Mukadimah
Memperkatakan Tajuk ; Kepentingannya Di peringkat global, dialog telah menjadi penting setelah berlakunya beberapa peristiwa bersejarah yang di antaranya termasuklah teori”Clash of Civilisation”, Samuel Huntington sekitar 1996 yang ada hubungan dengan berakhirnya perang dingin di antara US dan Russia serta robohnya tembok Berlin. Ketika itu ada pihak yang merasakan Amerika mungkin menghadapi ancaman”musuh”yang baru dikenal pasti sebagai berasal dari tamadun-tamadun seperti tamadun Islam dan Cina (the green and yellow peril). lni di tambah lagi dengan peristiwa-peristiwa tragis seperti peristiwa September 11 yang begitu masyhur itu dan juga situasi global di mana pelbagai masyaraka di merata tempat telah menjadi bertambah berbilang kaum, kepercayaan dan tamadun.
Rata-rata telah diterima bahawa hari ini dialog yang membuahkan persefahaman merupakan prasyarat pembinaan hubungan yang saksama antara pelbagai peradaban. Dialog memungkinkan perbezaan dan persamaan diperjelaskan dan dihormati. Namun suatu perkara yang amat kritikal di dalam dialog ialah setiap pihak yang berdialog perlulah memahami diri dan golonganya terlebih dahulu di dalam semua dimensi yang ingin didialogkan dengan sebaik-baiknya. Dengan lain perkataan wujud adab (etiquette) mahu pun etika berdialog.
Di Malaysia dialog peradaban amat perlu bukan hanya sebagai wahana dasar tamadun Malaysia boleh disepakati mahu pun dihayati, malahan apa yang lebih penting lagi bagi kesinambungan tamadun Malaysia keseluruhannya demi membina tapak atau asas nilai spiritual yang kukuh untuk memastikan pembangunan dan kemajuan material yang begitu pantas berlaku, tidak meminggirkan keperluan”pembangunan insan”yang merupakan tujuan akhir segala pembangunan material-fizikal tersebut.
Budaya dialog amat perlu disuburkan dalam konteks negara kita untuk memperkukuhkan jalinan perpaduan negara dan integrasi nasional yang menupakan kunci kelangsungan dan kemapanan negara seperti yang kita fahami hari ini.
Walaupun secara umumnya, kita bertuah di Malaysia kerana tidak mengalami konflik perkauman atau konflik ideologi yang membimbangkan, namun beberapa peristiwa yang boleh dianggap serius seperli konflik kampung Medan mengingatkan kita bahawa mendasari hubungan baik antara budaya adalah juga isu keadilan sosial dan ekonomi. Di dalam konteks inilah saya kira amat penting isu nilai-nilai teras tamadun diberi perhatian untuk memastikan keadilan ekonomi bagi mereka yang mungkin tercicir atau dilihat seolah-olah dicicirkan.
Di dalam makalah ini seterusnya kita akan member tumpuan kepada soal memperdalamkan apresiasi kita tentang soal”peradaban”itu sendiri, apakah dialog sebenarnya dan apakah faktor-faktor yang berkaitan dengan kegagalan mahupun kejayaannya; situasi dialog di Malaysia serta peranan negara di persada global dan akhirnya peranan dialog di dalam proses pemartabatan bangsa atau umat melalui pemartabatan unsur-unsur teras tamadun di dalam negara Malaysia.
Kepentingan Ilmu Ketamadunan Hari ini
Kenapakah ilmu tentang ketamadunan penting hari ini dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu ke arah pembinaan dan kejayaannya dan juga sebaliknya. Apakah perkara-perkara yang boleh membawa kepada keruntuhannya? Ilmu tentang ketamadunan menjadi penting kerana manusia dewasa ini sedang berada di persimpangan jalan. Kejayaan fizikal yang begitu tinggi melalui sains dan teknologi malangnya telah diiringi oleh falsafah dan pandangan semesta atau world-view yang melihat hanya yang material itu wujud, penting dan beroperasi di dalam kehidupan. Secara mudah dapat digambarkan bahawa gerakan Enlightenment dan falsafah scientism di Barat telah mempengaruhi sistem-sistem pemikiran moden sehingga apa yang dapat dilihat hari ini adalah peminggiran nilai-nilai murni yang menjamin hubungan baik yang diperlukan antara manusia sesama manusia, manusia dan persekitarannya atau environmentnya yang pula banyak bergantung kepada hubungan manusia dengan Tuhannya.
Justeru, walaupun kelahiran sesebuah tamadun itu banyak bergantung kepada kedudukannya yang strategik dari segi perolehan sumber-sumber semulajadi, dan lokasi geografi (kemunculan tamadun Cina di lembah Huang-Ho dan Yang Tsi, tamadun India di Lembah Ganges dan Brahmaputra, tamadun Mesopotamia di Lembah Tigris dan Euphrates, tamadun Mesir di Lembah Nil dan Tamadun Melaka di pinggiran Selat Melaka); hakikatnya ialah kemunculan sesebuah tamadun banyak berkaitan dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian.
Ajaran agama dan amalan rohani sebenarnya mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci yang menghasilkan kehidupan yang bertamadun.
Kajian menunjukkan bahawa hanya apabila sesebuah masyarakat menghayati kehidupan berlandaskan nilai-nilai spiritual yang mempunyai manifestasi sosial dan fizikal, baharulah ia akan dapat membangunkan kehidupan seimbang yang merupakan resipi kepada kesempurnaan kemanusiaan dan keharmonian serta ketinggian budaya. Kemunculan tamadun Islam yang telah mencapai tahap”golden age”nya itu misalnya adalah dipengaruhi oleh ransangan nilai dan penghayatan cara hidup Islam bersumberkan risalah wahyu.
Dengan berasaskan prinsip-prinsip kespiritualan yang jitu tersebut, sesebuah masyarakat akan mampu melahirkan sebuah tamadun atau peradaban oleh kerana penghayatan moral dan akhlak yang terpuji yang termasuk di dalamnya kecintaan kepada ilmu, ketekunan, kerajinan, semangat berdisiplin dan kekreatifan. Nilai-nilai murni yang wujud pada pemimpin pula sudah pasti menggalakkan kepimpinan yang berhemah, bertanggungjawab dan jujur yang mendorong rakyatnya berganding bahu membangunkan negara atau tamadun. Penghayatan nilai-nilai murni telah ditekankan oleh tokoh-tokoh utama di dalam pelbagai tamadun seperti Lao Tse, Kung Fu Tze dalam tamadun Cina, Kautilya dan Sambara dalam tamadun India, serta al-Farabi, al-Mawardi, aI-Ghazali dan lbn Khaldun dalam tamadun Islam.
Sebaliknya para sarjana sependapat bahawa kemerosotan sesebuah tamadun bukanlah disebabkan oleh hukum sejarah semata-mata. Kemerosotan, apatah lagi kejatuhan sesebuah tamadun boleh dielakkan sekiranya faktor-faktor berikut boleh dibendung mahu pun dielakkan terus:
a) Ketidakadilan yang membiarkan jurang perbezaan yang begitu ketara di antara golongan kaya dan miskin seperti yang berlaku di penghujung tamadun Rom kurun 4 Masehi.
b) Penindasan dan kezaliman berleluasa; system ketatanegaraan dan perundangan tidak dihormati dan dicabuli.
c) Keruntuhan moral dan nilai di semua peringkat di dalam masyarakat yang menandakan musnahnya penghayatan budi pekerti yang murni.
d) Sikap tertutup dan tidak mahu belajar dari orang lain dan tidak mahu menerima perubahan terutamanya dari segi perubahan teknologi mahu pun struktur politik, ekonomi dan sosial. Sikap tertutup ini boleh mencacatkan daya kreativiti dan inovasi sesebuah masyarakat tersebut.
e) Malapetaka atau bencana yang mengakibatkan kerosakan secara besar-besaran yang merupakan satu faktor yang di luar kawalan manusia.
Pengertian Dialog Dan Perkara-perkara Yang Berkaitan Dengannya
Dialog ialah sebuah komunikasi dua hala antara individu (pihak) yang mempunyai pegangan atau pandangan yang berbeza mengenai sesuatu subjek atau perkara yang tertentu, dengan tujuan ingin mencapai kebenaran yang bertambah lagi. Mungkin takrifan ini kelihatan mudah dan tidak diperlukan. Anggapan ini tidak tepat kerana di dalam banyak situasi yang mungkin merupakan suatu dialog, dialog sebenarnya tidak berlaku kerana ada pihak yang menganggap dirinya sudah pun mempunyai penyelesaian mahu pun kebenaran mutlak mengenai perkara yang ingin didialogkan dan apa yang dia inginkan daripada rakan dialognya hanyalah penerimaan semata-mata.
Hari ini pakar bidang ini menggelarkan zaman ini sebagai Zaman Dialog (The Age of Dialogue yang menggantikan Zaman Monolog yang telah pun berlalu). Pertukaran ini berlaku lantaran berlakunya anjakan paradigma yang diakibatkan oleh perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat. Dalam konteks Barat juga dialog telah menjadi satu keperluan baru akibat kesedaran yang muncul mengenai betapa pelbagainya masyarakat manusia di dunia ini dari segi geografi, budaya dan agama. Dan seperti yang telah dijelaskan, kesedaran mengenai kepelbagaian ini berlaku oleh kenana berkembangnya teknologi ICT dan teknologi transportasi misalnya yang membuatkan dunia semakin kecil.
Dari perspektif lain pula, contohnya dari sudut pandangan kita di dunia kepulauan Melayu ini, dialog yang berlaku hasil atau kerana pertembungan bangsa Melayu dengan yang lain telah berlaku melalui perdagangan khasnya, untuk sekian lama. Oleh itu sepatutnya kemahiran berdialog yang baik dan berhemah telah sebati dengan masyarakat kita. Namun dalam masyarakat kita hari ini, dialog antara peradaban tidak dilihat sebagai sesuatu yang menjadi keutamaan sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk dialog menjadi mekanisme perpaduan yang berkesan, di antara lain kita memerlukan pendedahan ilmiah untuk memungkinkan kita membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tamadun masing-masing. Penilaian yang tepat ini bukan hanya akan membantu kita meneruskan perasaan muhibbah antara tamadun sekalipun kita mengakui wujud perbezaan ketara antara kita, tetapi juga dapat membantu memapankan konsep atau pun realiti perlembagaan Negara sebagai teras Tamadun Malaysia misalnya. Adalah merupakan tanggungjawab untuk pihak yang mampu
untuk membei kesedaran dan assurance kepada yang kurang jelas tentang betapa idea teras tamadun itu adalah sesuatu yang positif bagi semua pihak. Di sinilah peri pentingnya dialog melalui mana kita boleh membincangkan perkara-perkara yang boleh atau perlu disepakati atau sebaliknya.
Saya juga merasakan bahawa idea nilai teras dan tamadun Malaysia itu perlu dihayati bukan melalui stance atau pendekatan yang apologetic mahu pun defensive tetapi melalui pendekatan yang fitrah yang menekankan yang baik dan yang indah (ihsan) dan berasaskan fakta sejarah dan reality kehidupan, keadaan dan sifat negara kita yang sebenarnya. Melalui dialog, orang Melayu khasnya boleh memanfaatkan keadaan di mana tamadun-tamadun yang diwarisi rakyat Malaysia banyak mempunyal persamaan dari segi adab dan kehidupan beradab, manusia dan kemanusiaan, kepentingan alam tabii atau environment/dan keperluan hidup berharmoni dengannya.
Generasi hari ini mungkin telah banyak melupai pelbagai hikmah dan peninggalan tamadun kita sehingga kadangkala kita merasakan kehidupan kita sudah kehilangan paksi dan arah tuju. Oleh kerana itu cara mengembalikan atau mencungkil semula khazanah tamadun ini perlulah dipergiatkan dan dialog adalah mekanisme utama proses tersebut.
Sesebuah tamadun sebenarnya menanami (cultivates)”kewujudan kolektif/bersama”, suatu”kekitaan”, satu”collective way of being”, a”we”. Lebih tepat lagi ia menanam subur”tanah”bagi kehidupan yang”kita”itu ternyata dalam tradisi, praktik dan bahan-bahan kelompok yang dipunyai bersama.
Dialog bukanlah hanya negosiasi atau pun polemik, di mana (mengikut Foulcult) ahli polemik itu mungkin menganggap”rakan dialog”sebagai pihak yang salah yang kewujudannya di anggap ancaman.
Tugas atau tujuan ahli polemik bukanlah untuk mendengarkan kebenaran yang berkemungkinan pahit untuk diterima tetapi kemenangan wadah yang difikirkannya sedang diperjuangkan.
Dialogue dalam Bahasa lnggeris berasal daripada dia (memberikan cahaya kepada sesuatu/ shedding light on something) melalui apa yang diperkatakan (logos/word), mengeluarkan sesuatu yang tersorok atau tersirat, iaitu asas/hakikat kepada apa yang sebenarnya wujud di waktu ini yang sebenarnya bersifat hakiki dan yang mutlak. Dengan lain perkataan, dialog adalah cara bagi kita mensuratkan yang tersirat.
Idea dan hakikat sejarah, budaya dan alam sekitar, misalnya, (dalam konteks menghujahkan perlembagaan negara dan ciri-ciri permuafakatan dan kerukunan sebagai teras tamadun Malaysia) tidak akan mempunyai apa-apa realiti dan impak dengan sendiri kerana semuanya itu perlu diperlogoskan atau didialogkan.
Dialog cuba menghadirkan sepenuhnya perkara-perkara/ nilai-nilai/hakikat-hakikat tamadun Malaysia untuk anda dan untuk saya, untuk kita. Tujuan dialog adalah untuk menyatakan (to shed light upon) sesuatu, untuk menjelaskannya (to clarify) dan menghadirkan perkara tersebut di dalam kewujudan yang sepenuhnya.
Tujuan Dialog
Dalam konteks tamadun Malaysia, dialog antara budaya/ peradaban bertujuan untuk menjelaskan asas-asas kewujudan budaya (the foundation of the way of being of the participating cultures) yang mengambil bahagian di dalam pembinaan tamadun Malaysia tersebut — cara mereka menanam subur cara hidup kolektif mereka —supaya di dalam proses pemanifestasian”asas- asas”tersebut, kita dapat menemui asasasas kemanusiaan yang sejagat yang merentasi batas- batas budaya yang tertentu agar dapat di lalui rasa”kebersamaan”kita di peringkat tamadun Malaysia yang diperkatakan itu. Apakah dialog seperti ini berkemungkinan berlaku?
Bagaimana Membudayakan Dialog? Bentuk dan Praktik Dialog Di Malaysia
Sehingga kini dan mulai tahun-tahun 1980an misalnya memang sudah ada pihak-pihak yang telah memulakan usaha-usaha konkrit untuk mengadakan dialog; contohnya, dialog antara penganut-penganut pelbagai agama di dalam negara kita. Di peringkat elit, kemajuan dialog telah tercapai kerana ia melibatkan sarjana, pakar agama dan cendekiawan. Namun di samping hasil daripada dialog-dialog ini memerlukan perlaksanaan strategi-strategi yang tertentu, perlu juga dialog berlaku diperingkat yang lebih awam. Untuk kita mempunyai lebih banyak lagi pilihan mungkin elok kita memahami bentukbentuk dan jenis-jenis dialog yang boleh dilaksanakan.
Namun sebelum kita menjelaskan contoh-contoh ini mari kita pelajari sesuatu dari pengalaman dunia Barat/masyarakat liberal. Jika kita melihat tulisan-tulisan yang terkini di Barat tentang dialog peradaban, menurut Lopez-Garay misalnya walau pun tamadun Barat menginginkan”a new and more just global order”namun sistem-sistem sosial yang sedia ada dalam tamadun tersebut sebenarnya merupakan batu penghalang kepada idealism tersebut. Kenapa? Sebabnya adalah masyarakat liberal menganggap manusia digerakkan oleh idea”the rootless man”atau pun”the schizophrenic man”. lndividu yang sebegini jelas Lopez-Garay lagi, di dalam kehidupan awamnya menganjurkan ia groundless, iaitu tidak berpaksi kepada sebarang world-view atau falsafah hidup yang tertentu (amoral). Namun di dalam kehidupan peribadi (privatenya) individu tersebut ada mempunyai pandangan yang moral dan keagamaan.
Kerana itulah juga kebanyakan masyarakat Barat mahu menyokong masyarakat yang akan menjaga”kebebasan”ini yang begitu dinilai tinggi oleh masyarakat Barat. Sebagai akibatnya, dialog menjadi”non-essential”atau tidak penting kepada manusia, dan kerana itu juga negosiasi dan polemic mengambil tempatnya. Dengan cara yang sama juga sahabat kepada dialog, iaitu meta naratif dianggap tidak perlu! Perasaan”bebas”dan segala-galanya ini digambarkan oleh ekspresi berikut misalnya”What is the big fuss about not seeing man grounded in a culture, in a history, in a meta- narative? There is nothing like the freedom of not being attached to any tradition or culture…, nothing like the feelIng of owing one‟s existence to no thing but oneself; nothing like finding meaning to one‟s existence in one‟s self only!”
Dalam konteks wacana tamadun Malaysia satu pengajaran yang sangat berguna yang boleh kita manfaatkan bersama adalah betapa perlunya meta-naratif yang meliputi jawapan kepada soalan „how ought I to act‟ (“bagaimana harus saya bertindak”) dalam konteks”yang tersendiri”mahupun kolektif dan juga jawapan kepada persoalan sejarah (spatio-temporal), soal”historical becoming”kita iaitu dari mana asal usul kita, ke mana kita dan di mana kita sekarang. Sehingga kurun ke-19 tamadun Barat masih memahami makna kehidupan mereka secara individu dan kolektif mengikut kerangka naratif tamadun mereka, tetapi semakin kesan zaman Enlightenment dan falsafah kebendaan bertambah kukuh, fenomena the”groundless man”telah mengambil alih. Dalam konteks kita di Malaysia, kita amat bertuah kerana mempunyai meta- naratif yang kuat. Kita perlu mengembalikan meta-naratif ini dan menyesuaikannya dengan kedaan kita di Malaysia; contoh usaha ini ialah kursus TITAS. Rumusan dialog kita nanti bukan hanya akan menguntungkan kita bahkan juga amat dinantikan oleh Barat kerana mereka juga telah membuat analisis dan mendapati”Narratives were the fundamental ground where our humanity was rooted”. Meta naratiflah yang mengandungi di dalamnya ideal-ideal di atas mana tamadun itu terbangun. Meta naratif ini juga yang terzahir di dalam kesenian yang begitu pelbagai manifestasinya seperti di dalam bahasa berbentuk pantun misalnya.
Apa tanda Melayu bijak,
Hatinya suci ikhlasnya nampak
Berkorban tidak Iayak lagak melagak
Apa tanda Melayu budiman,
Tulus ikhlas sesama insan
Menolong umat mau berkorban
Hidup matinya pada kebajikan
Seterusnya di jelaskan bentuk/jenis dialog yang boleh diadakan:
Dialog Kehidupan Seharian
Di dalam kehidupan seharian masyarakat pelbagai kaum dan agama saling memperkaya fahaman masing-masing dengan mempraktikkan nilai-nilai peradaban dan tradisi mereka melalui proses bekerjasama, berkomunikasi dan hidup bersamasama di dalam konteks pekerjaan, sekolah, penggunaan hospital transportasi awam dan lain-lain.
Dialog Kemasyarakatan
Di sini „dialog‟ lebih berbentuk praktikal melalui perlaksanaan sesuatu kerja atau tugas secara bersama-sama. Para pendialog disatukan oleh matlamat sepunya yang ingin dicapai walaupun mereka mempunyai latarbelakang yang berbeza. Sebagai contoh kerja-kerja ini mungkin berbentuk projek mengutip derma mangsa bencana alam seperti malapetaka tsunami atau projek menghapuskan kemiskinan, di mana motivasi membuat sumbangan tidak perlu penghuraian secara „race-specific‟ arau „religion-specific‟. Projek menyelesaikan masalah sebegini juga sememangnya merupakan permulaan yang baik bagi dialog peradaban bermula dan memberikan dialog motivasi yang mampan.
Prinsip-Prinsip Dialog
Untuk memastikan dialog, khasnya yang bermotifkan perpaduan berasaskan kefahaman yang tulen, mungkin baik sekiranya beberapa”prinsip membimbing”yang harus diambilkira difahami terlebih dahulu.
a. Sebab utama dialog diadakan ialah untuk kedua-dua pihak mempelajari sesuatu, dan sesudah
itu melalui atau mengalami perubahan ke arah kebaikan yang bertambah lagi dalam konteks
situasi yang dihadapi.
b. Dialog khasnya dialog peradaban mestilah merupakan projek yang bermanfaat kepada kedua
buah pihak yang terlibat dan ia boleh berlaku secara „intra‟dan juga inter peradaban.
c. Setiap peserta dialog perlulah hadir dalam keadaan yang ikhlas.
d. Setiap peserta mestilah boleh atau berupaya mendefinisikqn world-view dan pandangan
(kepercayaan-kepercayaan dan nilai-nilai) yang dipegangnya dengan jelas
e. Peserta dialog mestilah cuba memahami persepsi dan pengalaman rakan dialognya
f. Peserta dialog mestilah bersifat kritikal secara minima terhadap interpretasinya terhadap
tradisi orang lain
g. Peserta dialog perlulah tidak mempunyai pra-andaian yang tidak boleh diubah lagi tentang
apakah perkara-perkara yang tidak akan dipersetujui.
Daripada prinsip ini kita mungkin dapat memahami, kenapa atau bagaimana secara idealnya
dialog dikatakan sebagai:
✓ Pertemuan di antara hati dan fikiran
✓ Pengalaman berjalan bersama di dalam projek-perojek yang dianggap penting bagi kedua
pihak
✓ Bukan suatu debat di mana ada yang kalah atau yang menang
Di samping kita memahami prinsip-prinsip dan „makna‟ dialog itu, ada juga pengkaji dan pengamal dialog yang bercakap tentang etika dan etiquette berdialog. Contohnya semasa berdialog perlulah sistem kepercayaan dan cara beramal pihak-pihak yang terlibat dihormati. Dialog bukanlah peluang atau tempat „agama‟ diubahsuai atau dikritik. Aspek atau peradaban yang bersabit dengan articles of faith tidak boleh disentuh di dalam dialog. Di dalam agama, ini disebut sebagai dimensi yang intra-personal. Apa yang boleh disentuh mungkin ialah dimensi inter-personal atau pun dimensi sosial sesebuah agama itu (contohnya yang berkaitan dengan isu keadilan, simpati kepada mereka yang tertindas, kekeluargaan dan lain-lain). Etika dan etiquette berdialog juga menganjurkan sikap bersetuju untuk tidak bersetuju, menghormati perbezaan, menghargai ketidakbolehan pihak-pihak tertentu untuk menerima sesuatu pandangan, keikhlasan, simpati dan empati, kesabaran dan alertness (kepantasan memahami sesuatu).
Halangan Kepada Dialog
Untuk memastikan dialog berupaya dijalankan dengan baik amat penting juga halangan-halangan kepada dialog difahami. Di antara halangan-halangan ini termasuklah faktor-faktor berikut: Conversion atau fenomena bertukar agama. Ramai orang beranggapan bahawa dialog tidak wajar diadakan kerana ia boleh mengakibatkan pendialog mengubah agamanya. Rasa rendah diri (inferiority complex) - perasaan rasa rendah diri dan tidak bersedia untuk berdialog membuatkan ramai orang tidak bersedia untuk berdialog. Innuendo sosial — perasaan tidak senang apabila di kalangan penganut yang sama akan ada pihak-pihak yang mempersoalkan ketulenan iman seseorang itu terhadap agamanya sekiranya ia berbaik-baik dengan penganut agama atau peradaban lain.
Syak wasangka - sering wujud rasa curiga terhadap para penganjur dan pendialog terhadap tujuan dialog diadakan.
Jelaslah betapa halangan-halangan ini akan dapat diatasi sekiranya etika berdialog diamalkan, iaitu dengan setiap agama dan peradaban dihormati dan ciri-ciri dan prinsip-prinsip agama atau peradaban tersebut tidak dijadikan bahan untuk dinegosisasikan. Di sini mungkin kita boleh mengandaikan di dalam konteks masyarakat kini bahawa penghormatan terhadap tamadun teras/asal juga dijadikan salah satu prinsip ini.
Situasi Dialog Di Malaysia Dan Di Peringkat Global
Di peringkat global bolehlah dikatakan bahawa semangat dan praktik dialog sebenarnya telah banyak dibangkitkan oleh masyarakat Islam sebagai contoh. Pada tahun 1999 misalnya di dalam The Islamic Symposium on Dialogue, negara-negara OlC telah menerbitkan sebuah deklarasi mengenai dialog peradaban. Deklarasi ini telah diterima pula sebagai satu resolusi semasa Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (53/22) yang telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban Sedunia. Di antara lain deklarasi yang dikemukakan ke persada dunia oleh negara-negara Islam ini telah dipandu oleh ajaran-ajaran dan nilai-nilai agama Islam mengenai dignity manusia, keadilan, toleransi, meraikan kepelbagaian umat manusia serta peningkatan dialog ke arah kesalingfahaman berdasarkan sifat saling menghormati.
Perisytiharan ini amatlah berkaitan dengan surah Al- Hujurat (49):13 misalnya:”Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. ”
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa berdialog adalah satu”tanggungjawab”bagi orang-orang Malaysia hari ini. Memahami hakikat ini YAB Perdana Menteri kita telah menekankan betapa penting dan perlunya diadakan Dialog Antarabangsa sebagai satu-satunya jalan mencari keamanan di dalam dunia yang dipenuhi kebencian, kecurigaan dan keganasan khususnya selepas peristiwa September 11 tahun 2001. Beliau menekankan bahawa hanya melalui dialog akan dapat ditanamkan rasa penghargaan, pemahaman dan penerimaan yang sebenar akan hakikat pelbagainya peradaban, budaya dan agama di dunia ini di samping sebab- sebab sebenarnya terorisme wujud. Sekaligus dialog ini juga akan dapat menyanggah teori”Clash of Civilisations”Samuel Huntington tersebut. Mesej ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri di dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB yang ke-59 (2004) yang lalu, dan juga baru-baru ini semasa beliau melawat Sepanyol (Januari 2007).
Sebelum itu di dalam ucapannya yang lain (2004) di Oxford Centre of Islamic Studies, Perdana Menteri telah juga menawarkan Kuala Lumpur sebagai „pusat‟ dialog peradaban antarabangsa. Secara intra-peradaban, gagasan Islam Hadhari YAB pula boleh dilihat sebagai satu usaha tulen dan konkrit ke arah penyatuan, perpaduan dan pengukuhan tamadun dalam konteks peradaban Tamadun Malaysia.
Dengan itu satu aspek dialog „intra‟-peradaban Malaysia hari ini ialah usaha mengadakan berbagai seminar dan bengkel menjelaskan gagasan Islam Hadhari misalnya. Dengan mengambil contoh daripada pucuk pimpinan kita, kita dapat melihat pelbagai pihak di dalam negara telah mengatur langkah dan menjalankan program bagi menjayakan cita-cita murni tersebut. Secara tidak langsung, hal ini dapat meningkatkan penghormatan terhadap konsep teras tamadun Malaysia.
Di antara pihak yang banyak menjalankan usaha dialog termasuklah INMIND, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Akademi Pengajian Peradaban, Institut Kefahaman Islam, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Malaysian Interfaith Network dan beberapa jabatan dan NGO yang lain. Peluang menyatakan/ mendialogkan nilai/ konsep teras mestilah jangan di bazirkan.
Pihak-pihak yang sepatutnya, perlulah „mengambil‟ tanggungjawab kepimpinannya di dalam arus perdana dialog peradaban untuk memastikan mereka sentiasa dapat menangani dan mendepani (secara positif) arah tuju dialog yang berlaku. Untuk ini, antara lain haruslah kelompok yang mendukung nilai-nilai teras tamadun Malaysia memastikan faktor berikut dijayakan:-
✓ Pembangunan yang bersifat komprehensif dan bersepadu dengan aspek material dan spiritual menjadi pelengkap di antara satu sama lain.
✓ Pembangunan yang membabitkan usaha memusatkan aktiviti kehidupan sebagai berasaskan konsep Ubudiyyah terhadap Maha Pencipta. Dengan sendirinya prinsip Ubudiyyah akan menyahkan praktik-praktik negatif seperti rasuah yang boleh melemahkan imej tamadun Melayu itu.
✓ Pembangunan yang membabitkan usaha memenuhi keperluan asas manusia.
✓ Pembangunan yang memastikan pengembangan sumber-sumber manusia, mempertingkatkan produktiviti, membangunkan kesihatan fizikal-mental-emosi, ketahanan ekologi, keadilan ekonomi dan pemeliharaan warisan budaya dan tradisi.
Pada hakikatnya, ciri-ciri tamadun teras mestilah yang boleh mencerminkan ciri-ciri „umatan wasatan‟ yang dijelaskan di dalam al-Quran.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
http://abdazizharjin. blogspot. com
No comments:
Post a Comment