Friday, September 17, 2010

Adab Persahabatan Menjalin Kasih Sayang -

Assalamualaikum. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat juga saya menyiapkan karangan ini sepertimana yang ditugaskan kepada saya. Saya telah memilih tajuk Adab Persahabatan Menjalin Kasih Sayang. Buku ini merupakan hemah dan pandangan Hujatul Islam, Imam Ghazali, hasil susunan Abi Jauhar. Buku ini mengajar kita untuk menilai sebuah persahabatan dan ianya bukan diukur pada darjat, wang ringgit, harta dan seumpamanya. Sudah menjadi semacam mentaliti masyarakat abad ini: Ada wang ada kawan. Malah teringat kepada sebuah kata-kata hikmat: Teman ketawa senang dicari, kawan menangis seorang diri.

Walaupun pengalaman itu pahit untuk dikenang namun, kita tidak boleh pisahkan diri dari mereka (sahabat). Kerana pengalaman sejarah memberitahu, kejayaan Rasulullah SAW mendaulatkan Islam sehingga tertegak di tiga perempat dunia dengan bantuan dari para sahabat RA yang cinta dan kasih kepada baginda.

Jadi untuk kita mencapai kejayaan dalam hidup, tidak hanya di dunia mahupun di akhirat, Hujatul Islam, Imam Ghazali member garis panduan kepada kita sifat-sifat insan yang boleh dijadikan sebagai sahabat sejati.

Persahabatan tidak dapat dipisahkan melainkan dengan kematian. Walaupun begitu, ia masih kekal dalam ingatan yang pergi bersama diri yang bersahabat kea lam baqa’. Lihatlah bagaimana rindunya para kepada Rasulullah SAW. Seorang sahabat Rasulullah SAW. telah datang menemui baginda dan berkata:

“Wahai pesuruh Allah! Dikau adalah lebih berharga kepadaku dari nyawaku, harta kekayaanku dan keluargaku. Apabila aku berada di rumahku dan memikirkan keadaan engkau, timbullah perasaan gelisah di dalam hatiku, itulah sebab aku dating ke mari untuk menemuimu. Wahai Pesuruh Allah! Maut pasti dating menemui kita berdua. Sekiranya ditakdirkan tuan kembali ke alam berzakh, tuan pasti berada di tempat mulia sebagai seorang Nabi manakala daku berada di tempat yang lain di mana daku tidak dapat menemuimu. Daku merasa cemas dan gelisah apabila memikirkan tentang perpisahan denganmu…”

Rasulullah SAW. berdiam diri setelah mendengar ucapan itu, ia tidak tahu apa yang hendak diucapkan buat mententeramkan hati sahabatnya. Justeru itu Jibril dating dan menyampaikan wahyu berikut:

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-Nabi, para siddiqin, orang yang mati syahid, dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah kurniaan dari Allah yang Maha Mengetahui (pahalanya). ”

Dapat kita lihat disini, betapa kasihnya seorang sahabat kepada baginda Rasulullah SAW. Sebab itulah Rasulullah SAW mencari sahabat, bukan peminat, bukan penyokong dan bukan murid. Nilai sahabat lebih tinggi dari segala-galanya. Pelakon filem akan kehilangan peminat bila tidak popular lagi, guru akan kehilangan murid bila ilmunya telah habis disampaikan, pemimpin politik akan kehilangan penyokongnya bila kalah pilihanraya, tetapi seorang yang punya sahabat tidak akan kehilangan simpati, bantuan, nasihat dan doa dari sahabatnya walau dalam keadaan apa sekalipun. Malah hubungan mesra dan kasih sayang antara seorang dengan sahabatnya akan bertambah erat di saat genting.

Oleh kerana itulah Rasulullah SAW memanggil dengan gelaran sahabat, bukannya kawan, teman dan sebagainya kepada sahabat-sahabat baginda. Terdapat beberapa adab dalam persahabatan antaranya Kemuliaan Budi Pekerti, Jalinan Cinta Yang Hakiki, Memilih Sahabat, Hak Di Dalam Persahabatan, Adab Pergaulan Dengan Semua Peringkat Masyarakat, Hak Dan Adab Seorang Muslimin, Hak Dan Adab Berjiran serta, Hak Dan Adab Berkeluarga. Semua ini berada di bawah tajuk Adab Bersahabat. Saya juga turut menyelitkan panduan memilih sahabat sepertimana yang digariskan menurut Islam.

Pergaulan baik itu adalah buah daripada kemurnian budi pekerti, manakala perpecahan pula merupakan buah daripada kejelekan budipekerti. Maka kebaikan dan kemurnian budipekerti itu membuahkan sifat saling cinta mencintai, bersatu-padu antara satu dengan yang lain dan bersatu haluan. Budipekerti yang keji pula membuahkan sifat saling benci-membenci, dengki antara satu dengan yang lain dan bermusuh-musuhan.

Mengenai kemulian budipekerti ini, Allah SWT. telah memuji NabiNya alaihis-salam dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya engkau memilki budipekerti yang luhur. ”(Al-Qalam: 4)

Rasulullah SAW. telah bersabda dengan maksudnya:

“Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam syurga, ialah taqwa kepada Allah dan budipekertinya. ”

Sabdanya lagi yang membawa maksud:“Aku telah diutus untuk menyempurnakan kebaikan-kebaikan budi pekerti. ”

Dengan itu jelaslah kepada kita bahawa buah budipekerti yang baik menimbulkan rasa persaudaraan dan menghalang rasa kesepian jiwa. Dalam hal ini terdapat banyak huraian yang menyatakan kepujian terhadap sikap persaudaraan itu, terutama sekali bila yang menyebabkan jalinan itu, ialah taqwa atau agama ataupun cinta kepada Allah. Kepujian-kepujian itu terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran, Hadis-hadis Rasulullah SAW. , atau dasar para sahabat dan tabi’in, semuanya cukup dan lengkap.

Cinta yang hakiki yang didasarkan kerana Allah semata-mata ialah bila kita mencintai seseorang bukan kerana peribadinya, malah kerana kelebihan-kelebihannya yang bergantung kepada keakhiratannya. Misalnya cinta ini ialah: Seseorang yang mencintai gurunya, sebab menerusi guru itu ia akan memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki amalannya. Sedang tujuan utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang baik itu, ialah keselamatan diri di hari Akhirat. Inilah yang dikatakan antara contoh-contoh cinta kerana Allah semata-mata.

Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta kerana Allah dan dunia, seprti seorang yang mencintai guru yang mendidiknya, lalu ia pun menunaikan segala keperluan guru itu di dunia dengan wang dan sebagainya, maka ia dikira orang yang mencintai kerana Allah.

Seterusnya, bukanlah dari syarat-syarat cinta kerana Allah Ta’ala itu, ia mesti meninggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama sekali, sebab para Nabi salawatullhi alaihim, sering menyeru kita berdoa, agar Allah SWT. menyempurnakan kedua-dua keperluan dunia dan akhirat.

Bila kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi utuh, nescaya akan muncul dalam hatinya suka membantu dan menolong, serta mengutamakan orang lain dari diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya dari harta, jiwa dan nasihat yang baik.

Dengan itu disimpulkan, bahawasanya sesiapa yang mencintai seorang alim atau ‘abid, ataupun mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang yang sepanjang masanya beribadat atau membuat kebajikan, maka yakinlah bahawasanya ia mendapat ganjaran pahala dan kurnia dari Allah Ta’ala menurut kadar kekuatan cintanya itu.

Selain itu, di dalam hidup kita tidak semua manusia patut dijadikan sahabat. Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud:

“Seseorang itu atas agama (oerjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan. ”

Sahabat yang dipilih itu mestilah mempunyai beberapa sifat dan kelakuan yang istimewa, yang menyebabkan kita memilihnya untuk dijadikan rakan atau sahabat. Justeru itu hendaklah sahabat itu seorang yang waras fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik, dan tidak terlampau mementingkan hal-hal keduniaan.

Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
• Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
• Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
• Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
• Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
• Jika ia mendapat sesuatu kebaikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kabaikanmu.
• Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
• Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
• Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
• Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
• Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
• Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
• Jika kamu berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Demikian pesanan Alqama kepada puteranya dalam menggambarkan watak sahabat yang sejati.

Disini jelas menunjukkan bahawa Islam begitu menitikberatkan sahabat dalam kehidupan. Hal ini kerana tokoh terkenal seperti Alqamah turut mengajar puteranya dalam perkara memilih sahabat sejati.

Adapun bersahabat dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah semacam meminum racun yang membinasakan. Kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru dan mengikut sikap sahabat. Dan memang sudah ternyata, bahawa tabiat manusia selalu meniru tabiat rakannya tanda disedari oleh yang lain. Jadi bercampur gaul atau berkawan dengan orang yang amat mementingkan hal-hal kedunian semata-mata, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia. Begitu pula bercampu gaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau yang orang yang mementingkan hal-hal keakhiratan, akan menarik hati kepada cintakan kezahidan. Oleh itu dimakruhkan persahabatan dengan penagih dunia atau pencinta dunia, dan dianjurkan persahabatan dengan para ulama dan bijaksana dan cendekiawan.

Luqman memberikan nasihat kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Dampingilah para ulama dan hubungkanlah kedua lututmu dengan mereka, kerana hati akan menjadi hidup dengan diresapi hikmat, sebagaimana bumi yang mati itu akan hidup semula dengan diresapi air semula. ”

Sesungguhnya dalam menjalinkan persahabatan saudaramu itu terkandung bermacam-macam hak yang perlu kita tunaikan iaitu:
• Hak di bidang harta
• Hak memberikan pertolongan
• Hak memelihara lidah dan hati
• Hak memelihara ucapan
• Hak mendoakan
• Hak memberi maaf
• Hak menepati janji dan ikhlas diri
• Hak member kemudahan, meninggalkan bersusah-payah atau menyusahkan

Semua ini merupakan garisan dalam menjalinkan hubungan persahabatan. Hal ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan. Dalam menjalinkan hubungan persahabatan, hak-hak inilah yang wajar dititikberatkan. Sebagai contoh kita mengabaikan hak memelihara lidah dan hati, nescaya keakraban kita dengan sahabat kita akan pudar. Dalam menunaikan hak sahabat dalam memelihara lidah ialah dengan berdiam diri di suatu ketika dan berbicara di ketika yang lain.

Cara berdiam diri itu ialah tiada menyebut-nyebut keburukan-keburukan kawan di masa dia hadir di hadapan kita ataupun dia tiada. Malah jika kita tahu ada keburukannya, kita buat-buat tidak tahu saja, dan kalau ada orang yang menyebutnya, kita harus pura-pura tidak tahu, dan jangan sampai kita menambah-menambah pula atau membuka pintu perdebatan mengenai keburukan kawan itu. Dan jangan pula kita merisik-risik tentang kekurangan atau mengungkit-ungkit perihalnya.

Dapat kita gambarkan disini betapa pentingnya bagi seorang sahabat demi memelihara hak-hak berkaitan terhadap sahabatnya yang lain. Lihatlah betapa terperincinya Islam dalam menjaga dan menitikberatkan hubungan persahabatan.

Sekumpulan para pendita membuat kesimpulan dengan berkata: “Jika kamu inginkan pergaulan yang baik, maka hendaklah kamu memelihara tata-tertib berikut:
• Berikan keredhaan kamu kepada kawan dan musuh sama belaka. Tunjukkan kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah dirimu tanpa menghinakannya. Jadikanlah sikap kamu sederhana pada semua perkara, sebab terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya adalah sifat yang tercela.
• Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau berhingus, atau selalu menggeliat dan menguap di hadapan muka orang ramai dan di waktu sedang sembahyang atau sebagainya.
• Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan yang baik dari orang yang bercakap kepadamu, tanpa menunjukkan ketakjuban yang berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi percakapannya. Kalau percakapan itu mentertawakan, maka tahanlah tertawaanmu secepat mungkin.
• Jangan meniru cara-cara kaum wanita memperhiaskan dirinya , dan jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba sahaya.
• Jangan memberitahu isteri atau anak-anak, apatah lagi orang lain, tentang jumlah wang simpananmu. Sebab kalau mereka tahu simpanan itu sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup dengan pemberiaanmu. Jika kamu pandang perlu untuk menakut-nakutkan mereka. Lakukanlah tanpa kekerasan atau ancaman, dan jika kamu kira perlu mengangkat suara kerana sesuatu musibah atau bencana, jangan tunjukkan mereka sikap yang lemah.
• Sekali-kali jangan sampai kamu menganggap harta kekayaan kamu itu lebih mulia daripada harga diri kamu.

Meskipun kita sering menganggap remeh perkara-perkara ini, namun ianya memberikan impak yang besar dalam menjalinkan hubungan persahabatan. Masyarakat kini tidak mementingkan adab dan tata-tertib ini kerana mereka menganggap perkara ini telah lapuk dek kemajuan masa dan tidak perlu dititikberatkan.

Sebagai manusia yang hidup perlu bercampur-gaul dengan manusia yang sebangsa dengannya, maka oleh itu, tidak boleh tidak ia mesti mempelajari tata-tertib pergaulan mereka.

Setiap manusia yang bergaul dengan satu-satu golongan manusia, tentulah ada cara-caranya yang tertentu, dan cara-cara itu menurut kadar hak masing-masing, dan hak masing-masing menurut perhubungan. Perhubungan itu berlain-lainan pula samada dikeranakan kekeluargaan; iaitu perhubungan yang khusus, ataupun perhubungan dikeranakan persaudaraan Islam; iaitu perhubungan yang umum. Termasuk ke dalam maksud persaudaraan ini ialah perhubungan antara kawan dan kawan atau perhubungan persahabatan.

Perhubungan juga dikeranakan rakan tetangga, ataupun dikeranakan rakan pelayaran, rakan sepejabat, rakan setempat sekolah, ataupun dikeranakan persahabatan atau persaudaraan semata-mata, dan bagi setiap satu dari perhubungan-perhubungan ini mempunyai darjat masing-masing.

Sebagai seorang muslim, kita juga mempunyai hak tertentu terhadap mana-mana individu muslim bergelar sahabat contohnya, mula-mula hendak engkau member salam kepadanya, setiap kali bertemu dengannya. Bila ia mengundangmu, hendaklah engkau mengabulkannya. Bila ia bersin, engkau mendoakannya dengan yarkamukallah (moga-moga Tuhan merahmatimu). Bila sakit, engkau menziarahinya. Bila mati, engkau hadiri jenazahnya. Bila bersumpah, engkau tunaikan (penuhi) sumpahnya. Bila meminta nasihat, engkau menasihatinya. Bila ia tidak ada, engkau memelihara nama baiknya. Selain itu, hendaklah engkau mencintainya, sebagaimana engkau mencintai dirimu sendiri, ataupun engkau membencinya, sebagaimana engkau membenci dirimu sendiri juga.

Jiran tetangga juga mempunyai hak-hak yang lain sesudah hak-hak yang dipunyai oleh persaudaraan dalam Islam. Seorang tetangga Muslim mendapat hak-hak yang sama seperti Muslim yang lain, ditambah pula dengan hak kejiranan. Nabi SAW bersabda dalam menentukan hak jiran:
“Jiran atau tetangga itu ada tiga macamnya. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak, dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran muslim yang berkerabat, maka baginya hak ketetanggaan, hak keislaman dan hak kekerabatan. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran Muslim yang mempunyai hak ketetanggaan dan hak keislaman. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik. ”

Perhatikanlah bagaimana Islam telah menetapkan bagi seorang musyrik haknya, hanya kerana ia menjadi tetangga kepada seorang Muslim saja. Rasulullah SAW. telah bersabda lagi yang bermaksud:

“Berbuat baiklah terhadap jiran yang bertetangga denganmu, nescaya engkau menjadi seorang Muslim (yang sejati). ”
• Hendaklah anda memulakan member salam kepadanya.
• Menziarahinya bila ia sakit, dan menziarahi bila ia mati. Sama-sama merasakan kesusahan bila ia ada kematian di rumahnya, dan menunjukkan rasa gembira bila ia kesukaan pula.
• Memaafkan segala kesalahan dan kekhilafannya.
• Tiada menyempitkan perasaannya, umpamanya dengan meletakkan kayu pada dinding rumahnya.
• Tiada menujukan pandanganmu kepada apa-apa yang dibawa kedalam rumahnya.
• Meringankan dirinya dari menanggung malapetaka yang menimpanya.
• Jangn lalai memerhatikan rumahnya dimasa-masa ia tiada dirumah.
• Jangan terpedaya dengan kata-kata orang terhadapnya.
• Selalu bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan ucapan yang baik-baik.

Demikianlah himpunan hak-hak yang kami sebutkan, yang patut ditunaikan terhadap seumum kaum muslimin.

Dapat kita lihat disini, betapa Islam mengajar umatnya dengan begitu terperinci sehinggakan menyentuh hak-hak kehidupan Muslim. Dapat kita simpulkan disini bahawa hubungan persahatan yang terjalin begitu indah sekali dan ianya meliputi segala aspek kehidupan.

Semoga apa yang saya huraikan disini dapat diambil sebagai iktibar dan panduan dalam hidup kita, Insyaallah. Apa yang baik datangnya dari Allah SWT dan apa yang kurang dating dari kelemahan saya sendiri. Sekian terima kasih.

Disediakan oleh: Moahammad Asyraf Bin Abdul


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment