan dosa besar.

7.KESALAHAN WANITA KELUAR DARI RUMAH BERSENDIRIAN
“ Tidak diperbolehkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berpergian dengan perjalanan lebih tiga hari, kecuali dia bersama ayah, saudara, suami, anak atau muhrimnya. ”
“ Tidak diperbolehkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berpergian dengan jarak perjalanan sehari semalam kecuali bersama muhrimnya. ”
Berdasarkan dua hadis di atas, masalah ini sudah jelas kerana biasanya wanita yang keluar rumah berseorangan akan menimbulkan perbuatan cabul dan keji. Perbuatan ini juga boleh menjurus kepada perbuatan zina dan boleh menjadi bahan untuk tujuan-tujuan tertentu seperti fitnah.
Pengharaman wanita keluar bersendirian tidak hanya terbatas dengan apa yang disebutkan dalam hadis di atas. Pengharaman ini juga berlaku jika wanita itu pergi bersama-sama laki-laki selain muhrimnya, meskipun jaraknya tidak jauh dan ianya bertujuan mengerjakan amal ketaatan, seperti mengerjakan haji atau umrah.

8.KESALAHAN WANITA YANG MENYERUPAI LELAKI
Bukan sahaja Nabi SAW yang melaknati mereka yang merubah ciptaan Allah malahan Allah sendiri pun melaknati mereka seteruk-teruknya. Dapat disimpulkan di sini, penyerupaan ini termasuk dalam dosa-dosa besar yang sering kebanyakan wanita lakukan.

9.KESALAHAN MEMAKAI PAKAIAN UNTUK TABARUJ (BERHIAS)
Adalah berdosa besar wanita yang memakai pakaian yang bertujuan untuk tabaruj dan menonjolkan kecantikannya dan menjadi sombong. Sebagai contoh :
a) Menyelempangkan tudungnya bagi menampakkan perhiasan di kepala seperti rantai, anting-anting dan juga menampakkan lehernya.
b) Memakai perhiasan yang tidak nampak iaitu minyak wangi.
c) Memakai kain sutera ketika keluar rumah.
d) Meleretkan kainnya dan berlaku sombong.
e) Tidak memakai tudung kepala.
f) Tidak memakai pakaian dalam apabila memakai pakaian yang nipis dan jarang.
g) Menampakkan perhiasan batu di tudungnya.
Perbuatan tabaruj itu seperti perbuatan orang Jahiliyah yang terdahulu.

10.KESALAHAN MERATAP TANGIS
Wanita yang menangis sambil meraung-raung dan mengeluarkan kata-kata kecelakaan serta kutukan tidak tergolong dalam umat Nabi SAW berdasarkan hadis ini : “bukan termasuk golongan kami orang yang memukuli pipi, merobek-merobek saku”.
Wanita turut berdosa besar sekiranya meratap kematian ahli keluarganya. Perkara ini turut akan menyiksa jenazah di dalam kubur yang terpaksa menderita mendengar tangis keluarganya.
Orang yang telah mewasiatkan kematiannya perlu ditangisi turut dikira berdosa besar.
Tambahan pula, sekiranya seorang lelaki itu pergi berjihad di jalan Allah dan dia mati syahid. Lalu isterinya sengaja menangisi kematiannya kerana tidak tahu dan bodoh, nescaya dia akan diazab kerana dosa wanita yang bodoh (isterinya).
Meratap kematian juga tergolong dalam perbuatan yang menyebabkan kufur. Berdasarkan hadis :
“dua perkara dalam kehidupan manusia, yang kerana keduanya mereka boleh kufur, iaitu mencemarkan kehormatan keturunan dan meratapi orang yang meninggal. ”

11.KESALAHAN MEMBELANJAKAN HARTA SUAMI TANPA PENGETAHUANNYA
Seorang isteri yang menafkahkan harta suaminya dengan izin suaminya mereka berdua mendapat pahala. Manakala sekiranya isteri itu tidak mendapat izin suaminya, maka cuma suaminya sahaja yang mendapat pahala dan dia mendapat dosa kerana menggunakan harta suami tanpa pengetahuannya.

12.KESALAHAN TIDAK MENGELUARKAN ZAKAT PERHIASAN
Pada awal permulaan Islam, perhiasan dari emas dan perak diharamkan bagi para wanita. Maka dari itu harus dikeluarkan zakat. Namun kemudian perhiasan emas dan perak diperbolehkan. Untuk itu zakat harus dikeluarkan terhadap perhiasan yang berlebih dan yang disimpan.
Jadi, wanita yang tidak mengeluarkan zakat perhiasannya akan mendapat dosa. Maka dari itu wanita Muslimah harus memerhatikan zakat perhiasannya. Ini lebih baik untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai jalan menuju ketakwaan dan maghrifah.

13.SIFAT KEDEKUT ISTERI TERHADAP SUAMI DAN AHLI KELUARGANYA.
Seseorang wanita itu perlu memberi sedekah kepada kaum keluarganya yang bukan dibawah tanggunggannya. Sekiranya si isteri memiliki harta yang melimpah, sedangkan suaminya tidak memiliki apa-apa, maka isteri diseru agar tidak kedekut memberikan hartanya kepada suami.
Isteri boleh memberikan hartanya kepada suaminya, dengan beberapa pertimbangan :
i. Tidak ada dalil yang melarangnya
ii. Tindakan Nabi SAW yang menghentikan pemberian nafkah kepada isteri bersifat umum (samada wajib atau sunat)
Isteri yang tidak mahu memberikan zakat kepada suaminya menunjukkan kalau dirinya tidak mempunyai rasa malu dan keperibadiannya yang rendah. Maka dari itu, dirumuskan bahawa wanita yang kedekut terhadap suaminya adalah wanita yang berdosa, kerana dia telah menderhakai hisab terhadap dirinya di hadapan Allah.

14.KESALAHAN BERSETUBUH PADA BULAN PUASA, RAMADHAN.
Secara keseluruhannya, orang yang melakukan persetubuhan pada bulan Ramadhan harus mengeluarkan kafarat. Dengan kata lain, jika dia tidak membayar kafarat maka dia mendapat dosa besar, begitu pula keadaan isteri yang mengajak suami dan rela melakukan persetubuhan pada bulan Ramadhan. Seharusnya si isteri mengingatkannya dan menolak dengan cara halus. Jika dia dipaksa, maka hukumnya adalah hukum orang yang mendapat paksaan seperti hadis Nabi.

15.KESALAHAN BERPUASA SUNAT TANPA IZIN SUAMI
“Tidak diperbolehkan bagi wanita untuk puasa, sedangkan suaminya ada, kecuali dengan izinnya”
“Seorang wanita tidak boleh puasa, sedangkan suaminya ada pada suatu hari selain bulan Ramadhan, kecuali dengan izinnya. ”
Penerangan hadis :
• Suami menjadikan hadis di atas sebagai dalil melarang isterinya berpuasa nazar.
• Pengharaman kepada isteri berpuasasunat sedangkan suaminya berada di rumah.
• Seorang isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suaminya adalah berdosa.

16.KESALAHAN BERSETUBUH PADA WAKTU MENUNAIKAN HAJI
“orang yang sedang ihram tidak boleh menikah dan tidak boleh dinikahkan serta tidak boleh melamar”
Tidak dikatakan yang persetubuhan semasa haji merupakan kederhakaan ataupun dosa. Tetapi penolakan yang disebutkan di sini hanya sekadar untuk memperbaiki sahnya haji sebagai ibadah. Para ulama juga mengatakan, suami dan isteri yang melakukan persetubuhan perlulah membayar denda ataupun mengulangi semula haji. Hal ini adalah kerana, bagi menyedarkan kedua mereka bahawa kebinasaan itu tidak boleh dilakukan dan isteri harus menolaknya dengan cara yang halus permintaan suaminya.

17.KESALAHAN ISTERI YANG MELAKUKAN IHRAM TANPA IZIN SUAMI
Isteri yang pergi menunaikan haji (ihram) tanpa izin suami telah dikira berdosa besar seperti mana isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suaminya. Perkara ini memang tergolong dalam dosa besar kerana jangka masanya yang lama.

18.KESALAHAN TAWAF DALAM KEADAAN TELANJANG
“Pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid”
“Tidak boleh tawaf di Kaabah orang yang telanjang”
Sebelum Islam mewajibkan bersuci dan menutup aurat ketika beribadah, terdapat aturan bahawa sesiapa yang pertama kalinya ingin tawaf, maka dia hendaklah memakai satu pakaian dengan temannya dan sekiranya gagal, maka dia harus tawaf secara telanjang. Namun, perkara ini telah dibatalkan setelah kedatangan Islam
Jelaslah di sini, bahawa harus untuk bersuci dan menutup aurat ketika tawaf. Sekiranya tawaf dalam keadaan telanjang, ianya tindakan yang menyalahi hukum dan pelakunya mendapat dosa.

19.MEMASAK ATAU MEMAKAN MAKANAN YANG DIHARAMKAN ALLAH
Sudah menjadi tugas seorang wanita untuk memasak dan menyiapkan makanan. Namun sekiranya seseorang itu memasak makanan haram, makan atau mengusahakannya adalah berdosa besar kecuali kalau dia dipaksa.

20.KESALAHAN MEMAKAI PAKAIAN UNTUK MENYOMBONG
Wanita yang memakai pakaian bagi meninggi diri dan dipandang orang adalah wanita akan mendapat kehinaan dari Allah di akhirat. Begitu juga pakaian yang menarik warnanya walaupun ianya bersaiz besar selagi niatnya itu sama untuk menarik perhatian orang yang melihat.

21.KESALAHAN WANITA MEMAKAI WANGIAN
“ Wangian orang laki-laki adalah yang tercium baunya dan tidak nampak warnanya. Sedangkan wangian wanita adalah yang nampak warnanya dan tidak tercium baunya. ”
Hadis di atas adalah bagi wanita yang keluar dari rumahnya, namun sekiranya dia berada bersama suaminya di rumah, dia boleh mengenakan minyak wangi sesuka hatinya.
Mengenakan minyak wangi agar baunya dapat dicium laki-laki, sama dengan menampakkan dirinya dihadapan mereka dan meningkatkan berahi mereka. Maka tidak hairanlah jika wanita seperti ini disebut sebagai wanita penzina.

KESIMPULAN
Dosa-dosa kecil yang terus-menerus dilakukan boleh menjadi dosa besar dan kesaksiannya boleh dianggap cacat, sebagaimana yang ditegaskan oleh para ulama.
Ar-Rafi’y berkata : “ Rakan-rakan saya menganggap sikap peribadi seseorang boleh diterima jika dia menjauhi dosa besar. Jadi, siapa yang mengerjakan dosa besar, maka dia telah berbuat fasik dan kesaksiannya tidak boleh diterima. Sedangkan orang yang melakukan dosa kecil tidak disyaratkan untuk menolak kesaksiannya secara menyeluruh. Tetapi ada syarat, jika dia terus menerus melakukannya, maka statusnya seperti orang yang melakukan dosa besar.
Allah berfirman :“ Dan, bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. ” (An-Nur :31)
Ayat ini telah mengisytiharkan bahawa tidak mahu bertaubat merupakan kerugian yang amat besar. Maka dari itu, bertaubat kerana dosa besar adalah fardu ain, yang berdasarkan kepada nas al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama.

Sebagai mengakhiri tugasan ini, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pembaca-pembaca sekalian bahawa janganlah kita melakukan perkara yang tidak disukai Allah (dosa kecil) kerana sekiranya dilakukan berulang kali, maka berdosa besarlah kita dan perlulah kita untuk bertaubat.
Wassalam…


Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Nor Shafiqa Binti Husein

No comments:

Post a Comment